Tuesday, August 23, 2022

Dilema UMNO-Bersatu. PAS? Anak muda libat politik.

 


1. Dilema antara UMNO, BERSATU tentukan nasib PAS pada PRU-15

KENYATAAN dilontarkan pemimpin PAS kebelakangan ini terutama terhadap UMNO yang menjadi rakan Muafakat Nasional (MN) yang hidup segan mati tidak mahu atau isyarat disisipkan dihantar kepada 'penyokong' Pakatan Harapan (PH) memberikan gambaran bercampur keputusan politik yang perlu diambil parti Islamis itu.

Dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi kerana tempoh mandat Parlimen berakhir Julai tahun depan, pelbagai persoalan timbul dalam melihat apakah peranan PAS pada pilihan raya itu nanti? Persoalan penting ini perlu dijawab kerana PAS wajib menentukan hala tujunya bagi memastikan penyokong tidak keliru.

PAS pernah menjalin kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) demi menegakkan semula kerajaan majoriti Melayu kuat seperti sebelum 2018, iaitu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini, parti itu hanya berkuasa di beberapa negeri di Pantai Timur seperti Kelantan serta Terengganu dan kebelakangan ini penting dalam membantu menguatkan kerajaan PAS di Kedah.

Namun, PAS turut menjalin kerjasama dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Persekutuan bersama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anehnya PAS memilih untuk bersama PN dalam dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor untuk berlawan dengan BN. Walaupun PN hanya memenangi dua kerusi di negeri Hang Tuah, PAS tetap meneruskan kerjasama dengan gabungan itu di negeri selatan Semenanjung itu.

PN memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dengan PAS hanya menang satu kerusi di DUN Maharani, manakala DUN Bukit Kepong dan Endau dimenangi BERSATU.

Ramai pemerhati sedang melihat apa yang PAS akan lakukan menjelang PRU-15, sama ada kembali bekerjasama dengan UMNO dalam MN atau kekal dengan PN.

Langkah ini penting kerana ia akan menentukan dua perkara. Pertama, apakah PAS yakin gelombang biru akan bangkit semula dan bekerjasama dengan MN bermakna PAS akan menjadi sebahagian kerajaan sekiranya menang PRU-15.

Kedua, sejauh manakah PAS yakin PN akan kembali dengan kedudukan kerusi lebih kurang sama untuk membolehkan PN kembali memerintah, sekali gus PAS akan kekal dalam gabungan berkenaan jika berjaya membentuk kerajaan semula.

Kedua-dua pilihan bersama MN atau PN bukan mudah. Politik Malaysia sudah banyak berubah. Kemungkinan besar PRU-15 nanti tidak memunculkan mana-mana akan menang dengan majoriti meyakinkan.

Justeru, pilihan rakan bersama dalam PRU-15 juga penting. Tersalah pilih maka PAS akan tergelincir dan terlepas daripada pasukan menubuhkan kerajaan.

Umpama 'telur di hujung tanduk' 

Oleh itu, PAS umpama berada dalam keadaan 'telur di hujung tanduk'. Berbanding MCA dan MIC yang sudah bersama UMNO sejak 1955 hingga mereka boleh digambarkan 'berenang bersama, tenggelam bersama,' PAS berdepan pilihan sukar.

Secara sejarah, PAS adalah parti serpihan UMNO tetapi sejak berpisah, persaingan antara kedua-dua parti itu sudah melangkaui tempoh panjang dan sarat konflik serta persaingan demi mencari pengaruh dan kuasa.

PAS menjadi lawan kepada BN, terutama UMNO melebihi 50 tahun hingga masyhur ungkapan 'di mana ada kerusi UMNO, di situ ada PAS.' Hampir semua kerusi dipertandingkan pada PRU sebelum ini menjadi pertembungan antara PAS dengan UMNO.

Kerjasama politik antara PAS dengan BN lebih mencabar dari segi pembahagian kerusi. Jumlah kerusi akan ditandingi BN dan PAS mungkin menjadi isu berbanding PAS bersama PN. Kini, UMNO menguasai 38 kerusi Parlimen dan PAS memiliki 17 kerusi.

Ini bermakna, PAS perlu menumpukan matlamat bersama ingin dicapai parti komponen dalam kerjasama politik seperti mendapatkan kuasa dan menjamin kebajikan rakyat.

PAS perlu mengelak membincangkan isu sensitif tidak dipersetujui parti komponen. Komunikasi, tolak ansur dan toleransi perlu diutamakan dalam kerjasama politik supaya dapat mengatasi serta mengurangkan konflik. Kekuatan PAS ialah akar umbi 'wala' dan patuh kepada pemimpin.

Wala' menjadi keistimewaan tidak dimiliki parti lain. Keputusan dibuat pemimpin atasan akan disokong sepenuhnya ahli bawahan kesan tarbiah ditanam PAS kepada ahlinya selama ini.

Mungkin juga PAS sekarang dan PAS dahulu berubah selepas beberapa tokohnya seperti Datuk Asri Muda, Yusof Rawa, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Fadzil Noor tiada. Perlu diakui PAS berjaya membawa perubahan apabila mampu bekerjasama dengan parti bukan Islam terutama DAP dan lebih memahami keperluan mengungkap dasar politiknya dalam kaedah dan laras bahasa boleh difahami serta diterima masyarakat.

PAS menawarkan manifesto kerajaan amanah, adil, bersih dan menuju negara kebajikan serta disambut baik rakan politik serta masyarakat sama ada Islam mahupun bukan Islam.

Pendekatan sosiopolitik juga semakin baik dan terbuka dengan slogan 'PAS Untuk Semua' serta kemunculan kelab penyokong PAS daripada kaum Cina dan India yang memberi isyarat penerimaan bukan Islam.

Kini, PAS kembali memberi keutamaan bekerjasama dengan BERSATU dalam PN atas dasar kepentingan Melayu/Islam dan kelangsungan golongan majoriti negara ini. Namun, hubungan PAS dengan UMNO menerusi MN masih sukar diterjemahkan dalam konteks sebenar kerjasama politik. Pada masa sama, untuk PAS meninggalkan kedua-duanya, iaitu UMNO dan BERSATU, adalah sukar terutama apabila PAS sudah mengecap keselesaan sebagai kerajaan.

Pelbagai jawatan dan kemudahan dinikmati. Jika segala jawatan dan kemudahan ini tiada, pasti menyukarkan PAS untuk menyematkan syiar Islam dalam urus tadbir negara mengikut dasar perjuangan parti. Ini bermakna, PAS sebenarnya yang perlu memilih ketika ini, terutama menjelang PRU-15.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).


2. Presiden PAS seru anak muda Islam supaya terlibat politik  

KUALA LUMPUR: Anak-anak muda Islam jika bersikap tidak mahu dan merasa bosan dengan politik akan menyebabkan kuasa pemerintahan diambil alih oleh orang bukan-Islam, demikian peringatan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Nasihatnya juga supaya anak-anak muda Islam tidak terpengaruh dengan serangan pemikiran dibawa penjajah mengatakan politik itu kotor dan tiada dalam Islam, sedangkan para Nabi juga berpolitik dan terlibat dalam kuasa pemerintahan.

Jelasnya, teori memisahkan politik daripada agama adalah dipengaruhi Kristian kerana pertembungan gereja dan paderi, serta teknologi revolusi industri dan urusan dunia, lalu dibawa ke dalam Islam agar umat ini meninggalkan hal ehwal pemerintahan.

Beliau mengajukan demikian pada Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022 bertemakan ‘Membangun Siswa Demi Negara’ yang berlangsung di Wisma Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Puchong, semalam.

“Politik ialah kuasa pemerintahan, bukan menipu. Yang mengotorkan kuasa ni manusia. Yang rasuah tu manusia. Politik ni perintah Allah. Bila orang Islam tinggal kuasa politik, orang lain ambil alih, orang Islam dihina, diseksa. Pemerintahannya bercelaru, diseksa di dunia, diseksa di akhirat.

“Terseksa dalam masalah ekonomi, inflasi, pengangguran, macam-macam, ini seksa Allah. Inflasi ini kerana penyelesaian bukan ikut cara Islam, berlaku inflasi, berlaku pengangguran. Padahal hasil negeri kita banyak, melimpah-ruah negeri Islam ni, getah di negeri Islam, bijih di negeri Islam, petroleum di negeri Islam. Tapi orang Islam lemah, hasilnya banyak. Hina.

“Hasil diangkut oleh orang. Kita orang kampung jual getah pada tauke. Tauke jual ke British. British buat tayar. Dia beli getah kita dia letak berapa harga. Setelah proses dia buat barang jual, dia letak harga. Barang kita, kita jual dia letak harga, dia jual kat kita letak harga. Tak hina? Hina, seksa.

“Gejala sosial, banyaknya jenayah, banyaknya macam-macam. Ini seksa dunia bila tinggalkan Islam. Kaum yang lain memerintah kamu. Bila tak berpolitik, orang lain berpolitik. Sedangkan orang bukan Islam berpolitik. Orang bukan-Islam bekerja dalam hutan di Pahang balik mengundi di Perak.

“Bekerja dalam hutan di Sabah, Sarawak balik mengundi di Pulau Pinang. Yang duduk Australia balik mengundi di Pulau Pinang, nak menangkan parti DAP dia, parti dia. Kita orang Islam tak mahu mengundi, tak mahu terlibat dengan pilihan raya. Terserahlah siapa dia memerintah, sama saja,” tegur beliau akan sikap itu.

Akhirnya kata beliau, kuasa politik diambil alih oleh orang lain dan apabila berkuasa mereka melakukan macam-macam perkara sepertimana selepas PRU14 lalu apabila kalangan bukan-Islam dan Liberal mendominasi pemerintahan kerajaan.

Mereka itu menurutnya, dengan kuasa yang ada telah mencabar Perlembagaan, Raja-raja Melayu dan hak istimewa kaum Bumiputera di mana perkara itu merupakan seksaan dan amaran Allah apabila umat Islam tidak mahu berpolitik.

“Tanggungjawab kita menyedarkan, menginsafkan yang baki ini supaya tahu tanggungjawab berpolitik. Pentingnya kuasa Islam ditegakkan,” ujar beliau yang juga Wakil Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah.

Terangnya, walaupun sekarang ini sudah genap 100 tahun umat Islam kehilangan khilafah dan kerajaan Islam, selain tanah air banyak dijajah, dipecah perintah dan hasil bumi diangkut serta umat diganyang, namun cahaya Islam tidak padam.

Jelas Tuan Guru, Allah telah menjanjikan di zaman tiada Nabi dan Rasul, akan ada kumpulan atau jamaah akan menegakkan Islam yang sempurna antaranya mengembalikan kuasa politik.

Namun, beliau menyedarkan anak-anak muda Islam kepada hakikat bahawa umat ini telah melalui kesan serangan pemikiran atau ghazwatul fikr yang meranapkan fahaman politik.

Hal tersebut menurutnya, selari peringatan Rasulullah SAW bahawa ikatan ajaran Islam akan dirungkai satu demi satu bermula ‘al-Hukm’ yakni hukum mentadbir yang juga bermaksud kuasa politik untuk melaksanakan hukum syariat.

“Yang paling akhir sembahyang (solat). Bila sembahyang pun tak ada, tunggu kiamatlah. Namun Islam tak mati. Tanggungjawab kita menyedarkan orang Islam mengembalikan kuasa pemerintahan mereka. Ini tanggungjawab yang besar,” motivasinya. – HARAKAHDAILY 21/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dilema UMNO-Bersatu, bagaimana PAS? Presiden PAS seru anak muda Islam supaya terlibat politik. 


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015ADVERTIS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails