Thursday, October 27, 2022

PRU15: Tanding 3 penjuru, Ini tumbukan awal BN. PAS T'gnu elak.

 


1. Persiapan awal, keperibadian Ismail Sabri bonus buat BN Oleh Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh  bhrencana@bh.com.my

Suasana politik negara sejak Parlimen diisytihar dibubarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu semakin meriah dan mendebarkan.

Bertaburan analisis daripada pelbagai pihak mengulas peluang kemenangan parti bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Walaupun pertandingan banyak penjuru dijangka berlaku pada PRU15, dapat dilihat tiga pesaing utama bagi mendapat mandat rakyat membentuk kerajaan adalah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ada pihak berpandangan BN memiliki kelebihan untuk menang selesa, tetapi tidak bergaya pada PRU15, namun tidak kurang juga berpandangan PH dan PN memiliki peluang menang.

Bagaimanapun, berdasarkan petunjuk semasa, BN dilihat lebih bersiap siaga dan jauh terkehadapan berbanding PN dan PH. Sejak memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, BN sentiasa bersiap siaga serta bersemangat untuk menghadapi PRU15.

Atas faktor kemenangan di Johor dan Melaka ini, maka berulang kali seruan dibangkitkan pemimpin UMNO/BN supaya Parlimen dibubarkan sebagai jalan berdaulat membentuk kerajaan lebih kuat untuk mentabdir negara.

Pada masa sama, pemimpin PN dan PH pula menyediakan pelbagai alasan tersendiri meminta Parlimen tidak dibubarkan sehingga tamat penggal.

Malah, 12 menteri Kabinet daripada PN bertindak mendahului Perdana Menteri dalam soal ini dengan mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Oktober menolak cadangan pembubaran Parlimen.

Dalam warkah ini mereka menyembah maklum tidak bersetuju PRU15 dilangsungkan pada tahun ini atas alasan utama banjir dijangka berlaku.

Sebaliknya, mereka mahu PRU15 dilangsungkan selepas Monsun Timur Laut berakhir yang dijangka pada Mac 2023.

PH melalui Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago, mengemukakan cabaran undang-undang di mahkamah memohon pembubaran Parlimen diisytiharkan tidak sah.

Selain prosedur undang-undang secara teknikal yang dikatakan tidak bertepatan dengan kehendak Perlembagaan, hujah mengenai banjir turut dibangkitkan.

Semua ini jelas memberikan gambaran kepada rakyat BN sudah menang dari sudut moral berbanding PN dan PH yang tidak bersedia menghadapi PRU15.

Lebih utama lagi adalah poster boy dan rekod BN jauh lebih baik berbanding PN dan PH. BN melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada mesyuarat 14 April lagi secara sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri sekiranya BN memenangi PRU15.

Pengumuman lebih awal calon Perdana Menteri ini berdasarkan keputusan PRN sebelumnya disertai pengumuman lebih awal calon Ketua Menteri atau Menteri Besar, memberi kelebihan besar kepada parti politik berbuat demikian.

Ismail Sabri catat banyak kejayaan

Menariknya, hampir tiada langsung suara dalam UMNO mahupun parti komponen BN mempertikaikan keputusan MKT UMNO ini.

Hal ini tidak menghairankan kerana selaku Perdana Menteri Ismail Sabri mencatatkan banyak kejayaan menjadikan beliau popular, termasuk mengemudi negara keluar daripada COVID-19, selain merealisasikan beberapa inisiatif baharu dan besar dalam pentadbiran.

Berbanding tempoh 22 bulan negara berada di bawah pentadbiran PH dan 17 bulan di bawah pentadbiran PN, tempoh 14 bulan negara berada di bawah pentadbiran BN, dengan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah tempoh paling produktif negara.

Boleh dikatakan dalam tempoh sesingkat itu Ismail Sabri berjaya melakukan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran sebelumnya cuba diusahakan beberapa Perdana Menteri, tetapi masing-masing menemui kegagalan.

Antaranya adalah sokongan sebulat suara diterima terhadap dua pindaan besar dalam Perlembagaan iaitu membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

Jika hanya dalam tempoh sesingkat itu sudah banyak pembaharuan dalam pentadbiran berjaya beliau laksanakan, bayangkanlah apa lagi yang tidak mampu beliau lakukan jika diberi ruang lebih panjang menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.

Dari segi faktor peribadi pula, Ismail Sabri dilihat bersih dan bebas daripada perkara kontroversi, sekali gus membolehkan UMNO dan BN membawa agenda urus tadbir baik untuk ditawarkan kepada rakyat.

Sepanjang tempoh singkat pentadbirannya juga, Ismail Sabri mempamerkan wajah seorang pemimpin mengamalkan corak kepimpinan berunding dan mendapatkan pandangan banyak pihak, kawan dan lawan.

Hubungan baik Ismail Sabri dengan semua pihak, khususnya dengan ketua jabatan kerajaan dalam pentadbiran negara termasuk pihak istana dan penjawat awam, pemimpin pembangkang juga, adalah aset besar untuk UMNO dan BN.

Pendek kata, pemilihan Ismail Sabri sebagai poster-boy dan rekod beliau memimpin kerajaan, termasuk rekod UMNO serta BN dalam perjalanan pentadbiran kerajaan dijangka membuka hati pengundi untuk memilih UMNO/BN pada PRU15 nanti.

Tidak dinafikan ada fitnah dibawa bagi menunjukkan Ismail Sabri hanya akan digunakan sebagai 'alat' menarik sokongan pengundi tetapi hal ini dijelaskan berkali-kali Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas platform Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran.

Setakat ini model berkerajaan dengan Perdana Menteri bukan datang daripada pemimpin tertinggi parti ternyata membuahkan hasil membanggakan, sekali gus diharap membantu UMNO/BN kembali membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti.

Penulis adalah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)


2. 20 manifesto PAS Terengganu ditunaikan  

HARI ini menjadi sejarah apabila 20 daripada 20 manifesto PAS Terengganu yang dijanjikan dalam PRU14 ditunaikan. 

Semacam mimpi kan? Masih ada parti politik dan pemimpin politik yang tunai janji?

Tidak pelik kalau kita rasa mustahil lagi pada alaf ini ada parti yang tunaikan janji. 

Kerana trauma ditipu 22 bulan oleh manifesto bukan kitab suci menjadikan kita rasa tak percaya ada lagi parti tunai janji.

Namun, harapan kita seolah-olah kembali ada. Ibarat munculnya cahaya di balik kegelapan. Tumbuhnya tunas di balik kelayuan politik.

PAS melalui Kerajaan Negeri Terengganu menghidupkan harapan itu apabila menunaikan 20 manifesto yang dijanjikan. 

Ya, hari ini secara rasminya dua lagi manifesto Kolej Universiti dan Bandar Lestari mula dilaksanakan melalui majlis pecah tanah oleh Dr Samsuri.

Sebanyak RM350 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2022 untuk pembinaan Kolej Universiti Quran Terengganu di Durian Mentangau. 

Manakala Bandar Lestari Durian Mentangau dan Bandar Lestari Bukit Seraya menjadi perintis kepada Bandar Lestari di Terengganu. 

Dua pembangunan ini telah meningkatkan  jumlah tunai janji daripada 18 manifesto kepada 20 manifesto yang ditunaikan. 

Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan PAS sebuah parti yang menunaikan janji kepada rakyat. 

Malah, ianya merempuh arus dan merobohkan tembok persepsi dan kekecewaan rakyat terhadap parti politik yang menipu rakyat. Mahu janji manifesto ditunaikan, pilihlah PAS.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 27/10/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimPRU15: Tanding 3 penjuru terbesar BN, PN, PH. Ini tumbukan awal BN. Keperibadian Ismail Sabri bonus buat kekebalan penumbuk BN. 

PAS Terengganu mengelak, dengan tepisan '20 manifesto PAS Terengganu ditunaikan.' Tepisan mengelak yang ditujukan PAS Terengganu kepada PH (memerintah 22 bulan tapi gagal tunaikan janjinya). Merembas juga kesan tumbukan itu kepada BN yang memerinth Malaysia lebih lama lagi).

Begitu kira-kira, gambaran awal di gelanggang silat atau kongfu PRU 15 ini...

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Kita yakin parti Islam PAS akan memenangi PRU di Kelantan, Terengganu dan Kedah. PAS juga berpotensi untuk memenangi sebilangan kerusi parlimen di negeri-negeri lain berdasarkan kajian yang dibuat.

Ini bererti PAS akan menjadi king maker kerana oarti-parti lain tidak cukup kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan pusat.

Oleh sebab semua ahli dan penyokong perlu berusaha berkempen untuk PAS secara bijaksana dan menolak semua propaganda dan politik persepsi yang disebarkan cybertrooper dedak ternakan parti lawan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails