Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya mendapati kenya­taan-kenyataan yang dibuat oleh kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi jaminan bahawa ICERD tidak akan diratifikasikan.
Beliau berkata, sepatutnya kerajaan telah mengeluarkan kenya­taan yang tegas dan rasmi bahawa tidak akan menandatangani konvensyen tersebut apabila mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.
“Cuma Perda­na Menteri kata sukar untuk dilaksanakan tetapi tidak ada satu kenyataan yang tegas bahawa kerajaan tidak akan ratifikasi.
“Jadi di pihak kita ada kebimbangan, maka sebab itu dari segi politik, himpunan ini mesti diteruskan bagi memberi isyarat tentang pendirian rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Pas dan UMNO untuk mengadakan perhimpunan pada 8 Disember ini bagi membantah ICERD.
Dalam pada itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, pi­haknya ha­nya be­kerjasama de­ngan UMNO untuk perhimpunan itu sahaja.
“Dari segi politik lain tidak ada, kerjasama ini lebih kepada isu-isu bersama,” katanya.
Beliau mengulangi desakan Pas supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan atau dipecat.
“Beliau (Moorthy) perlu meletakkan jawatan sebab menimbulkan keresahan dalam kala­ngan masyarakat, kita tengok sendiri komen termasuk bukan Melayu ramai yang tidak setuju dengan pendirian beliau.
“Perkara ini telah berjalan dengan baik di Malaysia dari segi layanan yang baik kepada kaum bukan Melayu, peluang kerja dan orang lain semua boleh tengok,” katanya. (Utusan)