Wednesday, November 21, 2018

Mufti Wilayah Menulis: Guna Mata Wang Bitcoin.. Siri 3.(Akhir)

Hasil carian imej untuk Mufti Wilayah Menulis: Guna Mata Wang Bitcoin. Bagaimana Hukum?
Pandangan Badan Fatwa dan Sarjana Islam Berkenaan Bitcoin
Secara umumnya, para cendekiawan Islam telah berbeza kepada 3 pandangan dalam menentukan hukum bagi bitcoin ini sepertimana yang berikut:

1. Pandangan Yang Mengharamkan

Terdapat badan fatwa dan sarjana Islam yang mengharamkan penggunaan bitcoin ini antaranya ialah:

i. Darul Iftaa’ Misriyyah (Majlis Fatwa Mesir) [66]

Keterlibatan dalam urusan bitcoin adalah tidak dibolehkan dari sudut syarak kerana risikonya yang terlalu besar terhadap individu dan negara. Menurut Mufti Republik Mesir Syeikh Shauqi ‘Allam, bitcoin diharamkan berdasarkan kepada alasan-alasan yang berikut:
(a) Bitcoin tidak menepati syarat untuk diiktiraf sebagai mata wang.
(b) Ia mempunyai unsur jahalah, gharar dan manipulasi yang amat sukar dikawal.
(c) Ia tidak mempunyai nilai sandaran dan tidak dikawal selia mana-mana pihak berautoriti.
(d) Pengeluaran mata wang adalah hak mutlak pemerintah dan institusi kewangan rasmi sesebuah negara.
(e) Ia juga boleh menjadi saluran untuk kegiatan-kegiatan haram dan melanggar undang-undang seperti mendanai aktiviti pengganas (Daesh), penggubahan wang haram dan mengelak daripada membayar cukai (tax evasion).
(f) Ia adalah pelaburan yang berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kerugian menyeluruh terhadap pelabur, serta pelabur juga tidak disediakan sebarang ganti rugi atas kerugian tersebut.

ii. Syeikh Ali Qaradaghi (Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia)

Dalam satu temu bual dengan Aljazeera Mubasher Channel yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Aljazeera Mubasher Channel pada 4 Januari 2018, beliau menyatakan bahawa beliau masih belum berbuat sebarang ketetapan akan hukum bitcoin kerana faktor kesamaran yang masih menyelubungi isu ini dan keperluan untuk meneliti lebih lanjut sudut positif dan negatif mata wang digital ini. Beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang mengharuskan atau mengharamkan Bitcoin secara mutlak, dan beliau menggesa agar para ulama dan pakar ekonomi mengadakan satu pertemuan khas bagi mencapai satu kata sepakat berkenaan isu ini.
Sistem pengeluaran dan transaksi bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’ie, kerana ia amat terdedah kepada kegiatan-kegiatan haram dan salah guna oleh pihak tertentu, seperti penggubahan wang haram serta menggugat integriti sistem kewangan negara.
Tambah beliau lagi, kebanyakan mata wang kripto yang ada pada masa sekarang tidak menepati syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk sesuatu itu diiktiraf sebagai mata wang:
  1. Medium pertukaran (medium of exchange)
  2. Penyimpanan nilai (mahkzunan lil tsarwah atau store of value)
  3. Ukuran kestabilan (Miqyas lil Qiyam)
  4. Ukuran penerimaan umum (Mi’yar li Tadawul)
Menurutnya lagi, bitcoin boleh menjadi harus jika sekiranya penambahbaikan dilakukan terhadapnya dan ditetapkan beberapa dhawabit (parameter) dalam pelaksanaannya. Antara cadangan beliau adalah supaya kerajaan mengiktirafnya dan menjadikannya sebagai mata wang alternatif kepada mata wang sedia ada bagi melindungi para pelabur daripada sebarang kerugian, dan agar kerajaan boleh mengawal selia segala aktiviti berkaitan.
Beliau juga menasihatkan agar umat Islam mengelakkan penglibatan dengan bitcoin buat masa sekarang kerana risikonya yang terlalu besar. Bagi umat Islam yang telah terlibat dengan urusan bitcoin, mereka diminta agar segera menjualkannya, dan mereka berhak menyimpan nilai modal sewaktu membeli bitcoin dan menyedekahkan hasil keuntungan pelaburan bitcoin tersebut (capital gain) kepada mana-mana pihak yang memerlukan.[67]

iii. Wifaq al-‘Ulama (United Kingdom)

Menurut badan ini, bitcoin adalah tidak dibenarkan atas beberapa faktor, iaitu harganya di pasaran yang sangat tidak stabil, serta kaedah penempaan bitcoin (mining) yang mempunyai unsur perjudian.[68]

iv. Dr. Ahmad Sufyan Che Abdullah[69]

Beliau secara peribadi menyatakan bitcoin dilihat satu alat baru yang tidak dapat dipastikan identitinya secara khusus sama ada ia berbentuk mata wang atau sebaliknya. Namun, dalam masa yang sama tidak dinafikan terdapat beberapa isu syariah terhadap mata wang ini seperti kadar spekulasi yang tinggi, mudah berlaku penyelewangan dan penipuan, tiada sandaran, tiada kawalan daripada pihak berautoriti dan sebagainya. Oleh itu, disebabkan faktor-faktor tersebut, beliau berpandangan bitcoin tidak diharuskan bagi menjaga kepentingan masyarakat awam.[70]

2. Pandangan Yang Mengharuskan

Sebahagian sarjana lain pula mengharuskan penggunaan mata wang ini antaranya:

a. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar (Pengerusi Eksekufti Amanie Advisors) dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah BNM dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah SC)

Dalam satu pembentangan dalam program ‘Cryptocurrency, Blockchain & Distributed Ledger Technology: Synergizing Technology & Shariah’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 29 November 2017, beliau menyimpulkan bahawa Bitcoin adalah patuh syariah, namun depan mata wang kripto tersebut masih lagi tidak jelas. Beliau berpandangan pelaburan dalam Bitcoin adalah harus, dan keuntungan yang diperoleh dikenakan zakat.
Beliau telah menolak hujah kalangan yang tidak bersetuju dengan Bitcoin bahawa ia mempunyai elemen gharar(ketidakpastian / ketidakjelasan) kerana nilai yang sangat tidak stabil dan kemungkinan sistem mata wang digital itu sendiri akan runtuh (collapse) pada bila-bila masa.
Beliau berkata risiko (khatar), tidak mempunyai kesan ke atas hukum sesuatu perkara, dan ia harus dibezakan dengangharar yang memberi kesan ke atas hukum. Risiko adalah perkara yang normal dalam setiap perkara sama ada pelaburan, perniagaan dan apa jua bidang.
Volatility bitcoin pula tidak boleh dijadikan ‘illah kepada pengharaman bitcoin dan ia tidak memainkan peranan dalam menentukan status Sharia-compliancy sesuatu perkara. Beliau memberi contoh emas, yang mana nilainya adalah sangat tidak stabil, namun ia tidak bermakna jual belinya perlu diharamkan. Langkah yang perlu diambil adalah memperkenalkan peraturan dan regulasi untuk mengawal kestabilan nilai dan mengurus transaksinya. Hal yang sama juga harus diperkenalkan untuk bitcoin.
Dalam satu artikelnya yang lain, beliau sekali lagi menegaskan bahawa mata wang kripto adalah patuh syariah dan memenuhi semua syarat mata wang yang digariskan, serta menyatakan naik turunnya nilai mata wang adalah perkara biasa yang ditentukan oleh aspek pasaran dan kepercayaan pengguna. Selain itu, beliau juga menulis bahawa mata wang ini sekurang-kurangnya boleh menjadi mata wang yang sah kepada mereka yang percaya kepada nilaiannya. Berkenaan risiko penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan bitcoin pula, beliau menjawab bahawa wang kertas juga terdedah kepada aktiviti pelanggaran undang-undang sebelum beberapa peraturan dan regulasi diperkenalkan bagi menangani masalah tersebut. Beliau percaya minda manusia akan mampu mengawal selia urusan kewangan berasaskan teknologi ini.[71]

b. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (CEO Elzar Shariah Advisory Sdn Bhd)

Dalam rancangan Bismillah Ad-Duha yang disiarkan Astro Oasis pada 23 Disember 2017 lalu, Dr. Zaharuddin telah menyebut beberapa perkara penting berkenaan isu ini. Beliau mengakui telah mencuba sendiri bitcoin ini bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang mata wang kripto ini.
Menurutnya lagi, elemen gharar tidak ditemui pada peringkat penciptaan dan penghasilan bitcoin itu sendiri, tapi ditemui sewaktu peringkat transaksi di bursa (exchange) di mana kita tidak boleh benar-benar memastikan transaksi itu benar-benar telah berlaku tanpa sebarang penipuan.
Seteleh melakukan penelitian, beliau mengatakan bitcoin boleh digunakan dalam urusan jual beli kerana ia menepati ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, namun ia bukanlah satu legal tender iaitu mata wang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara.
Beliau juga mengharuskan menyimpan Bitcoin sekadar untuk menyimpan nilai dan melawan inflasi, dan untuk dijual semula apabila memerlukan wang tunai pada masa hadapan, dan tidak harus disimpan sebagai satu bentuk pelaburan.
Beliau mengingatkan bagi sesiapa yang telah melibatkan diri dengan Bitcoin untuk membayar zakat simpanan apabila cukup haul, selain larangan daripada memperdagangkan Bitcoin kerana ia adalah satu bentuk mata wang yang dilarang daripada diperdagangkan dalam Islam.
Beliau turut menambah kepentingan kajian yang mendalam bagi sesiapa yang ingin melibatkan diri dengan bitcoin atau mana-mana mata wang kripto agar tidak terjebak dengan skim penipuan yang banyak muncul sejak akhir-akhir ini. Akhirnya beliau juga menjangkakan bitcoin akan menjadi lebih stabil pada masa akan datang.[72]

c. Mufti Muhammad Abu-Bakar[73]

Berdasarkan kajian yang beliau lakukan bertajuk Shariah Analysis of Bitcoin, Cryptocurrency, and Blockchain, beliau cenderung untuk mengharuskan bitcoin dengan beberapa syarat:
  1. Bitcoin hanya diharuskan di negara-negara yang tidak melarang transaksi bitcoin. Adapun jika undang-undang negara tersebut melarang, maka ia turut dilarang daripada sudut syariah.
  2. Bitcoin haruslah dijual beli / digunakan sebagai satu mata wang menurut tujuan asal ia dicipta, dan bukannya sebagai satu aset pelaburan.
  3. Beliau turut menasihatkan pengguna agar berhati-hati dengan sebarang skim penipuan yang cuba memperdaya pengguna dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda atas nama pelaburan bitcoin, serta risiko kerugian yang bakal dihadapi memandangkan ketidakstabilan nilainya di pasaran.[74]

3. Tawaqquf (belum memberi pandangan secara rasmi)

Terdapat juga pandangan ulama yang bersifat tawaqquf iaitu masih lagi belum memberikan ketetapan pada permasalahan kerana ingin mendapat gambaran yang lebih luas dan menyeluruh antaranya:

International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)

  1. Dalam satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr. Marjan Muhammad [75] di Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital di Dewan Besar IKIM (28 Februari 2018), dikemukakan beberapa pandangan badan fatwa dan sarjana berkenaan isu bitcoin ini. Namun ISRA tidak melakukan sebarang pentarjihan ke atas mana-mana pendapat.[76]

Analisis Pandangan Ulama Berkenaan Bitcoin

Setelah membentangkan padangan-pandangan ulama terhadap isu ini, maka didapati bahawa bitcoin merupakan satu alat baru yang telah diperkenalkan oleh pihak tertentu sebagai alternatif kepada sistem mata wang yang sedia ada dalam sesebuah negara.
Para ulama sendiri telah berbeza kepada 3 pandangan dalam menentukan hukum bagi isu ini. Perbezaan ini muncul apabila berlakunya perbezaan dari sudut pandang mereka. Bagi ulama yang mengharuskan, mereka lebih melihat dari sudut mikro bitcoin, ia merupakan mata wang yang menepati ciri-ciri mata wang dan tiada sebarang elemen gharar danjahalah yang boleh merosakkan transaksi mata wang ini.
Namun, bagi ulama yang mengharamkan, didapati lebih melihat bitcoin dari sudut makro dan jangkaan skop yang lebih luas. Kewujudan mata wang ini boleh menggugat kestabilan mata wang sesebuah negara di samping ketiadaan pengawasan dan pengawalan oleh pihak berautoriti. Penggunaan bitcoin juga diramalkan akan melahirkan lebih banyak masalah dengan kemunculan skim-skim pelaburan penipuan serta jalan mudah bagi pengganas dan penjenayah siber.
Terdapat juga sebahagian kecil ulama yang lebih bersifat tawaqquf dalam isu ini. Ini kerana didapati mereka lebih mengambil langkah berhati-hati dengan mencari sebanyak mungkin gambaran terhadap penggunaan mata wang ini. Keputusan yang muktamad dikeluarkan setelah mereka benar-benar berpuas hati dengan maklumat yang diperolehi.
Ringkasnya, hukum penggunaan mata wang bitcoin dapat dilihat seperti jadual di bawah:
Bitcoin
Pandangan Ulama
Haram: Darul Iftaa’Misriyyah, 
Syeikh ‘Ali Qaradaghi, Wifaq 
al-Ulama, Dr. Ahmad Sufyan 
Che Abdullah
Harus: Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, 
Dr. Zaharuddin & Mufti 
Muhammad Abu Bakar
Tawaqquf: ISRA

Justeru, jika diukur daripada sudut kebaikan (maslahah) pada mata wang ini, maka antara kebaikannya ialah:
  1. Bitcoin merupakan mata wang secara maya yang membolehkan perpidahan wang dilakukan lebih pantas dan menjimatkan kos jika berbanding dengan melalui sistem kewangan pada hari ini.
  2. Ia dapat memberikan tahap keselamatan yang tinggi kepada pengguna berbanding mengggunakan wang fizikal.
  3. Mempunyai kadar nilai yang tinggi pada hari ini, namun tetap terdedah kadar turun naik yang agak tidak stabil.
Namun begitu, bitcoin juga mempunyai beberapa sudut keburukan (mafsadahantaranya:
  1. Bitcoin tidak mempunyai sandaran nilai yang stabil dan tetap.
  2. Terdapat unsur-unsur gharar dalam transaksi bitcoin khususnya di peringkat bursa (exchange).
  3. Ia boleh dimanipulasi sebagai dana mudah bagi penjenayah untuk membiayai kegiatan keganasan dan penjenayah siber.
  4. Sistem keselamatan di bursa dagangan bitcoin juga boleh mengundang masalah apabila pernah beberapa kali digodam sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan dolar.
  5. Bitcoin merupakan satu mata wang yang tidak diawasi oleh mana-mana badan berautoriti.
  6. Mampu memberi ancaman kepada sistem kewangan negara.
  7. Munculnya berbagai-bagai skim pelaburan bitcoin yang kebanyakannya berasakan skim cepat kaya (penipuan).

Kesimpulan

Secara tuntasnya, setelah menilai pandangan ulama dan sarjana Islam berkenaan bitcoin, maka didapati mata wang ini tidak menepati ciri-ciri mata wang yang ditetapkan dalam Islam apabila ia tidak mampu menyimpan nilai secara konsisten. Meskipun masyarakat umum boleh menerimanya sebagai mata wang namun ketidakstabilan nilai pada mata wang ini boleh mengundang kemudaratan kepada pengguna pada masa akan datang.
Selain itu, ketiadaan badan berautoriti yang mengawal selia mata wang ini juga boleh mengundang pelbagai perkara negatif seterusnya mampu mengganggu-gugat sistem mata wang rasmi dalam sesebuah negara.
Berdasarkan pemerhatian terhadap amalan semasa, bitcoin lebih dilihat sebagai satu aset pelaburan, dan ia tidak menepati tujuan asal penciptaan bitcoin itu sendiri, iaitu sebagai mata wang alternatif kepada sistem mata wang fiat yang sedia ada.
Justeru, tindakan menyekat penggunaan mata wang ini adalah wajar berdasarkan kepada kaedah Sadd al-Zarai’ (menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan) agar ia tidak berlegar di kalangan masyarakat umum. Sesuatu yang asalnya harus boleh dicegah apabila ia ternyata boleh membawa kemudaratan yang lebih besar.
Pemerintah dan badan berautoriti juga berhak untuk menghalang sebarang transaksi bitcoin ini demi memelihara maslahah masyarakat umum. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
MaksudnyaTindakan seseorang pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahah.
Maka mata wang bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’iy kerana ia tidak menepati sepenuhnya ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, dan ia mampu memberikan pelbagai ancaman terhadap kemaslahatan umum. Namun begitu, hukum ini boleh berubah jika penambahbaikan dilakukan terhadap bitcoin samada dari sudut pengeluaran, pengawalan harga, sistem keselamatan di bursa dan regulasi untuk mengelakkannya daripada diekploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Berdasarkan hujahan ini juga, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawaBitcoin yang terdapat pada masa sekarang tidak menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam, diputuskan bahawa Bitcoin mampu mengundang pelbagai kemudaratan terhadap sistem kewangan sesebuah negara. Oleh kerana itu, penggunaan Bitcoin yang ada pada masakini sebagai satu mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum.
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

logo malay3

BAYAN LINNAS #153: HUKUM PENGGUNAAN MATA WANG BITCOIN

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails