Thursday, October 28, 2010

MAIWP: Tiada ‘hantu’, Wang Zakat Tidak Dicuri




KL, 28 Okt 10
: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menolak wujudnya elemen “hantu” atau pihak yang mencuri dan menipu wang zakat sebagaimana disangkakan oleh sesetengah pihak termasuk bekas mufti Perlis ekoran Laporan Audit Negara 2009 mengenai pelupusan 70 unit penghawa dingin.

“Sebenarnya wang zakat tidak dicuri oleh mana-mana pihak. Ia telah diuruskan berdasarkan peraturan sedia ada yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, isu wujudnya ‘hantu’ atau pihak yang mencuri atau menipu wang zakat seperti yang dibangkitkan dalam artikel berkenaan adalah tidak berbangkit sama sekali,” kata Pegawai Perhubungan Korporat MAIWP, Wan Ahmad Fadhli Shah Wan Mohamad Zain dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Wan Ahmad berkata, pelupusan 70 unit penghawa dingin seperti yang dinyatakan dalam artikel berkenaan tidak bermaksud ia dibuang atau dibiarkan tanpa digunakan. Malah menurut beliau, berdasarkan kepada Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 – Tatatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan, pelupusan ialah satu proses untuk mengeluarkan aset dari milikan, kawalan, simpanan dan rekod mengikut kaedah yang ditetapkan.

Katanya, terdapat pelbagai kaedah bagi pelupusan antaranya jualan secara tender, sebut harga atau lelong, jualan sisa, hadiah, dimusnahkan, ditenggelam atau kaedah lain pelupusan yang difikirkan sesuai.

Selaras dengan peruntukan pekeliling itu, Wan Ahmad berkata, MAIWP telah mengambil tindakan memindahkan penempatan aset berkenaan ke Institut Kemahiran Baitulmal dan Bahagian Baitulmal MAIWP iaitu sebanyak 16 unit, melupuskan secara pemberian hadiah kepada Anggun Mulia Sdn. Bhd., syarikat milik MAIWP melibatkan sebanyak 22 unit, dilupuskan secara ‘salvage value’ yang terkandung dalam kerja-kerja kontrak merobohkan (32 unit) bangunan berkenaan untuk diubahsuai bagi kegunaan Anggun Mulia Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Kolej Sains Kejururawatan Pusrawi MAIWP (melalui kaedah “salvage value” atau tukar beli, kos bagi kerja-kerja merobohkan bangunan berkenaan akan ditolak dengan nilai semasa 32 unit penghawa dingin tersebut.

Kata beliau, alat-alat penghawa dingin tersebut tidak dibawa ke bangunan baru MAIWP yang disewa di Bangunan Perkim kerana bangunan tersebut telah sedia ada mempunyai sistem penghawa dingin secara berpusat.

Berkaitan isu sebanyak 348 aset alih yang ditinggalkan di ibu pejabat lama MAIWP di Wisma Baitulmal, katanya, aset-aset tersebut ditinggalkan sebagai hadiah bagi kegunaan operasi Kolej Sains Kejururawatan Pusrawi MAIWP setelah bangunan siap diubahsuai.

“Namun demikian, aset-aset tersebut tidak ditinggalkan begitu sahaja, tetapi aset-aset tersebut disimpan di tempat yang selamat dan di bawah kawalan pengawal keselamatan yang dilantik oleh MAIWP.

“Bagi tujuan hadiah tersebut, aset berkenaan dirujuk sebagai harta pelupusan untuk dikeluarkan dari tanggungan MAIWP secara pentadbiran,” kata beliau dalam kenyaatan itu. Kata beliau, MAIWP sebenarnya sebelum ini telah menjelaskan kepada Jabatan Audit Negara dan lain-lain pihak berkaitan tindakan-tindakan yang telah diambil berhubung semua isu-isu yang dilaporkan dalam artikel tersebut.

Dalam komennya semalam, Asri menimbulkan persoalan sama ada pihak yang dipertanggungjawabkan tidak menguruskan wang zakat dan dana kewangan badan-badan agama dengan telus dan amanah. Kata Asri, sejak sekian lama beliau dan beberapa orang lain menyebut tentang adanya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara ini.

“Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan,” kata beliau dalam tulisan blognya di bawah tajuk “Apa jadi dengan institusi agama kita?”

“Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan media baru-baru ini,” kata beliau.

Asri berkata demikian semasa mengulas pendedahan Laporan Audit berhubung perbelanjaan dan pelupusan harta MAIWP Isnin lalu didakwa ‘mengesahkan’ wujudnya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara. Laporan itu antaranya menyatakan hasrat MAIWP melupuskan 70 penghawa dingin yang masih baik. (AK)

Lihat sebelum ini...

-----------------------------------------------------------------

Sila lawati E-Perpustakaan IH.....

Rak 1
Rak 2
Akan bertambah lagi e-buku-buku seterusnya.
--------------------------------------------------

3 comments:

ahmed said...

Wan Ahmad berkata, pelupusan 70 unit penghawa dingin seperti yang dinyatakan dalam artikel berkenaan tidak bermaksud ia dibuang atau dibiarkan tanpa digunakan. Malah menurut beliau, berdasarkan kepada Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 – Tatatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan, pelupusan ialah satu proses untuk mengeluarkan aset dari milikan, kawalan, simpanan dan rekod mengikut kaedah yang ditetapkan.

ali said...

Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan media baru-baru ini,” kata beliau.

zaid said...

Dalam komennya semalam, Asri menimbulkan persoalan sama ada pihak yang dipertanggungjawabkan tidak menguruskan wang zakat dan dana kewangan badan-badan agama dengan telus dan amanah. Kata Asri, sejak sekian lama beliau dan beberapa orang lain menyebut tentang adanya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara in

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails