
KEPALA BATAS, 2 Sept 11: Bercakap sewaktu menyampaikan pidato  di program rapat umum sempena Kongres 60 Tahun PAS di sini malam tadi,  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang secara tegas menyatakan mereka juga  tidak akan bersama Umno biarpun Umno juga sama pendirian dengan DAP  menolak perlaksanaan hudud.
"Pimpinan DAP jelas kita tak setuju  dengan hudud. Umno pun tak setuju dengan hudud. Tetapi tak kan kerana  DAP tak setuju Umno tak setuju, DAP dan Umno nak kerjasama.
"Kita  terus akan bekerjasama dengan PAS kerana kita masih banyak persamaan.  Kita sama-sama lawan rasuah, sama-sama lawan kebatilan, sama-sama lawan  BN," tegasnya disambut tepukan dan laungan takbir hadirin.
Dalam majlis itu dianggarkan lebih 20 ribu hadirin hadir dan duduk bersila memenuhi ruang dalam dan perkarangan Dewan Milenium. Dalam  mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu, kesemua parti komponen  PAS, PKR dan DAP menyatakan persetujuan bersama memperakui kewujudan  Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu.
Mereka juga menghormati pendirian PAS untuk mengangkat isu hudud dan membincangkannya agar difahami oleh masyarakat. Pada  masa yang sama, mereka juga menghormati pendirian DAP yang tidak  bersetuju dengan perlaksanaan hudud kerana bertentangan dengan  perlembagaan.
Keputusan bersama itu sekaligus didakwa  menggagalkan rencana Umno BN memecah belahkan parti-parti dalam Pakatan  menggunakan isu hudud yang selama itu dianggap senjata ampuh mereka.
"Kita  (DAP) ditubuh untuk bela perlembagaan bukan lawan perlembagaan. Sama  juga kita bukan mahu lawan Islam tetapi kita mahu lawan Umno, MCA, MIC  dan BN," katanya.
Turut menjadi pemidato dalam majlis malam tadi  adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,  Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR  Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu. (IH)
Sebelum ini..
 
 
 

No comments:
Post a Comment