Thursday, September 29, 2011

Hudud: Hormati Enakmen Syariah, K'tan Tiada Kataputus

KL, 29 Sept 11: PKR dan PAS hari ini mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat.

"Kita mendengar penjelasan Datuk Taqiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.

"Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.

"Kita jelas menghormati hak dan aspirasi PAS (mahu laksanakan hudud). Cuma dia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat perlembagaan dan Buku Jingga," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta 23 ahli mesyuarat yang lain. Sebelum ini, semua pimpinan Pakatan Rakyat diarah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah mencapai pendirian bersama pada mesyuarat malam ini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 malam tadi antara lain bagi mencari pendirian bersama berhubung perbezaan pandangan antara ketiga-tiga parti dalam isu hudud.

"Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik Umno BN untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat," kata Anwar lagi. Demikian menurut Harakah.

Sementara itu menurut Malaysiakini, cadangan PAS untuk melaksana undang-undang hudud ke atas orang Islam di Kelantan masih belum dapat diputuskan oleh majlis pimpinan Pakatan Rakyat walaupun hangat dibincangkan dalam mesyuaratnya malam ini.

Bagaimanapun, ketua umum Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majlis pimpinan itu menghormati niat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang berkenaan. Majlis itu juga menghormati pendirian DAP yang menentang keras cadangan berkenaan, kata Anwar kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibupejabat PAS, Kuala Lumpur.

Kesepakatan yang berjaya dicapai dalam mesyuarat selama tiga jam, lewat malam ini, hanyalah berhubung kesepakatan untuk PAS dan DAP meneruskan perbincangan bagi melaksanakan hukum hudud dan juga mempertahankan dasar-dasar bersama.

"Pendiriannya jelas bahawa DAP menentang (cadangan melaksana hudud) dan PKR serta PAS menghormatinya.

"Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah," katanya lagi.

Jelasnya, Pakatan jelas menghormati hak dan kehendak PAS untuk melaksana hudud, namun parti Islam itu masih terikat dengan dasar bersama yang dipersetujui serta manifesto dalam Buku Jingga. (IH)

Lihat sebelum ini...

E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails