Saturday, October 01, 2011

M/Peguam Dicabar, Hudud Boleh Digubal -Aziz Bari


KL, 1 Okt 11: Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari mendakwa Majlis Peguam ketinggalan kerana melihat pelaksanaan hukum hudud dalam kerangka lama dan terus menganggap ia sebagai “retorik politik” semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, masih ada ruang untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan dan oleh kerana negara pernah meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung imuniti raja-raja, maka tak mustahil sistem itu boleh digubal dan diperkenalkan.

“Wacana hudud adalah perkembangan sihat yang membuka minda kita, termasuk pengamal undang-undang. Kali ini umpamanya kita cuba melihat pelaksanaan di peringkat negeri; dalam kerangka jenayah syariah. Bukan dalam kerangka undang-undang jenayah konvensional di peringkat nasional.

“Ini merangsang minda; Majlis Peguam masih ketinggalan kerana melihat pelaksanaan itu dalam kerangka lama. Sebab itu, mereka kata ini retorik politik,” kata beliau mengulas pendirian Majlis Peguam semalam.

Majlis Peguam menegaskan undang-undang hudud, yang kembali muncul sebagai isu kontroversi awal minggu lalu, tidak boleh dilaksanakan di negara ini buat masa sekarang ekoran kekangan peruntukan perundangan.

Presiden Majlis Peguam Lim Chhe Wee berkata, Perlembagaan Persekutuan dan rangka kerja perundangan negara ini tidak menyediakan peruntukan bagi undang-undang hudud dikuatkuasakan oleh mana-mana negeri termasuk Kelantan.

“Majlis Peguam Malaysia menggesa agar kesemua pihak mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan berhenti daripada bercakap mengenai retorik pelaksanaan hukum hudud,” kata Lim dalam satu kenyataan petang ini.

Lim berkata retorik mengenai pelaksanaan undang-undang itu, yang menjadi fokus polemik sejak kebelakangan ini, mencetuskan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat. Malah semalam, Aziz (gambar) berkata, banyak pihak termasuk pemimpin PAS dan DAP sendiri terkeliru bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan.

Menurut Aziz, beliau tidak nampak sebarang asas dan sebab yang memerlukan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan hukum hudud. Dalam kenyataan hari ini, Aziz juga berkata, adalah sesuatu janggal kerana Majlis Peguam tidak memberikan prinsip federalisme satu pertimbangan dalam kenyataannya berkaitan dengan isu hukum hudud.

“Prinsip (federalisme) adalah penting dalam membebaskan sistem (perundangan),” katanya lagi. Sehubungan itu kata beliau,

“apabila Perlembagaan membisu ataupun ada konflik seperti ini, maka undang-undang akan memberi laluan kepada negeri.” “Kedua-dua undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah telah dimasukkan dalam senarai negeri, oleh itu persoalan besar adalah berkaitan dengan Akta Mahkamah Syariah 1965, yang mengehadkan kuasa Mahkamah Syariah,” katanya lagi.

Kata Aziz, “sebagaimana saya katakan banyak kali ada negara di dunia yang menguatkuasakan sistem dan undang-undang yang pelbagai.” “Dalam kes hudud, adalah sangat jelas bahawa ia hanya untuk Muslim dan Mahkamah Syariah... Majlis Peguam sendiri telah banyak kali mengatakan bahawa ia hanya bagi Muslim,” kata beliau lagi.

Oleh itu kata beliau, apa yang diperkatakan sekarang bukan retorik tetapi satu usaha untuk membenarkan masyarakat Muslim hidup di bawah sistem perundangan mereka.

“Bagi bukan Islam, mereka tiada perundangan mereka sendiri seperti Muslim, jadi mereka boleh hidup di bawah undang-undang sivil negara ini,” katanya lagi.

Aziz juga berkata, mandat politik akan membolehkan sesuatu yang difikir sebagai mustahil untuk diperkenal dan dilaksanakan menjadi kenyataan dalam jangka panjang.

“Ingat (peristiwa) 1993? Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan imuniti raja-raja difikir mustahil untuk dilaksana. Apatah lagi apabila hendak mengadakan satu mahkamah untuk membicarakan mereka.

“Tetapi perkara yang dianggap sebagai mustahil berlaku meskipun raja-raja ada kuasa mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menghalangnya. Mereka melakukan di sebalik sentimen popular,” kata Aziz.

Oleh itu kata beliau, jika Kelantan boleh memperlihatkan kali ini ia pastinya akan berlaku memandangkan hudud hanya bagi Muslim dan “sesuatu yang tidak terhalang dengan jelas di bawah Perlembagaan.” (IH/The Malaysian Insider)

Sebelum ini..

E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails