KL 30 OKT 10: “Kami memfailkan saman bukan kerana tamakkan duit tapi bagi menuntut keadilan,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya mengenai tuntutan ganti rugi RM40 juta yang akan difailkan peguamnya terhadap tertuduh kes pembunuhan ibunya. Lapor myMetro hari ini.
  Dia yang lebih mesra dengan panggilan Rita berkata, saman berkenaan   difailkan peguamnya, Selasa depan dan keputusan itu bukan dibuatnya  bersendirian, sebaliknya dipersetujui sebulat suara oleh adik-beradik  serta ahli keluarga lain selepas menerima nasihat daripada peguam.
 “Soal tamak wang tidak timbul berbanding kekejaman mereka terhadap  ibu. Jadi saya berharap orang ramai tidak memandang serong terhadap  tindakan kami
 
“Tujuan kami hanya satu, bagi memastikan keadilan dapat  ditegakkan sepenuhnya,” kata anak jutawan kosmetik itu ketika dihubungi  Harian Metro, semalam
 
Mengenai perkembangan terkini dirinya, Rita, 25, berkata, dia  kini sibuk menguruskan perniagaan yang ditinggalkan ibunya dan masih  belajar untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang cekap seperti arwah  ibunya.
Sementara itu, peguam Kamarudin Ahmad dalam satu  kenyataan akhbar yang difaks kepada pejabat media petang semalam  berkata, firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners dilantik anggota  keluarga Sosilawati untuk memfailkan tuntutan ganti rugi berkenaan.
  Menurutnya, tuntutan yang  difailkan pihaknya di Mahkamah Tinggi Shah  Alam pada 2 November depan itu dikemukan terhadap peguam N Pathmanabhan  dan lima individu lain yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan  Sosilawati.
 Selain Kamarudin, peguam bela yang akan mewakili firma guaman itu ialah Won Walter Pereira dan Annie Gomez. Ketika dihubungi, Kamarudin berkata, tuntutan saman ganti rugi itu  adalah hasil perbincangan yang dibuat bersama ahli keluarga mangsa,  kira-kira seminggu lalu.
 Katanya, RM40 juta adalah jumlah  yang difikirkan sesuai berdasarkan kerugian terhadap keluarga mangsa  berikutan operasi perniagaan syarikat kosmetik itu mengalami kerugian  kerana pembunuhan kejam Sosilawati. “Bagaimanapun, kita akan  lebih memfokuskan kepada Pathmanabhan. Mungkin ahli keluarga Sosilawati  juga akan hadir ketika kita memfailkan tuntutan ini,” katanya.
  Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan, 41, pekerja ladang T  Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, didakwa di  Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting atas tuduhan membunuh  Sosilawati, 47 dan tiga individu lain. Individu lain itu  adalah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan  Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul  Karim, 32.
 Pathmanabhan dan tiga tertuduh lain didakwa  melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung  Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu. Sementara itu, pada 15 Oktober lalu, dua lelaki K Sarawanan, 19, dan U  Suresh, 26, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku  bersalah atas empat pertuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes  pembunuhan kejam itu.
 Selain membakar, mereka mengaku salah  membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di  Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting dan Sungai Panchau, Jalan  Morib Banting pada 30 dan 31 Ogos lalu. Kamarudin juga  memaklumkan, pihaknya masih menunggu maklum balas dari pihak keluarga  Ahmad Kamil sama ada mahu melakukan tindakan sama iaitu menyaman  tertuduh seperti yang dilakukan oleh ahli keluarga Sosilawati. (AK)
Klik di sini dapatkan e-buku ini...
E-Buku IH-1: 'Misteri Hilangnya Jutawan Datuk Sosilawati'

 
 

No comments:
Post a Comment