Friday, September 30, 2011

Merakyatkan Ekonomi S'ngor, Ke Mana? - MB S'ngor

MB Selangor
ANTARA isi kandunggan ucapan merasmikan Program Khas Agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) dan Pelancaran Karnival ‘SelangorKu’ pagi tadi disampaikan oleh YB Iskandar bin Abdul Samad:

YB Iskandar (ditengah-tengah) berjiwa rakyat.
Alhamdulillah, Selangor mengorak langkah lagi dengan slogan atau logo “Selangorku” yang merupakan kesinambungan program “Merakyatkan Ekonomi Selangor dan ‘Hasil Negeri untuk Rakyat’. Slogan ini pertama kalinya diperkenalkan kepada rakyat dalam ucapan saya di Stadium Malawati Shah Alam pada 24 Julai 2011. Menerusi slogan ini, kita mengajak seluruh rakyat Selangor untuk bersama bertanggungjawab dan mempertahankan usaha-usaha murni negeri melalui pentadbiran yang telus, amanah, adil dan bertanggungjawab.

Khususnya, bagi kita di negeri Selangor ini, secara keseluruhannya, para pemimpin Kerajaan Negeri sekarang berusaha gigih untuk memberi “kemerdekaan” kepada rakyat negeri ini menerusi tadbir urus yang adil, telus, bertanggungjawab dan terbuka. Sesungguhnya kejayaan Selangor memperkasa pembangunan dan melestarikan kemajuannya adalah berkat Doa Rakyat serta kehendak rakyat yang sangat mengharapkan satu Kerajaan pilihan rakyat yang mengamalkan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, berhemah dan berhemat .


Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT, simpanan tunai Kerajaan Negeri Selangor sehingga Jun tahun 2011, adalah sebanyak RM1,100 juta. Jumlah ini merupakan rekod kewangan paling baik dalam tempoh 28 tahun. Ia juga bermakna, Kerajaan Negeri Selangor sekarang berjaya melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan.


Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Furqaan ayat 67:- Tafsirnya: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebihan, dan tidak pula bakhil (kedekut), dan adalah pembelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian”.


Dalam bidang pelaburan, negeri Selangor terus menjadi pilihan utama pelaburan dari dalam dan luar negara. Sehingga 30 Jun tahun 2011 ini sahaja jumlah pelaburan bernilai sebanyak RM5.57 bilion, berbanding dengan nilainya sebanyak RM6.68 bilion bagi sepanjang tahun 2010. Negeri Selangor pula terus menjadi penyumbang tertinggi terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Seterusnya, dalam usaha memberikan kesejahteraan kepada negeri dan rakyat seluruhnya pula, Kerajaan Negeri Selangor sekarang melaksanakan dasar “merakyatkan ekonomi Selangor” yang mengandungi pelbagai program kebajikan bagi membantu rakyat majmuk pelbagai peringkat agar dapat sama-sama menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini.


Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa” ayat 26 – 27, Tafsirnya: “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga Mu yang dekat, orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing. Dan janganlah engkau membelanjakan harta Mu dengan boros dan melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan Nya”.


Melalui dasar “merakyatkan ekonomi Selangor” ini, yang kini memasuki fasa ketiganya, saya dan saf kepemimpinan di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung bersependapat bahawa hasil bumi negeri Selangor ini adalah milik rakyat Selangor. Oleh itu, limpahan daripada hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini sewajarnya dikembalikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya sama-sama menikmatinya.


Selari dengan dasar ini, Kerajaan Negeri berusaha menambah baik kehidupan rakyat majmuk negeri ini -- dari usia bayi hingga usia emas, termasuk petani, belia, ibu tunggal, orang kelainan upaya, orang Asli, pekerja ladang - menerusi pelbagai program dan skim yang sesuai, sejajar dengan misi menjadikan Selangor sebuah negeri idaman, maju dan berkebajikan.


Sehingga Jun 2011, lebih RM500 juta diberikan sudah digunakan untuk membantu rakyat Selangor. Antaranya menerusi Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah lebih RM387 juta, Skim Tabung Warisan bernilai RM1.8 juta, Hadiah Anak Masuk Universiti bernilai RM19 juta, Skim Usia Emas dan OKU berjumlah RM49 juta, Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar berjumlah lebih RM2 juta,
sistem jalur lebar percuma kepada penduduk di beberapa daerah, rawatan dialisis serta pemeriksaan payu dara secara percuma dan bermacam-macam bantuan kemasyarakatan lagi yang bakal diberikan secara berterusan.

Kenapa Kerajaan Selangor memberikan Air Percuma 20 meter pada kepada rakyat ini adalah kerana bagi Orang Islam dalam Pelajaran Ilmu Fiqahnya yang pertama perlu dipelajari adalah bab Bersuci dan dalam bersuci asas utamanya adalah Air. Air sangat diperlukan sebelum melaksanakan segala Ibadah serta diperlukan dalam kehidupan Harian.

Maksud Hadith yang diriwayatkan Oleh Abu Daud. R
asulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang tidak mengasihi anak kecil (orang muda) dan tidak mengenali hak orang tua maka bukan dari kalangan kami.

Kita semua sebagai anggota masyarakat mestilah hidup saling hormat menghormati dan kasih mengasihi antara satu sama lain tanpa mengira usia, tua ataupun muda. Orang yang gersang daripada sifat kasih sayang biasanya bersikap ganas dan kasar hingga akhirnya hidupnya menjadi terasing dan terpinggir daripada masyarakat. Kekejaman berupa penderaan dan kekerasan terhadap golongan yang lemah sama ada terhadap kanak-kanak dan orang tua merupakan suatu perbuatan yang amat dibenci oleh agama kerana ia mempamerkan sifat zalim dan tidak berperikemanusiaan yang tidak sepatutnya ada pada diri seorang manusia yang dianugerahkan Allah dengan akal fikiran dan perasaan.


Maka berasaskan maksud hadith tadilah Kerajaan Selangor dalam agenda merakyatkan Ekonomi Selangor melaksanakan Skim Mesra Usia Emas dan Tabung Warisan Anak Selangor serta pelbagai skim berunsurkan kebajikan rakyat.

Rakyat Selangor juga menikmati keuntungan daripada pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun oleh Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya -- Kumpulan Semesta Sdn Bhd. Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, hingga Jun 2011, Kumpulan Semesta berjaya mengumpul keuntungan berjumlah hampir RM50 juta. Kerajaan Negeri memberikan semula hasil jualan pasir itu kepada rakyat yang memerlukan bantuan. Misalnya, kita
peruntukkan sejumlah RM10 juta daripada hasil pasir ini menjayakan program “Jom Shopping” bagi golongan usia emas sebagai cara membantu golongan ini meringankan kos sara hidup yang semakin mahal.

Sektor pertanian menyumbang terhadap pembangunan ekonomi negeri Selangor kira-kira 4.2 peratus daripada Keluaran Negeri Kasar. Namun, Kerajaan Negeri tetap memberikan fokus terhadap usaha memperkasa sektor pertanian melalui pendekatan pertanian moden dan berorientasikan eksport bagi meningkatkan kualiti dan produk pertanian bermutu tinggi. Nilai tambah sektor ini dijangka terus meningkat berbilion ringgit tahun demi tahun sejak peningkatan RM3.5 bilion pada tahun 2009.


Matlamat menjadikan “pertanian suatu perniagaan” perlu diteruskan
melalui konsep berasaskan pengetahuan yang boleh mendatangkan keuntungan berlipat ganda kepada golongan petani, penternak dan nelayan. Salah satu alternatif, melalui program transformasi kumpulan petani, penternak dan nelayan agar menjadi usahawan tani.

Belia merupakan tenaga penggerak utama yang menjadi sandaran dan harapan dalam arus pembangunan negeri Selangor. Oleh yang demikian, tenaga belia ini perlu digemblengkan secara bersepadu, melibatkan golongan pelajar yang masih dahagakan ilmu dengan
kumpulan pekerja yang produktif dan kreatif.

Kalangan pekerja kerajaan turut menerima faedah melalui beberapa program yang sesuai. Misalnya, pekerja wanita diberi cuti bersalin sehingga 90 hari manakala suaminya mendapat cuti sehingga 14 hari. Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khas bagi membantu pembiayaan anak penjawat awam yang ditawar melanjutkan pelajaran tinggi.


Bagi pelajar sekolah, disediakan kursus-kursus secara percuma kepada calon-calon peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM untuk kecemerlangan masing-masing. Bagi golongan miskin di desa dan di bandar yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan untuk menambah pendapatan diri dan keluarga, disediakan dana pinjaman dengan kadar faedah terendah.


Perlu diingat, bahawa penduduk negeri Selangor sekarang adalah yang tertinggi jumlahnya dalam kalangan negeri lain di Malaysia, iaitu seramai 5.3 juta orang. Daripada jumlah tersebut, keturunan Melayu sekitar 49 peratus; kaum Cina 29 peratus, kaum India 16 peratus, dan keturunan lain sekitar 6 peratus. Ia bermakna, nisbah penduduk di Selangor sekarang adalah 50% kaum Melayu dan 50% bukan Melayu.


Dalam hal ini saya masih teringat akan pesan Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang dalam bait-bait sajak beliau, “Jiwa Hamba”, yang antara lain mengungkapkan kebimbangan ini:


“…Kalau hidup ingin merdeka
takkan tercapai hanya berkata
tetapi cuba maju ke muka

melempar jauh jiwa hamba

Ingatan kembali sepatah kata
dari ucapan seorang pemuka
di atas robohan Kota Melaka

kita dirikan jiwa merdeka.”

Saya dan saf kepemimpinan mahu berusaha agar hubungan antara rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor tidak hanya “manis di mulut” sebaliknya “buat sebagaimana dikata”. Kita wajar mengambil iktibar daripada bait-bait sajak Usman Awang, “Pak Utih”, yang antara lain berbunyi:

“…Di kota pemimpin berteriak-teriak,
Pilihanraya dan kemerdekaan rakyat,
Seribu kemakmuran dalam negara berdaulat,
Jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat.

Ketika kemenangan bersinar gemilang,
Pemimpin atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka,

Ah, rakyat tercinta melambaikan tangan mereka.

Di mana-mana jamuan dan pesta makan,
Ayam panggang yang enak di depan,

Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.

Pak Utih masih menanti dengan doa,

Bapak-bapak pergi ke mana di mobil besar?”
Ibnu Hasyim (kanan) bersama YB Iskandar.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Selamat sejahtera dan Salam ukhuwah. Terima kasih. (IH)

Juga sila lihat Karnival Selangorku di Tanjung Karang...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails