Monday, October 10, 2022

Hoki Wanita: KL bangkit atasi T'ganu.

 

Aksi antara pemain Kuala Lumpur (jersi merah) dan Terengganu pada hoki Piala Tun Abdul Razak.

SUKAN

Kuala Lumpur bangkit atasi Terengganu

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Kuala Lumpur melepasi halangan pertama dalam saingan Kumpulan A apabila bangkit menewaskan Terengganu 3-2 pada Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pagi tadi.

Walaupun bermula langkah kanan, Kuala Lumpur bagaimanapun tidak mahu mudah dilambung kegembiraan apabila sedar laluan getir menanti mereka esok apabila dijadual menentang pasukan pilihan, Selangor.

Justeru, kapten pasukan, Nursyafiqah Mohd Zain menuntut rakan sepasukan untuk meneruskan momentum kemenangan bagi membolehkan pasukan berpeluang berada di puncak carta kumpulan.

"Selangor adalah antara pasukan yang hebat dan pasukan pilihan untuk Piala Tun Abdul Razak tahun ini. 

"Kami akan berikan yang terbaik bagi membolehkan kami berada di puncak kumpulan. Justeru, kami mesti menang ke atas Selangor," kata Nursyafiqah.

Pada perlawanan pagi tadi, Kuala Lumpur dikejutkan dengan jaringan awal dari Terengganu pada minit keenam menerusi Nur Farah Hanis Azharuddin sebelum Nur Syaza Afiqah Safawi menyamakan kedudukan selang tujuh minit kemudian. 

Nur Zafirah Aziz meletakkan Kuala Lumpur di depan pada minit ke-18 sebelum berada di kedudukan lebih selesa menerusi jaringan Razreena Razali pada minit ke-22.

Terengganu bagaimanapun merapatkan jurang pada minit ke-32 menerusi jaringan Norhasikin Halim.

"Untuk perlawanan tadi, pada suku pertama, kami bermula agak perlahan. Masing-masing masih lagi mencari rentak perlawanan. Kami memberi ruang kepada pihak lawan menguasai bahagian tengah padang dan membuatkan mereka dapat menjaringkan gol pertama.

"Di suku kedua, kami sudah mula menguasai perlawanan tetapi banyak peluang yang kami sia-siakan. Pada suku terakhir, pasukan lawan mula memberikan asakan dan kami banyak melakukan kesilapan," kata Nursyafiqah.

Kuala Lumpur dan Selangor pada ketika ini berkongsi tiga mata untuk masing-masing berada di kedudukan pertama dan kedua Kumpulan A manakala Terengganu dan Melaka berada di tangga ketiga dan keempat.

(IH)

 Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails