Tuesday, October 26, 2010

Sah! B/Sapi, Lwn 3 Penjuru. Galas 1 Lwn 1.


Calon PAS Dr Zulkefli (kiri) bersama Abdul Aziz selepas diisytiharkan calon pilihan raya kecil kerusi DUN Galas di Gua Musang pagi tadi. — Gambar oleh Choo Choy May

KL, 26 Okt 10
: SAH! Pilihan raya kecil untuk memperoleh kemenangan moral — di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan menyaksikan pertarungan satu lawan satu manakala di Batu Sapi, Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan saingan Pakatan Rakyat dan Parti Maju Sabah (SAPP).

BN turun gelanggang untuk merampas balik DUN Galas dan mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi.

Sebelum ini PAS dan BN mengisytiharkan pilihan raya kecil DUN Galas ini sebagai “amat penting.”

Calon BN Abdul Aziz Yusoff, 49, iaitu Setiausaha Umno Gua Musang berhadapan dengan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad, 44.

Pengesahan status calon diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wan Mustapha Wan Abdul Hamid sebentar tadi selepas berakhirnya sesi bantahan pada pukul 11 pagi.

Dalam pada itu, pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pula menyaksikan persaingan tiga penjura antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan cabaran PR dibawa oleh Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran Ansari Abdullah yang juga seorang peguam.

Yong merupakan bekas ketua menteri Sabah. SAPP keluar BN akhir 2008.

Di Galas, selepas tamat tempoh bantahan di akhir proses penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini, Wan Mustapha mengumumkan nama kedua-dua calon itu pada 11.30 pagi.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan bergemuruh para penyokong kedua-dua parti itu.

Abdul Aziz, merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi dan Dr Zulkefli pula menyerahkan borang pencalonannya pada 9.30 pagi.

Proses pencalonan itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, walaupun parti-parti politik yang bertanding itu membawa bersama ribuan penyokong.

Bagaimanapun, Presiden Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat yang menyatakan akan meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil ini, tidak muncul pada penamaan calon hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas.

Che Hashim menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum 2008.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November sebagai tarikh pengundian.

Pilihan raya kecil DUN Galas merupakan yang kedua di Kelantan selepas Pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai 2009 dan pilihan raya kecil yang ke-12 berlangsung di seluruh negara selepas pilihan raya umum 2008.

Dapatkan laporan PRK DUN Galas dari mula hingga berakhir, seterusnya..


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails