Monday, August 09, 2021

MCA Kekal Bersama BN, Tidak Pernah Lupa Jasa UMNO – Wee Ka Siong


PETALING JAYA – MCA berkata parti itu tidak pernah melupakan jasa dan bakti Umno termasuk membantu kemenangan calon mereka Wee Jeck Seng dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada 16 Nov 2019.

Presidennya Wee Ka Siong berkata, MCA juga telah memuktamadkan keputusan menerusi perhimpunan agung pada Mac 2021 untuk terus kekal bersama BN.

“Kepada Umno dan parti komponen BN dan ‘Friends of BN’, jasamu tetap dikenang.

“MCA pada 7 Mac 2021 telah pun memutuskan bahawa MCA kekal bersama BN, sebuah gabungan parti yang diasaskan bersama oleh Umno, MCA dan MIC sebelum kemerdekaan negara lagi.

“Itu pendirian jelas dan MCA tidak pernah berhajat menyertai mana-mana gabungan parti politik yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Wee menjelaskan MCA juga berpegang kepada keputusan Dewan Tertinggi BN pada Mac 2020 bahawa Ahli-ahli Parlimen secara en-bloc menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menyatakan pendirian “no PKR dan no DAP”.

“Selagi ketetapan BN tersebut tidak diubah, maka MCA berpegang teguh kepada ketetapan yang telah diluluskan secara konsensus dalam BN sebagaimana yang diamalkan sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata, pada 29 Julai lalu, wakil rakyat BN termasuk beliau kekal menyokong kerajaan PN seperti diputuskan pada Mac 2020.

Wee berkata, hubungan antara rakan parti komponen BN perlu berdasarkan prinsip dan nilai sejagat yang telah dipersetujui bersama.

Beliau turut memaklumkan parti itu tidak akan mencampuri kemelut dalaman Umno yang berlaku ketika ini.

“MCA tidak berhajat mencampuri urusan dalaman parti Umno. Saya yakin Umno mempunyai “political wisdom” dan mampu menyelesaikan segala kekusutan yang sedang dihadapinya. Doakan yang terbaik buat Umno.

“BN adalah platform kita bersama. Ramai yang mungkin keliru bahawa apa yang dibincangkan dan diputuskan dalam MKT parti komponen akhirnya akan dibawa ke Dewan Tertinggi BN untuk pertimbangan bersama semua parti komponen BN.

“Selama ini, itu jua mekanismenya,” katanya yang turut berharap hubungan antara parti komponen BN terus kekal.

Kenyataan Wee dipercayai bagi menjelaskan isu dibangkitkan bekas perdana menteri, Najib Razak yang memuat naik video bagaimana seorang wanita Umno bekerja keras membantu kempen memenangkan calon MCA dalam PRK Tanjung Piai ketika keadaan hujan lebat.

“Adakah kamu lupa pihak mana yang memberi sokongan paling padu pada kamu tanpa mengira ribut petir atau matahari terik?

“Adakah kamu sudah lupa siapakah pihak lawan masa itu? Kamu mungkin sudah lupa. Tapi kami di Umno tak lupa,” kata Najib dipercayai merujuk kepada MCA.

Wee menambah beliau menghargai segala pengorbanan Wanita Umno membantu memenangkan calon MCA dalam PRK tersebut. – FMT

1 comment:

Anonymous said...

Mca tidak boleh sentiasa harapkan ihsan org melayu untuk kerusi. Org melayu juga perlukan ihsan dari mca. Mca perlu bertanding menarik sokongan di kawasan dap. Dapatkan kerusi dap. Dlm isu durian musang king, icerd, dong ziong dan uec, mca sentiasa bersama dap. Ini tikam belakang namanya. Pn kena bertegas dlm isu kerusi kerana elak ambil kesempatan oleh mca.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails