Bincang isu pelaburan, pertemuan Muhyiddin-TG Abdul Hadi.
KUALA NERUS: Pimpinan PAS menyifatkan pertemuan dua pemimpin utama antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang itu sebahagian dari lawatan kerjanya.
Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam pertemuan itu banyak perkara dibincangkan termasuk berkaitan dengan pelaburan Malaysia di Asia Barat.
Ini kerana, katanya Dato’ Seri Abdul Hadi juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang telah mengutarakan beberapa pandangan baharu beliau berkenaan dengan isu tersebut.
Menurutnya, meskipun Tan Sri Muhyiddin menyebut tujuan lawatan itu bagi mengunjungi Dato’ Seri Abdul Hadi tetapi dalam masa sama merupakan sebahagian daripada tugas kerja Perdana Menteri.
“YAB Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin) mengunjungi Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi) dan beliau juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
“Jadi, tentulah dalam pertemuan itu banyak perkara yang dibincangkan antaranya beberapa pandangan-pandangan baru berkenaan dengan pelaburan Malaysia di Asia Barat. Di mana, ianya menyentuh peranan Tuan Guru Dato’ Seri sendiri sebagai Duta Khas itu.
“Ada beberapa perkara yang telah dilakukan oleh Dato’ Seri Tuan Guru, yang bertemu dengan Duta-duta Asia Barat dan ianya telah di ‘up date’ oleh Dato’ Seri Tuan Guru. Oleh kerana, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan sebagainya, tiada kesempatan sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Medianya ketika membuat liputan terkini berkaitan ‘Krisis Air Berangan’ yang melibatkan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, di perkarangan Loji Tangki Air Bukit Berangan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, di sini, hari ini.
Dr Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang menjelaskan, kesempatan pertemuan itu telah diambil oleh Tuan Guru Abdul Hadi untuk mengutarakan pandangan-pandangannya berkaitan hal yang berkenaan.
“Pada saya, walaupun YAB Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin) menyebut tentang untuk mengunjungi Tuan Guru (Abdul Hadi), tetapi pada saya itu sebahagian daripada kerja Perdana Menteri dan tugas Dato’ Seri Tuan Guru sendiri,” jelasnya.
Ketika ditanya, pada pertemuan ‘enam mata’ itu adakah dibincangkan soal politik, kata Dr Samsuri sudah tentu ada dibincangkan kerana situasi sekarang berada dalam suasana politik.
Pada pertemuan enam mata di Rusila, Marang itu, pihak media tidak didedahkan isi perbincangan politik yang melibatkan Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Seri Abdul Hadi dan Dr Samsuri.
“Kita berada dalam suasana politik dan biasalah bila sebut hal politik termasuk semualah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PAS, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), itu semua politik belaka,” katanya.
Hadir sama dalam sidang media itu, Pengerusi Jawtankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, Ahli Lembaga Pengarah SATU Sdn Bhd, Burhanuddin Helmi Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Faris Abdul Razak.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mengadakan pertemuan lebih satu jam dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi di kediaman Ahli Parlimen Marang itu selepas selesai lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
Tinjauan Harakah mendapati, pertemuan ‘enam mata’ itu diadakan secara tertutup dari jam 5.00 petang hingga pukul 6.10 petang dan kedua-dua pemimpin itu sempat melambai tangannya kepada pihak media yang menunggunya. – HARAKAHDAILY 13/8/2021
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, rakyat bersama kamu, insya Allah!
No comments:
Post a Comment