Tuesday, August 10, 2021

Rumah panjang musnah dijilat api, 80 hilang tempat tinggal

 

Api dilihat menjulang dalam kebakaran rumah panjang Segubang di Jalan Batu Kawa Lama, Kuching, malam tadi. - NSTP/NORSYAZWANI NASRI

KUCHING: Kira-kira 80 penghuni hilang tempat tinggal selepas rumah panjang Segubang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Batu Kawa Lama, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 malam.

Susulan itu, katanya, 18 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang serta BBP Petra Jaya bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi kejadian berikutan keadaan laluan yang agak sempit.

"Justeru, pihak bomba melakukan kerja pemadaman api menggunakan punca air terus dari pili bomba berdekatan.

"Kebakaran memusnahkan keseluruhan rumah panjang yang mempunyai 22 pintu itu sehingga hanya tinggal rangka.

"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Buat masa ini, katanya, semua mangsa telah ditempatkan di dewan sekolah berdekatan.

"Jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan," katanya.

..: 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails