Monday, September 26, 2011

Hudud: Libatkan Putrajaya & Referendum Rakyat

KL 26 Sept 11: Hukum hudud hanya akan melibatkan Muslim dan mengharapkan kerjasama Putrajaya untuk melaksanakan undang-undang itu. Tegas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa mengadakan pertemuan dengan pakar perlembagaan dan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS di Kota Baru semalam

Pendirian itu disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan ketika menemui Prof Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa dan Dr Dzulkefly Ahmad, ahli jawatankuasa kerja PAS dan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan parti Islam itu.

“Datuk Nik Aziz menegaskan bahawa ruang skop pelaksanaan undang-undang hudud hanya melibatkan Muslim manakala bukan Islam akan terus tertakluk kepada undang-undang sivil sedia ada, memandangkan negara ada dua sistem perundangan... ini ditekankan yang oleh MB Kelantan.

“Selain itu, beliau juga mahu kerjasama pusat agar undang-undang ini dilaksanakan di Kelantan dan negeri Kelantan dijadikan model. Itu harapan beliau,” kata Dzulkefly kepada The Malaysian Insider.

Pertemuan kira-kira sejam itu diadakan di kediaman Nik Aziz atas permintaannya bagi mendapatkan pandangan politik dan perundangan berkaitan isu kontroversi terbaru yang muncul semula minggu lalu.

Dzulkfely yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, Nik Aziz yang mengakui hukum hudud tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan kerajaan persekutuan menekankan bahawa beliau memerlukan kerjasama agensi-agensi seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kimia dan polis.

Kerjasama itu diperlukan sebagai tambahan kepada pemansuhan dan pindaan beberapa undang-undang lain, kata beliau.

“Prof Aziz menjelaskan mengenai kekangan dari sudut peruntukan undang-undang seperti Akta Mahkamah Syariah 1995... Datuk Nik Aziz faham kekurangan skop perundangan ini,” kata beliau.

Aziz berkata, pihaknya turut mencadangkan agar diadakan satu referendum di kalangan rakyat Kelantan mengenai isu tersebut bagi mengetahui pendirian mereka.

“Cadangan referendum ini diberikan apabila Datuk Nik Aziz mengatakan bahawa sudah 20 tahun rakyat Kelantan memberikan mandat untuk melaksanakan hukum hudud, tetapi tidak dapat dilaksanakan ekoran sekatan di pihak kerajaan pusat.

“Datuk Nik Aziz berharap harapan dan kehendak rakyat ini ditunaikan, mandat agar diadakan hukum hudud dilaksanakan,” katanya lagi. (IH)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails