Tuesday, October 04, 2011

Beri Kebebasan Hasilkan Filem Sosiopolitik -Dr Asri


HALAMAN HIBURAN
KL, 4 Okt — Majlis Fatwa Kebangsaan tidak perlu mengambil pendirian tegas dalam isu lambakan filem hantu dan seram, sebaliknya pihak berkuasa perlu memberi kebebasan kepada industri filem menghasilkan karya-karya sosiopolitik dengan berani, kata bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Sambil mengakui trend lambakan filem hantu dan seram sudah berlarutan sejak empat tahun lalu, Asri berkata, kini seolah-olah wujud persekitaran pengarah dan pengeluar filem berhadapan dengan masalah kontang idea.

“Perkara ini tidak perlu dibawa ke perhatian Majlis Fatwa Kebangsaan ataupun Majlis Fatwa membawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib, saya lihat isunya ialah kekurangan idea dan kebebasan berkarya.

“Kita perlu memberi pengarah filem ruang untuk menghasilkan filem-filem politik dengan bebas, tanpa sekatan ... baik buruk dalam bidang politik negara pada masa sekarang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Justeru, kata Asri, sudah tiba masa industri filem menghasilkan filem-filem yang membawa isu besar dalam politik seiring dengan perubahan landskap politik negara.

Sambil merujuk kepada nasib dialami klip video “Undilah” baru-baru ini, ahli akademik ini, yang dilihat tokoh agama progresif menambah, kerajaan perlu memberikan ruang yang luas kepada usaha menghasilkan filem-filem politik.
“Klip video Undilah pun kita tidak boleh terima, bagaimana dengan kebebasan menghasilkan filem-filem politik,” kata beliau.

“Kita pernah ada filem-filem yang mengkritik dan mengetengahkan isu politik dan isu golongan bangsawan, seperti era seniman Tan Sri P Ramlee yang membawa mesej dengan sopan dan mudah diterima rakyat.

“Di negara Barat seperti Amerika Syarikat, filem-filem yang berlatarbelakangkan politik dibenarkan dan diterbitkan tanpa halangan ... kita perlu ke arah itu, tidak kira filem itu mengetengahkan politik Barisan Nasional, kerajaan atau pembangkang, Pakatan Rakyat ... kita kena ke depan dalam isu ini,” kata Asri yang turut mengakui bahawa beliau pernah menimbulkan isu filem hantu dan seram dalam mesyuarat kepimpinan tokoh agama ketika menjadi mufti Perlis.

Isu filem seram dan hantu muncul ketika timbul kontroversi tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melarang penyiaran klip video Undilah menerusi saluran televisyen lokal bulan lalu. Ia mencetuskan rasa tidak senang di kalangan pelbagai pihak.

SKMM, agensi di bawah portfolio Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, sebelum ini menyatakan klip video itu belum mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen. Laporan media semalam memetik penggiat dan pengarah filem hantu dan seram menafikan karya mereka menjadi punca kepada suburnya amalan kepercayaan tahyul di kalangan penonton atau merosakkan akidah mereka, selain percaya ia mempunyai banyak nilai positif seperti kekeluargaan dan agama.

Sehari sebelum itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik. Beliau berkata, lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

Majlis Fatwa Kebangsaan pula mahu kerajaan membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam. Ahli jawatankuasa majlis itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosikan karut.

Mengulas lanjut kata Asri, tidak salah jika industri filem menghasilkan filem-filem seram dan hantu untuk menggambarkan persekitaran sosial yang sebenar. Tetapi apa yang penting ialah, kata beliau, jangan ada usaha yang boleh menggalakkan elemen-elemen itu menjadi ikutan penonton dan khususnya bertentangan dengan akidah Islam. (IH)

Sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails