Wednesday, November 25, 2009

Kahwin: Pemuda Indo Larikan Gadis Malaysia.

by ASYOK KUMAR

KL Nov 24 2009. SATU kajian mendalam perlu dilakukan oleh bijakpandai Malaysia/Indonesia, yang membabitkan pernikahan antara dua budaya dan negara melalui kahwin lari. Migrasi lelaki dari negara jiran terutama pemuda Lombok, kini diibarat sebagai satu evolusi atau ‘cross cultural evolution’ yang menyebabkan berlaku percampuran budaya apabila penghijrah itu bercampur gaul dengan penduduk negara ini.

Demikian, saranan wakil Migrant Care di Malaysia, Alex Ong. Migrant Care (Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat), adalah sebuah organisasi sukarela yang bertanggungjawab terhadap tenaga kerja Indonesia di Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh MyMetro hari ini.

"Saya fikir satu kajian mendalam perlu dilakukan cerdik pandai dari kedua-dua negara serumpun ini kerana ia membabitkan pernikahan antara dua budaya. Migrasi lelaki dari negara jiran terutama pemuda Lombok kini diibarat satu evolusi atau ‘cross cultural evolution’ yang menyebabkan percampuran budaya apabila penghijrah itu bercampur gaul dengan penduduk negara ini." Kata wakil Migrant Care, yang mempunyai lebih 200 cawangan di seluruh Indonesia termasuk di pulau berkenaan.

“Memang benar mereka (pemuda Lombok) berhijrah ke negara ini untuk bekerja, tetapi tidak boleh dinafikan secara biologi mereka juga mempunyai naluri ingin mendampingi wanita.

“Mungkin pilihan termudah yang ada bagi mereka ialah gadis naif di bawah umur. Pada masa sama gadis yang dipilih itu sangat bahagia apabila dilayan dengan pujuk rayu,” katanya apabila diminta mengulas kes membabitkan gadis negara ini yang lari meninggalkan keluarga demi mengikut kekasih mereka ke pulau itu.

Bagaimanapun, kes berkenaan sebenarnya meruntun hati lebih-lebih di kalangan ibu bapa gadis apabila mengetahui anak tersayang lari begitu jauh ke seberang. Tahun lalu, antara gadis yang menjadi isteri pemuda Lombok ialah Che Siti Nor Azreen Che Ishak, 14; Nur Liyana Abd Rahim, 19; Noor Fadilah Ahmad, 19; Sanisah Abu Bakar, 34; Nurul Wahida Hamzah, 21, dan Aishah Mokhtar, 28. Terbaru, seorang pelajar yang juga artis remaja, Salsabila Yunan, 15, atau Bella dilaporkan mengandung selepas berkahwin dengan lelaki yang membawanya ke pulau itu, Ogos lalu.

Felo Penyelidikan Utama, Institut Tamadun Alam Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Noriah Mohamed, yang sempat mengadakan kajian di Lombok dipetik berkata, adat istiadat perkahwinan dalam budaya masyarakat Lombok agak pelik kerana bakal pengantin perlu dibawa lari.

“Melarikan gadis yang disukai adalah perkara biasa bagi masyarakat di pulau itu dan ia menjadi tradisi berkurun-kurun lamanya. Tindakan pemuda Lombok melarikan gadis yang mereka cintai adalah bagi menunjukkan sikap kelelakian dan keperkasaan mereka.

“Bagaimanapun, gadis yang mereka larikan tidak akan `dirosakkan’. Minimum masa bakal pengantin perempuan dilarikan ialah tiga hari. Selepas itu, pemuda berkenaan perlu menghantar rombongan meminang pengantin perempuan,” katanya dalam satu laporan.

Bagaimanapun, Pemangku Duta Besar Malaysia di Jakarta, Amran Mohamed Zin, berkata jumlah wanita Malaysia yang dikesan di Lombok tidaklah seramai statistik didakwa Migrant Care itu. Enggan mendedahkan angka sebenar, beliau berkata, pihak kedutaan memang ada menerima beberapa laporan kes wanita Malaysia berkahwin dan menetap di Lombok.

Editor Blog Ibnu Hasyim, Dr Hj Mohd Hasyim sewaktu diminta mengulas kes kahwin lari ke Indonesia ini mengatakan,

"Tiada masalah! Asalkan tidak menyalahi agama Islam, bahkan menguntungkan perjuangan Islam. Nabi kata, berkahwinlah dan beranaklah.. beliau gembira dengan umatnya yang ramai!. Yang penting berkahwin.. Kalau berzina sesama Malaysia pun salah. Di zaman globalisasi dunia tanpa sempadan inipun, masih ada yang berfikiran sempit begitu takut berjauhan? Kan Islam itu universal dan bumi Allah ini luas... Allah di sini, itulah Allah di Indonesia. Yang penting bergerak dan berjuang di atas landasan agamaNya.." (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails