Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, kerajaan menyedari bahawa orang Melayu dan bumiputera secara keseluruhan membantah ICERD yang akan mengancam hak mereka.
Ujarnya, tanpa bantahan tersebut, kemungkinan kerajaan akan melayan tuntutan supaya ratifikasi itu dilaksanakan.
“Ini menunjukkan orang Melayu sememangnya kuat jika bersatu. Kesatuan dan desakan berterusan membuatkan kerajaan terpaksa membatalkan ICERD,” katanya selepas me­nyertai perhimpunan membantah ICERD di Wisma Negeri di sini hari ini.
Kira-kira 1,000 orang menyertai perhimpunan yang bermula selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Negeri dan kemudian berarak ke Wisma Negeri yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid berkenaan.
Antara yang hadir ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Mustafa Daharum; Ketua Pemuda Pas ne­geri, Yazman Yahya dan Ketua Wanita UMNO negeri, Latifah Ali Kunjoo.
Mohd. Zaidy dan Yazman serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemudian menyerahkan memorandum bantahan ICERD kepada wakil Menteri Besar, Salehudin Mohd. Nor di pintu masuk bangunan Wisma Negeri. (Utusan)