Sunday, September 25, 2011

Satelit AS Jatuh Ke Bumi, Boleh Timpa M'sia. Jaga!

GAMBAR UARS yang sempat dirakamkan di ruang udara Belanda pada 18 Jun 2010.

GAMBAR satelit UARS yang dikeluarkan oleh NASA selepas ia jatuh ke bumi kelmarin. - AFP

WASHINGTON - Sebuah satelit tamat tempoh seberat enam metrik tan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkecai semasa memasuki atmosfera bumi pagi semalam dengan serpihan-serpihannya jatuh bertaburan di rantau Lautan Pasifik.

Pusat Operasi Bersama Angkasa Lepas AS dan NASA dalam satu kenyataan memberitahu, serpihan-serpihan satelit sebesar sebuah bas itu tidak semestinya menjunam ke dalam laut tetapi mengesahkan ia jatuh dalam kawasan seluas 800 kilometer persegi di rantau Pasifik.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa belum ada mengenal pasti lokasi yang tepat tempat serpihan-serpihan tersebut jatuh. Menurut kedua-dua agensi AS itu, satelit sepanjang 11 meter itu jatuh antara pukul 1.23 petang (5.09 petang semalam waktu Malaysia).

Semasa menembusi atmosfera bumi, ia berkecai kepada lebih 100 kepingan tetapi cuma sekitar 26 kepingan logam berat dengan serpihan terbesar seberat 135 kilogram dijangka menjunam ke bumi. NASA meramalkan kelajuan serpihan satelit itu apabila memasuki ruang udara ialah kira-kira 109 meter sesaat. NASA sebelum ini meramalkan satelit yang dikenali sebagai Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) itu jatuh ke bumi seawal Khamis lalu.

Sementara itu di Kuala Lumpur, insiden satelit milik Amerika Syarikat (AS) jatuh ke bumi akibat tarikan graviti tidak sepatutnya dipandang ringan memandangkan Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkena serpihan objek seumpama itu yang jatuh dari langit.

Ketua Makmal Satelit, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ir. Renuganth Varatharajoo (gambar) berkata, bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh merupakan lokasi yang berpotensi menyebabkan kemusnahan jiwa dan harta benda yang besar.

“Walaupun objek yang jatuh itu bersaiz 10 sentimeter panjang, kelajuannya tetap memberi impak sangat kuat,” kata beliau lagi.

Beliau mengulas insiden Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) yang jatuh ke bumi awal pagi semalam dengan dipercayai bertaburan di Lautan Pasifik. Satelit itu dilancarkan ke orbit pada tahun 1991 untuk kajian lapisan ozon sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada 2005. Menurut Renuganth, satelit seperti UARS akan meluncur selaju 28,000 kilometer sejam sebaik sahaja memasuki atmosfera bumi sebelum terbakar dan berkecai. (IH/Kosmo)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails