Friday, October 14, 2022

Kerjasama PAS-BN tangguh. PAS guna logo sendiri di 3 negeri.

 


1. PAS tangguh kerjasama dengan BN kerana ada kekeruhan

KUALA LUMPUR: PAS menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) kerana terdapat kekeruhan wujud dalam gabungan itu antaranya golongan pemberi rasuah yang belum diselesaikan. 

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian dalam Kuliah Dhuha secara langsung menerusi Facebook beliau dari Pantai Kelulut, Marang, sebentar tadi. 

“Kita tahu penerima rasuah ni ada dituduh, tak bersalah, difitnah macam-macam. Tapi tak selesai lagi. Penerima rasuah masih ada dalam BN. Kemudian cuai melaksanakan Islam. Dia orang Islam, dia memerintah dekat 50 tahun, cuai melaksanakan Islam.  

“Melemahkan Islam. Ini kecuaian dia. Zalim, kita nak laksanakan Islam di Terengganu, di Kelantan, dia rampas royalti. Hasil minyak Terengganu patut dapat ke Terengganu dapat ke Kelantan. Hok Terengganu dia rampas. Hok Kelantan dia tak beri.  

“Dia tekan Kelantan macam-macam. Katalah Kelantan tak boleh buat projek, tak boleh selesai masalah air, tak boleh, tak tak boleh, tak boleh, tak boleh ini. Tapi mu tak beri pitih. Kewajipan Kerajaan Pusat kena beri. Tapi buat main-main.  

“Kelantan dalam keadaan kesusahan. Orang Kelantan kena sabar. Orang Kelantan yang dengar ini kena sabar. Ini masalah Kelantan. Ha pasal apa, pasal apa tak boleh selesai? Kelantan didera begitu rupa. Tapi sehingga hari ini, sabar orang Kelantan ini.  

“Dah kali yang pertama 20 tahun, kali yang kedua 30 tahun dengan perjuangan Islam, tak tolak,” puji beliau terhadap sokongan rakyat Kelantan kepada perjuangan Islam dibawa PAS. 

Katanya lagi, kekeruhan yang ada di dalam BN juga ditambah oleh sikap tidak sabar dan rakus hendak memerintah, sedangkan masalah disebutnya itu tidak diselesaikan, sedangkan PAS sudah menolong menjatuhkan Pakatan Harapan (PH). 

Jelas beliau, PAS telah menarik semula orang Umno yang keluar menubuhkan BERSATU dan menyertai PH hingga menang membentuk kerajaan, lalu dipujuk kepada penyatuan Melayu-Islam. 

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kita tubuh. PAS bersama dengan parti BERSATU, bersama dengan Umno tubuh kerajaan. (Tapi) Dalam Umno ni masih ada yang gelenyar lagi, yang tak insaf, yang tak sedar. Ini masalahnya, kekeruhan.  

“Bukan kita nak bermusuh. Tak bermusuh. Tapi kerana ada keruh. Kerana ada keruh ni, kita tangguh dulu. Dengan sebab itu kita mengambil pendekatan untuk menjernihkan keadaan. Banyak orang mari pujuk saya macam-macam.  

“Macam-macam pihak daripada setinggi-tinggi, serendah-rendah mari pujuk saya, gabunglah dengan BN ni. Saya kata, kita fikir-fikir dululah. Kita gabung dengan PN, tolak yang beri rasuah, tolak yang terima rasuah, laksana amar makruf, nahi mungkar walaupun ini lebih payah.  

“Lebih senangnya dengan Umnolah, boleh menang cepat. Orang ramai sokong, tapi kita tak gopoh. Macam buah durianlah. Jangan kait cepat sangat, kalau kait cepat sangat dak dan masak lagi, makan, kembung perut. Kembung perut. 

“Dengan sebab tak mahu beri kembung perut inilah, biar masak betul-betul dulu. Saya tahu, ada orang PAS dia tak tahan, terliur sangat dah, dah, nak makan pengat durian. Terliur sangat dah. Durian mentah lagi, kena sabar dulu, biar masak molek dulu. Ada ini,” ujarnya.

Di dalam BN juga katanya, terdapat penerima rasuah walaupun pemberi rasuah sudah tidak berminat kepada mereka, selain ramai terlibat salah laku yang menyebabkan rakyat menerima susah dan masalah-masalah semakin membarah. 

Malah, kegopohan BN untuk mendapat kuasa hinggakan bertindak membubar Parlimen sesama musim banjir kerana ingin menang cepat mendapat kuasa serta mengheret PAS terlibat sama. 

Beliau bagaimanapun menjelaskan kewajiban mengundi dan pilihan raya tersebut sepertimana ibrah terkandung dalam peristiwa Hudaibiyah yang diharap dapat difahami ahli PAS dan rakyat. – HARAKAHDAILY 14/10/2022


2. PAS guna lambang Bulan pertahan kerusi Parlimen di Kedah, Kelantan dan Terengganu 

KUALA LUMPUR: PAS akan terus menggunakan logo parti itu di Kelantan, Terengganu, Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun di negeri lain, beliau berkata, PAS berkemungkinan besar akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

"Sudah dimuktamadkan dan akan dibawa ke Majlis Pimpinan Tertinggi PN," katanya dalam wawancara dengan HarakahDaily, semalam.

Semalam, mesyuarat Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat memutuskan parti itu memilih PN sebagai sekutu menghadapi PRU15.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dipetik berkata keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Dengan perkembangan itu, bermakna PAS menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjalinkan kerjasama pada PRU15.

Mengulas lanjut keputusan itu, Tuan Ibrahim menjelaskan disebabkan PAS berdaftar sebagai PN, maka parti terbabit akan bersama gabungan berkenaan.

Malah, beliau berkata, PAS sudah menggerakkan kekuatan jentera PN peringkat negeri, dan perkara itu harus diteruskan.

"Oleh kerana mereka (UMNO) tidak hendak bersama (PN) dan mereka (UMNO) sudah membuat keputusan untuk bergerak solo, jadi kita… bersama PN.

"Sebab UMNO sudah membuat keputusan untuk solo banyak kali, mereka hendak solo. Oleh kerana mereka membuat keputusan hendak solo, jadi takkan kita hendak bersama dia?" katanya.

Mengulas keputusan PAS tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, Tuan Ibrahim berkata, pendirian itu dibuat kerana PAS tidak mahu terheret dengan kemarahan rakyat jika DUN dibubarkan.

"Isu kita di sini ialah rakyat marah dengan pembubaran Parlimen sekarang, dan kita tak mahu terheret sama dengan kemarahan rakyat jika kita membubarkan DUN.

"Kita juga perlu konsisten, malah kita sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan tidak bersetuju jika pilihan raya dibuat pada musim banjir," katanya.

Justeru, beliau menegaskan jika DUN tiga negeri itu dibubarkan nanti, ia akan bercanggah dengan apa yang sudah diputuskan.

"Oleh itu, kita konsisten dengan keputusan harian bahawa tiga DUN di tiga negeri terbabit tidak akan dibubarkan sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membubarkan pada waktu ini.

"Soal kos dan sebagainya, kita akui tetapi (ini) kesilapan mereka, bukan kita. Kenapa mereka bubar (Parlimen) pada waktu ini? Rakyat susah, kalau banjir berlaku. Kemudian sekolah akan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir. Kita bimbang, takut-takut kemarahan rakyat sekarang sangat ketara," katanya.

Mengenai senarai calon daripada peringkat kawasan atau negeri pula, beliau menjelaskan, parti sudah mengarahkan negeri menghantar calon dengan segera kerana ia perlu diangkat kepada Majlis Syura (Ulamak) untuk diputuskan.

"Mereka akan hantar sekurang-kurang tiga nama dan Majlis Syura akan meneliti kelayakan calon, kemudian membuat keputusan dan diserahkan semula kepada parti untuk membuat pilihan... antara tiga ini mana satu yang akan menjadi calon," katanya.

Mengenai Muafakat Nasional (MN), Tuan Ibrahim berkata, gagasan penyatuan ummah itu diteruskan dan perkara berkenaan akan diteliti semula.

"Kita akan tengok nanti bagaimana. Penyatuan ummah masih berjalan, penyatuan ummah ini bukan faktor pilihan raya saja, pilihan raya ini kita dengan PN," katanya. (BH)

Komen Weblog Ibnu HasyimKerjasama PAS-BN tangguh. PAS guna logo sendiri di 3 negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Insya Allah, beres.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails