Monday, August 09, 2021

Harga rambutan merudum dari RM3 ke RM0.40 sekilogram.

 

Zulkifli menunjukkan rambutan yang mengalami lambakan di Tanah Merah dan Jeli. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Lambakan rambutan: 2,000 pekebun rugi harga merudum

KOTA BHARU: Kira-kira 2,000 pekebun di Tanah Merah dan Jeli berdepan kerugian dianggarkan RM2.5 juta berikutan masalah lambakan rambutan.

Malah, harga borong buah itu dikatakan jatuh mendadak daripada RM3 sekilogram pada awal musim sebulan lalu kepada hanya RM0.40 sekilogram kini.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanas Jedok, Tanah Merah, Zulkifli Yunus, berkata pekebun yang terjejas itu membabitkan keluasan tanaman kira-kira 1,000 hektar.

Beliau berkata, harga merudum itu menyebabkan pekebun terpaksa menanggung kerugian besar.

"Pekebun sekali gus berasa tidak berbaloi untuk menuai hasil tanaman rambutan masing-masing kerana perlu menampung pelbagai kos berkaitan, termasuk upah pekerja dan sewa pengangkutan.

"Banyak kos perlu ditanggung, sedangkan harga jualan borong hanya 40 sen sekilogram. Justeru, ia tidak menguntungkan.

"Harga jatuh kerana pada musim ini, tanaman rambutan sangat menjadi sehingga buah terlalu banyak di kebun," katanya kepada pemberita pada program sumbangan durian kepada petugas media, di sini.

Beliau berkata, masalah lambakan juga menyebabkan banyak buah rosak kerana tidak boleh disimpan lama.

Pada masa sama, katanya, turut berlaku lambakan manggis yang kini hanya dijual pada harga RM0.30 sekilogram kepada pemborong.

"Justeru, saya memohon pihak berwajib membantu pekebun terjejas dengan mengambil pelbagai langkah proaktif bagi mengatasi lambakan rambutan dan manggis di Tanah Merah serta Jeli.

"Jabatan berkaitan boleh membantu pekebun bukan saja dari segi pemasaran tetapi juga memproses rambutan dan manggis untuk dijadikan jem serta jus melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kami tidak ada kemampuan kewangan untuk membantu membeli hasil tanaman daripada pekebun. Namun, kami berusaha menyuarakan masalah itu supaya diambil perhatian oleh pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails