Sunday, August 08, 2021

Nilai positif: Sektor pertanian meningkat 1.1%

 


KDNK sektor pertanian meningkat 1.1 peratus

KOTA BHARU: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor pertanian meningkat sebanyak 1.1 peratus pada suku ketiga tahun lepas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, DatO’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia merupakan nilai yang positif walaupun KDNK negara secara keseluruhannya susut berikutan pandemik Covid-19.

“Cabaran yang dihadapi sektor pertanian dalam meneruskan aktiviti pertanian terus konsisten bagi pengeluaran makanan terutamanya dalam situasi negara sekarang.

“Namun, dengan adanya usaha kerajaan dengan kerjasama semua pihak dapat memastikan keadaan sentiasa terkawal,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Program myGAP Tanaman Bukan Makanan (myGAP.TBM) di Jabatan Pertanian Negeri, Lundang hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pertanian Jabatan Pertanian Malaysia Dato’ Mohd Nasir Warris.

Pelancaran itu diadakan secara maya dengan penyertaan seramai 1,000 peserta termasuk pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI, petani dan usahawan tani.

Che Abdullah juga berkata program myGAP.TBM memberi manfaat kepada lebih ramai pengusaha tanaman bukan makanan untuk meningkatkan keberkesanan amalan pertanian baik dalam kalangan petani.

Katanya, pensijilan myGAP.TBM bagi tanaman selain makanan dan tidak digunakan dalam penyediaan makanan manusia serta haiwan.

“Usaha Jabatan Pertanian memperluaskan skop bagi pensijilan myGAP sub sektor adalah langkah yang baik dan perlu diperkukuh supaya sentiasa berada di tahap terbaik,” ujarnya.

Malah katanya, dengan adanya sijil berkenaan ia dapat memudahkan mereka yang terlibat untuk akses ke pasaran antarabangsa.

Katanya juga, di peringkat permulaan pihaknya menyasar seramai 200 usahawan tanaman bukan makanan yang berdaftar di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman termasuk pengusaha di Cameron Highlands akan memperoleh sijil tersebut menjelang pertengahan tahun depan. – HARAKAHDAILY 4/8/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails