Tuesday, October 11, 2022

'Jangan undi orang gila' ..& Tamak kuasa.

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BERNAMA

1. 'Jangan undi orang gila'

ALOR SETAR: Pengundi diminta tidak memberi sokongan kepada pihak yang mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera ketika semua agensi kerajaan kini dalam persediaan menghadapi Fasa Peralihan Monsun.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan berlakunya banjir besar antara Oktober hingga Mac tahun hadapan akibat peralihan monsun timur laut.

Bagaimanapun, katanya, ada pihak tidak mempedulikan amaran itu dan terus mendesak PRU-15 diadakan sehingga menyatakan sanggup berkempen dalam keadaan banjir tanpa mempedulikan nasib rakyat. 

"Kita dapat laporan MetMalaysia meramalkan dijangka berlaku banjir besar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akibat pemanasan global dengan semua agensi Persekutuan dan negeri diarah membuat persediaan rapi.

"Tiba-tiba ada orang gila ajak buat pilihan raya, ini sejenis gila apabila ajak orang kempen dalam banjir. Dia kata pilihan raya dalam banjir sekalipun kita redah, mereka tak ada kerja hingga sanggup buat kerja ini.

"Apabila MetMalaysia kata banjir hingga Mac 2023, buatlah pilihan raya April. Masa itu semua orang boleh keluar mengundi. Kita pun senang berkempen, tak perlu selak kain lalu celah air nak berkempen ke rumah orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, yang turut dihadiri EXCO Penerangan negeri, Datuk Wan Romani Wan Salim.

Muhammad Sanusi berkata, keadaan menjadi sukar kepada semua pihak termasuk polis yang bertanggungjawab menjaga keamanan jika PRU-15 diadakan dalam keadaan banjir.

Berikutan itu, beliau berharap PRU-15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat ini dan mencadangkan dilaksana selepas April 2023, iaitu selepas keadaan cuaca diramal menjadi kembali cerah.

"Saya sudah sembah maklum kepada Sultan Kedah pada Selasa lalu, bahawa kerajaan negeri tidak akan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga Mac 2023 dan hanya selepas itu boleh dipertimbang untuk bubar.

"Tuanku (Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) titah kepada saya itu kuasa Menteri Besar dan terpulang kepada pertimbangan saya, maka DUN Kedah selamat tidak perlu pilihan raya sehingga tahun depan.

"Tetapi kerana mereka mahu bubar Parlimen juga, maka kita mungkin kena mengundi Parlimen. Jika pengundi rasa susah untuk mengundi (dalam banjir), maka jangan undi orang gila itu.

"Saya tidak kata pada sesiapa, tetapi pada orang gila yang ajak pengundi berenang ke pusat mengundi," katanya. (BH)


2. ‘Orang tiada kuasa nak kuasa itulah tamak’ 


KOTA BHARU: Pihak yang mendakwa negeri-negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sebagai tamak menunjukkan pihak terbabit tidak memahami maksud tamak kuasa.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan pihak yang mempertikaikan tindakan beberapa negeri yang tidak serentak membubarkan DUN bukan tamak kuasa.

“Siapa tamak kuasa? Orang yang tiada kuasa nak kuasa itulah yang tamak.. yang dah ada kuasa tamak apa?

“Kita macam kontraklah, kontrak kita habis bulan Mei, kenapa nak resign (berhenti) awal? Bukankah sampai bulan Mei penggal kita? Kenapa tak boleh sabar? Itu isunya,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Terdahulu Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, negeri-negeri pentdbiran Pakatan Harapan (PH) tamak kuasa kerana tidak membubarkan DUN mereka.

Menurutnya gabungan PH bimbang kehilangan kuasa menyebabkan mereka menuduh BN yang tamak kuasa.

Mohd Amar berkata, beliau tidak nampak kenapa Umno mahu mengadakan pilihan raya tergesa-gesa sedangkan pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri masih stabil.

Bahkan kata beliau, pembangkang turut memberikan sokongan kepada pentadbiran sedia ada.

Baru-baru ini negeri-negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan mengumumkan tidak akan membubarkan DUN sekiranya parlimen dibubar akhir tahun ini.

Tindakan itu diambil mengelakkan PRU pada musim tengkujuh dan tumpuan membantu rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup. – HARAKAHDAILY 11/10/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails