Tuesday, August 23, 2022

Rayuan gagal, Najib ke penjara hari ini..

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan.

"Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.

"Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ," kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.

Dengan keputusan di akhir prosiding itu, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa hari ini.

Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.

Pembelaan perayu tidak konsisten

Tengku Maimun berkata, Mohd Nazlan membuat keputusan yang betul apabila mendapati pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat dalam masa 34 minit, Tengku Maimun berkata, panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan mendapati Mohd Nazlan sudah melakukan analisis yang mendalam terhadap bukti dikemukakan pihak pendakwaan.

"Oleh itu, kami tidak boleh menyimpulkan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan adalah songsang atau jelas salah sehingga memerlukan campur tangan rayuan.

"Kami bersetuju pembelaan perayu sememangnya tidak konsisten sehingga tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Dalam keadaan ini dan selepas meneliti bukti, penghujahan dan rekod rayuan yang lain, kami mendapati aduan perayu seperti terkandung dalam petisyen rayuan ini tiada sebarang merit," katanya.

Beliau berkata, kes pembelaan adalah Najib tidak pernah benar-benar mempertikaikan mengenai kemasukan dana SRC International berjumlah RM42 juta seperti dipertuduhkan ke atasnya, dalam akaun bank peribadinya ketika kes itu dibicarakan.

Sebaliknya, beliau berkata, bekas perdana menteri itu hanya mencabar elemen mens rea (niat jahat) bagi semua tujuh kesalahan dikenakan ke atasnya iaitu menafikan mengetahui dana itu daripada SRC.

Katanya, responden (pendakwaan) mengekalkan pendirian bahawa pembelaan tidak layak untuk dipercayai oleh mahkamah.

"Ia kerana pihak pembelaan mengekalkan RM42 juta yang dikatakan diperoleh secara salah oleh perayu yang menyebabkan kerugian salah kepada SRC bukan dalam pengetahuannya.

"Pada masa sama perayu menegaskan beliau diperangkap dalam satu konspirasi dirancang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low); bekas Ketua Setiausaha Sulit, Allahyarham Datuk Azlin Alias dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil serta pegawai bank.

KRONOLOGI KES

3 Julai 2018 - Najib ditahan Pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, sekitar jam 3 petang dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

4 Julai 2018 - Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd

8 Ogos 2018 - Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama

10 Ogos 2018 - Mahkamah Tinggi menetapkan 33 hari bermula 12 Februari 2019 bagi perbicaraan

13 Disember 2018 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah larangan supaya media dan orang awam tidak membicarakan mengenai merit kesnya

11 Februari 2019 - Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk menangguhkan perbicaraan

21 Mac 2019 - Mahkamah Rayuan menolak tiga daripada empat rayuan interlokutori Najib, benarkan permohonan tangguhkan bicara

27 Mac 2019 - Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib menangguhkan perbicaraan

28 Mac 2019 - Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan pada 3 April

3 April 2019 - Perbicaraan bermula selama 58 hari

11 November 2019 - Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tuduhan

3 Disember 2019 - Najib membela diri dan 18 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, prosiding selama 33 hari

11 Mac 2020 - Pembelaan menutup kes

1 Jun 2020 - Hujahan di akhir kes pembelaan selama 5 hari

5 Jun 2020 - Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai bagi keputusan

28 Julai 2020 - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

19 Oktober 2020 - Najib memfailkan petisyen rayuan mengandungi 307 alasan mengapa beliau sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan

5 April 2021 - Rayuan Najib mula didengar di Mahkamah Rayuan

18 Mei 2021 - Rayuan Najib selesai didengar di Mahkamah Rayuan selama 15 hari

23 November 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember 2021 bagi keputusan

24 November 2021 - Najib mohon melapangkan tarikh keputusan kerana perlu menjalani kuarantin COVID-19, bagaimanapun ditolak Mahkamah Rayuan

2 Disember 2021 - Najib memfailkan permohonan saat akhir di Mahkamah Rayuan untuk dibenarkan memasukkan bukti baharu dalam rayuan

3 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Disember bagi mendengar permohonan memasukkan bukti baharu

7 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan keputusan rayuan atas alasan beliau dan peguam kontak rapat dan tolak permohonan memasukkan bukti baharu berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low

8 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib

25 Januari 2022 - Najib melalui peguamnya menulis surat kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom

29 April 2022 - Mahkamah Persekutuan menetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib

21 Julai 2022 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen's Counsel (QC), Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir

25 Julai 2022 - Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam lain serta melantik barisan peguam baharu diketuai Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M Rueben

29 Julai 2022 - Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir (BH)


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Baru faham langit tinggi rendah. Lepas ni sapa pulak yg ada kes mahkamah. Kasi cuci yg kuat terima rasuah. Yg kuat beri rasuah pun kasi cuci.

JOM SOKONG PARTI YG BEBAS RASUAH.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails