Wednesday, October 27, 2010

Sokong JAKIM Perlu Dinaikkan Taraf Ke Kementerian.


KL 27 Okt 10: WEBLOG Ibnu Hasyim bersetuju dengan cadangan Herman Samsudin dari Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) yang mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diangkat dan dinaikkan taraf menjadi sebuah kementerian.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah menghantar memorandum kepada Jakim yang mencadangkan agar JAKIM mampu membuat penguatkuasaan bagi mengawal program-program mungkar yang telah berlaku di dalam negara. Beliau adalah Pemangku Ketua DPPWP yang mengetuai rombongan tersebut.

Memorandum diterima oleh Pegawai Perhubungan Jakim, Puan Asiah Al-Kharib Shah di luar pejabat Ketua Pengarah Jakim, di sini. Menurut Herman, Jakim dilihat tidak mempunyai kuasa bagi menghentikan sebarang program yang menyalahi etika Islam dan budaya timur di dalam masyarakat.

"Kita jumpa PUSPAL (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) dia bagi tahu Jakim antara yang terlibat dalam jawatankuasa meluluskan konsert Adam Lambert baru-baru ini antaranya ialah Jakim," kata Herman.

Malangnya, kata beliau program-program mungkar tetap berjalan tanpa ada pemantauan dari pihak yang berwajib seperti Jakim. Ditanya mengenai pelan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan, Herman bersetuju tetapi hiburan itu mestilah sesuai.

DPPWP memuji sekiranya artis seperti Maher Zain ditonjolkan dan dijadikan ikon anak muda dalam membudayakan imej yang positif. Herman berharap program Festival Fesyen Muslim (IFF) yang bakal diadakan di Malaysia pada awal November ini betul-betul bertepatan dengan ciri-ciri Islam.

Di dalam memorandum yang dihantar, DPPWP mahu Jakim mengambil peranan secara bersungguh-sungguh serta melibatkan secara langsung sebagai penasihat syariah terhadap mana-mana program rasmi yang dianjurkan di dalam negara.

DPPWP juga berharap Jakim dapat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana program yang berlaku dalam negara. Dua program mungkar iaitu Konsert Adam Lambert dan Islamic Fashion Festival (IFF) di Monte Carlo menunjukkan program-program itu tidak dipantau oleh pihak sepatutnya.

Turut menyertai rombongan tersebut, Naib Ketua DPPWP, Suhaimi Abd Aziz, setiausaha, Kamarul Arif Ambak, Wakil Ulamak Pelapis, Ustaz Adha Buyong dan Exco DPPWP, Asrul Afendi.

"Syabas Pemuda PAS Wilayah! Anda bertindak sewajarnya." Kata editor weblog Ibnu Hasyim, yang juga juga Presiden Grup Universiti Uli Klang. "Weblog Ibnu Hasyim akan sentiasa menyokongnya dalam hal ini..."

By ASYOK KUMAR

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails