Thursday, March 01, 2018

K'tan Sedia Runding Dengan K’jaan Persekutuan



KOTA BHARU – Kerajaan negeri sedia mengadakan rundingan dengan kerajaan persekutuan berhubung pelbagai isu berbangkit membabitkan Orang Asli di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ini kerana masalah yang timbul bukan membabitkan isu pembalakan semata-mata, malah turut melibatkan beberapa isu lain terutama berkaitan pengurusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Setakat yang kita tahu, berdasarkan pertemuan yang lepas dengan (wakil) masyarakat Orang Asli ini, bukan soal pembalakan sahaja yang dibangkitkan (tapi turut menyentuh), malah ketidakpuasan hati dari segi pengurusan antara kerajaan (persekutuan) melalui JAKOA membabitkan kebajikan mereka.
“Isu ini berkait, jadi kalau kerajaan nak jumpa dengan kerajaan negeri kita alu-alukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi catatan laman Facebook, beliau melaporkan menerima kunjungan Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Nor Akhirrudin Mahmud bagi membincangkan isu semasa mengenai pengurusan sumber asli (hutan) dan masyarakat, terutama Orang Asli.
Mengulas mengenai sekatan pembalakan yang dilakukan oleh masyarakat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang ketika ini, Mohd Amar berkata tidak semua Orang Asli bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Jaringan Orang Asal SeMalaysia (Jaringan) Kelantan itu.
“Saya difahamkan ada 50 Orang Asli yang membuat laporan polis kerana sekatan yang dilakukan oleh Jaringan itu mengganggu kehidupan mereka memandangkan ia dibuat di laluan utama keluar masuk untuk menghantar makanan.
“Kita tak boleh mengadakan rundingan dengan Jaringan kerana mereka merupakan pertubuhan tidak berdaftar. Tak betul kalau kerajaan (negeri) berunding dengan satu badan yang tidak diiktiraf,” katanya. – BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Parti sekular, liberal dan kafir harbi yang tidak bermoral telah dan sedang menghasut orang asli melanggar undang-undang dengan menceroboh hutan simpan kekal yang diuruskan dan ditadbirkan oleh kerajaan PAS Kelantan untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan PAS Kelantan.

Jika puak songsang ini memerintah negara, mereka akan menggalakkan penjenayah melanggar undang-undang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails