Wednesday, August 24, 2022

SRC difitnah, ugut, tawar habuan. Perlu telus & Najib boleh bayar.

 

Istana Kehakiman di Putrajaya. - NSTP/Aizuddin Saad

1. 'Paling tak boleh dilupakan apabila pasukan siasatan kes SRC difitnah, diugut dan ditawarkan habuan'

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak membuktikan kerajaan tidak campur tangan dalam sistem perundangan negara.

Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin, berkata ia menutup terus ruang yang boleh dimanipulasi sesetengah pihak bahawa bekas Perdana Menteri itu akan 'diselamatkan' oleh kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN). 

Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Bahri Mohammad Zin

"Kerajaan kita diketuai pemimpin daripada BN yang berjaya menutup terus tanggapan kononnya ada campur tangan kerajaan dalam kes itu, sekali gus melambangkan sistem kehakiman kita benar-benar bebas walaupun membabitkan kes berprofil tinggi dan sensitif seperti ini.

"Saya menyambut baik ketegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mengekalkan sabitan terhadap kes SRC," katanya kepada BH, di sini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke Penjara Kajang, petang semalam, bagi menjalani hukuman terbabit.

Bahri memainkan peranan utama sebelum ini dalam siasatan kes SRC pada 2015 sebelum ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau yang memegang jawatan Pengarah BOK Khas sejak 16 Jun 2014 bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.

Bagaimanapun, Bahri kembali kepada SPRM pada Mei 2018 bagi membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC.

Pada masa sama, mengimbau kembali pengalaman siasatan kes SRC itu, Bahri berkata, paling tidak boleh dilupakannya apabila pasukannya difitnah, diugut dan ditawarkan habuan bagi menghentikan tugasan mereka.

"Paling tidak boleh saya lupakan ialah apabila Timbalan Pendakwa Raya SPRM dan beberapa pegawai BOK ditahan sebelum difitnah.

"Saya pernah berasa 'keseorangan' ketika anak buah saya dianiaya dan saya sendiri ditukarkan ke JPM ketika itu," katanya. (BH)


2. Ketelusan sistem kehakiman perlu dihormati 

KOTA BHARU: Pemimpin kerajaan diingatkan supaya mengambil iktibar terhadap kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, setiap pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya terlibat dengan sebarang kes penyelewengan ketika mengurus dan mentadbir negara.

Katanya setiap pemimpin perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelak berlaku sebarang penyelewengan, di samping menjaga imej negara itu sendiri.

“Isu ini adalah sebagai suatu peringatan kepada kita semua supaya berhati-hati ketika melaksanakan tugas. Walaupun boleh jadi tujuan kita baik tapi cara dan proses itu mestilah tidak menyalahi undang-undang.

“Niat ini, boleh jadi seseorang itu ada niat yang baik. Tapi kalau cara tidak betul dan menyalahi undang-undang ia boleh menimbulkan masalah,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Semalam Najib gagal dalam rayuannya apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM120 juta atas kesalahan penyelewengan dana tersebut.

Mohd Amar berkata, sebarang tindakan dan keputusan yang diambil mahkamah dilihat mengikuti proses ditetapkan.

Malah katanya sebarang keputusan dan ketelusan sistem kehakiman di negara ini perlu dihormati semua pihak.

“Walaupun mungkin ada tidak puas hati dan ada yang terkilan dengan keputusan tersebut tetapi prosesnya berjalan mengikut apa yang sepatutnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/8/2022


3. Najib boleh bayar denda RM210 juta  sepanjang tempoh dipenjara  

KUALA LUMPUR: Terdapat ketidakpastian bila Datuk Seri Najib Tun Razak akan membayar denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Berkaitan hal ini, golongan peguam berpendapat bekas Perdana Menteri berusia 69 tahun itu boleh membayar jumlah denda yang besar tersebut pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun beliau dipenjarakan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata berdasarkan prinsip undang-undang, Najib boleh membayar denda itu pada bila-bila masa namun jika beliau gagal berbuat demikian selepas hukuman penjaranya dijadualkan berakhir maka tempoh pemenjaraan akan ditambah lima tahun seperti perintah Mahkamah Persekutuan.

Peguam Lim Wei Jiet turut berkongsi pandangan sama dan berkata tiada had masa yang dikenakan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung tempoh pembayaran.

“Oleh itu, beliau boleh melunaskannya pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun pemenjaraannya,” kata peguam itu.

Peguam M.Viswanathan pula berkata Najib boleh membuat bayaran secara ansuran atau mengeluarkan arahan untuk menjual hartanah seperti yang diperuntuk di bawah Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kebiasaannya, tempoh masa yang munasabah diberikan untuk membuat pembayaran,” katanya.

Semakan dengan pihak berkuasa pula mendapati adalah tidak jelas sama ada Najib sudah membayar denda itu atau sebaliknya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas beliau pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Dis 2021, beliau turut gagal mengetepikan sabitan dan hukuman itu di peringkat Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kesimpulannya, SRC difitnah, ugut, tawar habuan. Bahkan perlu telus.. & Najib boleh bayar denda RM210 juta sepanjang tempoh dipenjara.  

Itulah sistem kehakiman, perlu dihormati..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails