Monday, August 22, 2022

“Isteriku sudah berhijab. -All Blacks.. S/takraw, K'tan pandai..

 

Kapsyen: Sonny Bill Williams dan isterinya, Alana bersama empat anak mereka. (FOTO Instagram Sonny Bill Williams)

SUKAN

1. Legenda ragbi All Blacks syukur isteri sudah berhijab

LONDON: Bekas pemain ragbi Muslim All Blacks, Sonny Bill Williams melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan perubahan isteri tercintanya, Alana yang kini memilih untuk berhijab.

“Isteriku sudah berhijab. Alhamdulillah, isteri saya mengambil keputusan untuk memakai tudung. Inilah satu detik paling manis dan membanggakan dalam hidup saya,” katanya kepada 1 juta pengikut Instagram miliknya.

Menurut laporan Newstimes, Williams pertama kali bertemu Alana di sebuah kedai runcit di tempat dia bekerja pada tahun 2013, tetapi pada mulanya isterinya itu enggan memberikan nombor telefonnya.

Beberapa minggu kemudian, pasangan itu mengadakan temu janji dengan ditemani oleh sepupu Alana dan suami sepupunya.

Williams mendedahkan dalam autobiografinya, You Can’t Stop The Sun From Shining, beliau dan isterinya berkahwin hanya empat minggu selepas bertemu, mengakui pasangan itu tidak pernah bercinta ketika mereka mengikat tali pertunangan

Williams dan isterinya kini mempunyai empat anak bersama, dan beliau menghargai dedikasi mereka terhadap
Islam.

Beliau mempelajari agama Islam ketika bermain untuk salah satu pasukan Perancis dan memeluk Islam pada tahun 2008.

Menurutnya lagi melalui instagramnya, beliau berdoa agar Allah SWT sentiasa mengurniakan kesihatan yang baik dan kebahagiaan buat isterinya itu.

“Apa yang istimewa ialah apabila mengetahui dia (isterinya) telah melakukannya (berhijab) demi Allah SWT dan bukan orang lain,” ujarnya dalam Instagram berkenaan. – HARAKAHDAILY 19/8/2022

2. Sukma 2022: Kelantan jalani latihan bersama Tentera Laut Thailand 

KOTA BHARU: Skuad sepak takraw Kelantan sedang menjalani latihan bersama pasukan Tentera Laut Diraja Thailand, sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur dari 16 hingga 24 Sept.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) Zuraidin Abdullah berkata latihan dari 10 hingga 30 Ogos itu, diadakan di Universiti Pathumthani, Bangkok.

“Selain skuad Sukma Kelantan, turut serta dalam latihan itu beberapa pemain mewakili pasukan tersebut dalam Liga Takraw Thailand.

“Skuad Sukma Kelantan berpeluang mengasah ‘taring’ dalam latihan itu, berikutan ia turut dikendalikan oleh bekas tekong kebangsaan Thailand Niphat Wongprasoet,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Sukma Perak 2018, Kelantan membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa, masing-masing dalam acara beregu dan antara regu.

Mengulas lanjut, Zuraidin berkata selain meningkatkan kemahiran pemain sebelum pertandingan sebenar, latihan tersebut juga membuktikan skuad Sukma Kelantan serius dalam misi membawa pulang dua pingat emas pada temasya itu nanti.

“Kita sasar dua pingat emas pada temasya kali ini menerusi acara antara regu dan beregu. Latihan ini sebagai persiapan terakhir untuk memberi cabaran sengit kepada pasukan lain,” katanya. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: 

(i) Legenda ragbi All Blacks syukur isteri sudah berhijab.

(ii) Skuad sepak takraw Kelantan pandai ambil peluang jalani latihan bersama pasukan Tentera Laut Diraja Thailand. 

(iii) Semuanya, al-hamdulillah!

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails