Monday, June 11, 2018

Selepas 30 Hari, Prestasi Tinggi 1 T'ganui, 2 Sabah, 3 Melaka &Seterusnya..




FAKTA dan data jelas membuktikan bahawa Kerajaan PAS Terengganu pimpinan YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ialah Kerajaan Negeri yang paling berprestasi tinggi selepas 30 hari PRU14 lalu, diikuti Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan) di tempat kedua, dan Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai YAB Adly Zahari (PAN) di tempat ketiga.
Berdasarkan analisis Risiko Politik dan perancangan ekonomi politik, tiada data yang mampu menafikan bahawa Kerajaan PAS Terengganu kini mendahului negeri-negeri lain sejurus berakhirnya PRU14. 
Disertai moto ‘Terengganu Maju, Berkat, dan Sejahtera’, pelbagai inisiatif mula digerakkan seperti, Pelan Pelaburan Terengganu Inc., Strategi Pelaburan Timur Tengah, pembaharuan dasar yang menyasarkan peningkatan kualiti hidup (pemansuhan Cukai Pintu, air percuma 20 m padu bersasar), pemulihan produk pelancongan, perancangan Industri Maritim, gas dan petroleum.
Bukan sahaja barisan kepimpinan Kerajaan Negeri diisi empat pemimpin bertaraf Doktor (Dr) dan seorang bergelar jurutera (IR), di samping ilmuwan agama, Terengganu turut disokong faktor segmen anak muda dengan modal insan berkualiti tinggi – seperti mana yang diserlahkan dalam siri pencapaian akademik negeri sejak 20 tahun lalu.
Pembaharuan dasar yang menyasarkan peningkatan kualiti hidup turut dilaksanakan secara agresif. Disokong pula komitmen Kerajaan Pakatan Pusat yang menjanjikan pembayaran terus royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri, potensi lonjakan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Terengganu tidak dapat dinafikan lagi.
Sabah meskipun dilanda ketidaktentuan blok parti peneraju Kerajaan Negeri pada peringkat awalnya, namun kejayaan YAB Datuk Shafie Apdal menggembeleng sokongan majoriti Adun telah memberi kelebihan besar buat jentera pentadbiran beliau kemudiannya. 
Di bawah teraju Parti Warisan Sabah, Kerajaan Negeri telah mengajukan pemerkasaan industri perikanan seperti membenarkan semula bot pam, di samping mengusahakan pengeluaran lesen perikanan laut dalam untuk dipindahkan dari Pusat ke Negeri Sabah.
Turut tidak ketinggalan, langkah-langkah semakan semula dan siasatan ke atas pentadbiran sebelum ini meskipun Tan Sri Musa Aman telah diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan tidak dapat ditemui hingga ke hari ini. Dasar seperti menghentikan sementara eksport pembalakan untuk dinilai impak alam sekitarnya membuka dimensi urus tadbir baharu di Negeri di Bawah Bayu ini. Ketegasan Kerajaan Sabah untuk menuntut 20 peratus royalti petroleum turut meningkatkan potensi produktiviti negeri.
Kerajaan yang diterajui PAN Melaka menyaingi rapat Kerajaan PAS Terengganu dan Warisan Sabah dengan menstruktur kembali urus tadbir Kerajaan BN sebelum ini yang terkenal dengan slogan menjengkelkan dalam Bahasa Inggeris, ‘Don’t Mess with Melaka’. YAB Adly Zahari kini memperkenalkan slogan ‘Melaka Berwibawa’ dengan tiga tema, ‘Pintar, Hijau, Bersih’. 
Beliau turut mewujudkan Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti, dan Ketelusan Melaka (MELCAT), memansuhkan dan menyusun semula 8 Jabatan atau Bahagian atau Unit, mempermudah urusan Kewangan Japerun, dan juga menukar Status Tanah Orang Melayu bertaraf ‘leasehold’ ditukar ke ‘Malay Customary Land’ (MCL).
Menghuni tangga keempat ialah Pulau Pinang yang diketuai YB Chow Kon Yeow (DAP), diikuti Kerajaan Negeri PAS Kelantan (YAB Dato Ahmad Yakob) di tangga kelima, dan Pahang (YAB Datuk Wan Rosdy-Umno) di tempat keenam.
Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Chow Kon Yeow mula agresif dengan Rancangan Peluasan Lapangan Terbang Pulau Pinang, fokus bekalan air di Selatan Pulau Pinang, meneruskan ‘Penang Transport Master Plan’, dan juga projek pulau buatan hasil tambakan laut berhampiran kluster elektrik dan elektronik Bayan Lepas untuk keperluan 30 tahun mendatang.
Meskipun Kerajaan PAS Kelantan mendahului Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam pelantikan Menteri Besar, namun inisiatif pembangunan sosioekonomi Kerajaan Negeri belum dibangunkan secara besar-besaran. Meskipun demikian Kerajaan Negeri Kelantan cukup aktif dari segi pengisian spiritual dan ibadat di bulan Ramadan. Impak royalti petroleum yang bakal disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan juga bakal menjadi ‘game-changer’ kepada masa hadapan Negeri Serambi Makkah ini.
Kerajaan Negeri Selangor pula berada di tangga ketujuh susulan ketidaktentuan yang agak berlanjutan tentang individu yang bakal menggantikan YAB Datuk Azmin Ali (PKR) sebagai Menteri Besar. Hala tuju Inisiatif Peduli Rakyat di bawah rancangan ‘Smart Selangor’ kini masih dalam teka-teki meskipun segala kemudahan yang terbabit masih disalurkan.
Kerajaan PKR Negeri Sembilan pimpinan YAB Aminuddin Harun (PKR) pula berada di tangga kelapan, sedikit di atas Kerajaan Negeri Johor di bawah Dato Osman Shapian (PPBM) yang berada di kedudukan kesembilan. MB Negeri Sembilan bertindak agak bertentangan dengan semangat Reformasi PKR apabila menimbulkan gerun kepada Pegawai Kerajaan Negeri yang menghadiri program anjuran Umno-BN.
Demikian juga MB Johor yang sebelum ini berikrar untuk tidak memberi peruntukan kepada kawasan pembangkang. Malah, beliau turut melantik bekas ahli Umno sebagai Pegawai Kanan dan mengetepikan ramai lagi individu berkelayakan dalam PH sendiri. MB Johor juga perlu berhadapan pendirian kritis Tun Mahathir terhadap pelaburan hartanah China.
Satu tangga di bawah Johor ialah Kerajaan Negeri Perak pimpinan YAB Ahmad Faizal Azumu (PPBM) yang berada di kedudukan kesepuluh. Selain faktor YAB Ahmad Faizal yang tiada latar pengalaman pentadbiran yang berwibawa – berbeza dengan YB Nizar Jamaludin (PAN) – langkah beliau menimbulkan perasaan kurang senang sesama parti PH. Bukan sahaja adik ipar beliau dalam Umno diterima sebegitu mudah menyertai Kerajaan PH, malah beliau bertindak melantik seorang lagi bekas Adun dan Exco Umno Perak iaitu Zainol Fadzi sebagai Penasihat Menteri Besar.
Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Abang Johari Abang Openg (PBB) yang pada asalnya merupakan tulang belakang komponen Parti BN telah bertindak menukar arah dengan menyertai Kerajaan PH. Disebabkan langkah sedemikian yang menimbulkan persoalan tentang manifesto dan hala tuju PBB yang telah ditetapkan sewaktu kukuh bersama BN dahulu, Kerajaan Negeri Sarawak jatuh di tangga kesebelas.
Kedah yang diketuai Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM) pula berada di kedudukan kedua belas. Kedudukan yang agak terkebelakang ini antaranya disebabkan tersebarnya desas-desus bahawa Pilihan Raya Negeri Kedah mungkin terpaksa dilakukan sekiranya pelantikan Speaker Dun Kedah gagal untuk diselesaikan. Disebabkan kedudukan kerusi semasa yang menyaksikan PH 18 manakala PAS 15 dan BN 3, maka kemungkinan pilihan raya berkenaan dijalankan masih ada. Ditambah pula dengan kontroversi terpalitnya isu projek mewah mega bernilai RM 30 billion Langkawi City oleh Ting Pek Khiing yang terkenal dengan reputasinya gagal menyiapkan projek Empangan Bakun di Sarawak dan berdepan kes bankrap di Mahkamah.
Perlis yang bergolak di bawah kepimpinan Dato Azlan Man (Umno) menyaksikannya berada di kedudukan terbawah iaitu tangga ke-13. Terdapat sekurang-kurangnya tiga faktor yang menatijahkan senario ini: Konflik politik berterusan antara Pengerusi BN Negeri Shahidan Kasim dengan Menteri Besar Azlan Man, konflik antara BN Perlis dengan Istana Perlis, dan seterusnya potensi PH yang boleh mengasak pembentukan kerajaan campuran. Keengganan mana-mana pihak untuk berkompromi serta kelemahan Umno Pusat dalam menangani krisis ini dijangka bakal memberi impak negatif berterusan kepada Umno Perlis dan meningkatkan pengaruh PH dan PAS Perlis.
Sama-sama kita ikuti perkembangan prestasi kesemua Kerajaan Negeri di Malaysia secara berkala dan mendoakan supaya bacaan Risiko Politik dan perancangan Ekonomi Politik di Malaysia bertambah positif. Bukan sahaja kedua-dua petunjuk ini mempengaruhi perkiraan pelabur untuk melabur di negara kita, bahkan turut menentukan saiz sumbangan setiap Kerajaan Negeri kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.
Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - HARAKAHDAILY 9/6/2018

6 comments:

Anonymous said...

tahniah terengganu!kelantan...kat mana aik!!

Muhammad Ridhuan bin Kasim said...

Menurut penilaian penulis artikel -
1. Terengganu
2. Sabah
3. Melaka
4. Pulau Pinang
5. Kelantan
6. Pahang
7. Selangor
8. Negeri Sembilan
9. Johor
10. Perak
11. Sarawak
12. Kedah
13. Perlis

Anonymous said...

Apa punya prestasi lah ngok ?

Pasal di pimpin oleh yang bergelar doktor prestasi baik ? Pasal tukar cogan kata dan krisis MB prestasi jatuh..

Bukan kah prestasi di ukur tentang ekonomi nya, berapa duit dalam perbendaharaan nya, dengan hutangnya ... seterusnya pelaburan nya.


Untuk Harakah ke ?

Anonymous said...

Pinjam kata ahmad nisfu dlm film bujang lapok

" apa kau merepek ni syaitaan"

Anonymous said...

Selangor ada air percuma, bas percuma dan baucher kebajikan kesihatan pun jatuh, sapa punya analisa ni?

Halim Mahmud said...
This comment has been removed by the author.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails