Wednesday, October 12, 2022

Bubar Parlimen, Ismail Sabri disaman. & selamatkan negara -Muhyiddin.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan perutusan khas pembubaran Parlimen di Perdana Putra pada Isnin lalu

1. 'Ismail Sabri disaman kerana bubar Parlimen'

PUTRAJAYA: Penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago, menfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri kelmarin.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan salinan saman pemula yang difail dan dilihat BH, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala (1A) adalah sewaktu menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Charles juga menuntut satu deklarasi bahawa permintaan Defendan Pertama kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2022 untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat, atau berdasarkan kuasa am, Jemaah Menteri dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Beliau juga menuntut satu deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022 seperti yang dimaklumkan melalui P.U.(A) 320 tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Justeru, Charles menuntut satu deklarasi bahawa defendan ketiga iaitu SPR, tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran mana-mana writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 dan pengeluaran sebarang notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Beliau juga memohon suatu perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk menghalang defendan ketiga dan ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan PRU berdasarkan kepada pembubaran itu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran sebarang writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 pengeluaran mana-mana notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan/atau daripada memberi kesan kepada mana-mana writ atau notis sedemikian jika dikeluarkan.

Beliau turut menyertakan afidavit sokongan yang antara lain menyatakan antara fakta menyokong saman pemula berkenaan termasuk banjir yang melanda pada Disember 2021 serta bantahan parti-parti yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dalam situasi ketika ini.

Sementara itu, Charles ketika dihubungi mengesahkan tindakan terbabit, sambil memaklumkan akan mengeluarkan satu kenyataan media mengenainya hari ini.

"Salam. Saya akan hantar kenyataan dalam masa terdekat," katanya secara ringkas.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14.

Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu. (BH)


2. Bersama PN selamatkan negara – Muhyiddin  


SETELAH selesai melancarkan Perikatan Nasional (PN) Perak kelmarin, semalam saya ke Temerloh pula untuk majlis yang sama bagi Negeri Pahang. 

Pahang merupakan negeri kelima PN dilancarkan secara rasmi dan kebetulan jatuh pada hari Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan. 

Saya merasa gembira melihat kehadiran begitu ramai pemimpin kanan PN pada majlis ini seperti Timbalan Pengerusi PN, YB Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Pengerusi PN Pahang YB Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin; dan Bendahari Agung YB Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta kepimpinan peringkat Negeri Pahang seperti Timbalan Pengerusi PN negeri merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri YB Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan Pahang Ranndy Yap Kim Heng.

Saya dapat merasakan mood pilihan raya sudah bermula melihat kepada jumlah kehadiran orang ramai pada majlis ini.

Sepertimana sebelum ini, saya tegaskan sekali lagi mengenai keperluan rakyat memastikan Perikatan Nasional menang dalam pilihan raya bagi menentukan masa depan rakyat dan negara yang lebih baik, cemerlang dan gemilang. 

Ini kerana situasi mutakhir negara tidak seperti waktu dahulu dengan politik yang tidak stabil, ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta imej negara pada mata dunia yang semakin merosot.

Pilihan raya ini merupakan usaha kita untuk menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke lembah kerosakan yang lebih dalam.

Percayalah ini semua akan dapat kita capai jika kita terus istiqamah dengan semangat kerjasama dan perpaduan erat serta bekerja bersungguh-sungguh sesama kita dan menggerakkan jentera pilihan raya dengan rasa penuh tanggungjawab.

Saya juga merasa gembira apabila kita mencapai persetujuan untuk bergerak atas nama jentera pilihan raya PN sahaja sepanjang tempoh berkempen. Ini merupakan isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa PN merupakan pilihan terbaik untuk menerajui negeri ini selepas PRU nanti.

Marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan pilihan raya ini tidak terganggu dengan kejadian banjir yang sudah mula berlaku sekarang ini atau situasi buruk yang menyebabkan rakyat tidak boleh melaksanakan tanggungjawab memilih.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
Pengerusi Perikatan Nasional  HARAKAHDAILY 11/10/2022

 Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails