Saturday, January 29, 2011

Mesir: Elbaradei & I/Muslimin Sertai Protes 3 Hari..

POLIS antirusuhan menggunakan penyembur air bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Kaherah, Mesir semalam.

Mesir tutup Internet, telefon bimbit

KAHERAH 29 Jan 11: Pemerintah Mesir semalam memutuskan talian telefon bimbit dan perkhidmatan Internet selain menghantar puluhan trak polis antirusuhan sebagai percubaan untuk menyekat beribu-ribu aktivis daripada menyertai protes antipemerintah yang diadakan selepas solat Jumaat.

Bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed Elbaradei dan Persaudaraan Muslim turut menyertai protes tersebut walaupun terdapat amaran bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas untuk mematahkan gelombang kebangkitan itu.

Ketiadaan perkhidmatan Internet menghalang akses ke laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter yang menjadi alat komunikasi utama para penganjur protes.

Polis Mesir mengalami kesukaran untuk berdepan dengan penunjuk perasaan yang telah bertempur selama tiga hari. Mereka menuntut supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan selepas memerintah selama 30 tahun.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran bahawa keganasan bukan penyelesaian di Mesir.

Obama turut meminta kedua-dua belah pihak mengawal perasaan dan menggesa Hosni agar melakukan perubahan politik.

"Ini adalah waktu kritikal dalam hidup rakyat Mesir. Keinginan untuk berubah mesti dihormati. Rejim tidak boleh menggunakan kekerasan ke atas peserta demonstrasi," kata Elbaradei yang lantang mengkritik Hosni dan menyatakan kesediaannya untuk mengetuai perubahan di Mesir jika diminta berbuat demikian.

Demonstrasi itu mendapat ilham daripada Revolusi Jasmin yang berlaku di Tunisia baru-baru ini sehingga mengakibatkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan.

Setakat ini, lima penunjuk perasaan dan dua anggota polis terbunuh di Mesir manakala 100 yang lain cedera.

Seorang pegawai keselamatan memberitahu kira-kira 1,000 orang telah ditahan sejak tunjuk perasaan bermula pada Selasa lalu.

Para aktivis menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menuntut hak untuk hidup dengan penuh kebebasan dan bermaruah.

Hosni dianggap sebagai presiden yang tidak membawa pembaharuan ekonomi.

Hampir separuh daripada 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan berdasarkan kadar pendapatan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu AS$2 (RM6.11) sehari.

Negara itu mempunyai pendidikan yang berkualiti rendah, kadar pengangguran tinggi telah menyebabkan penduduk gagal memperoleh keperluan hidup yang sempurna. - Agensi

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kebangkitan rakyat, Tunisia, Mesir dan seterusnya dipelupori oleh puak-puak Islam saperti Ikhwan Muslimin (Persaudaraan Islam) dan lain-lain, tetapi kena jaga...

  • jangan akhirnya yang ganti pegang kekuasaan ialah puak nasionalis yang sama seperti dulu...
  • kena lihat siapa di belakang mereka atau yang akan mengambil kesempatan atas kemelut yang berlaku.
  • Mari sama-sama berdoa dan berusaha untuk kemenangan puak-puak gerakan Islam. Allahu 'aklam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails