Monday, October 10, 2022

Sah, parlimen bubar, berkuat kuasa hari ini.

 

Ismail Sabri ketika sesi perutusan khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Ismail Sabri menerusi satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen dan semua platform media sosial

“Dengan ini saya ingin memaklumkan bahawa tengah hari semalam saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Oleh itu, Seri Paduka Baginda telah memperkenankan permintaan saya bahawa Parlimen dibubarkan hari ini pada Isnin, 10 Oktober 2022,” katanya pada sesi perutusan khas di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Ismail Sabri dijangka mengumumkan sesuatu hari ini sekali gus menguatkan lagi spekulasi berhubung pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRU-15.

Desas desus pembubaran Parlimen kembali kencang apabila ada dakwaan mengatakan Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong petang semalam.

Sebelum ini, Ismail Sabri juga telah bertemu Yang di-Pertuan Agong pada Rabu sebelum perbentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Al Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke London bagi mengadakan lawatan khas hingga 16 Oktober nanti. – KOSMO! ONLINE.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails