Tuesday, March 07, 2017

Duta M'sia Diusir. Hubungan M'sia/Korea Utara Runcing.














 Mohamad Nizan bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing semasa dalam perjalanan pulang ke Malaysia pada 21 Februari lalu.

PYONGYANG, Korea Utara – Perbalahan hubungan Malaysia dan Korea Utara kian merun­cing apabila Pyongyang dalam satu tindak balas segera semalam mengumumkan akan mengusir Duta Besar Malaysia ke negara itu, Moha­mad Nizan Mohamad.
Tindakan pemerintah Korea Utara itu dilihat sebagai tindak balas selepas Malaysia mengisytiharkan persona non grata ke atas Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol pada Sabtu lalu sebelum mengusir beliau pulang petang semalam.
“Kementerian Luar Korea Utara memaklumkan bahawa Duta Besar Malaysia ke negara itu telah dilabel persona non grata dan menuntut beliau­ meninggalkan Korea Utara dalam tempoh 48 jam,” kata agensi berita rasmi negara komunis itu, KCNA.
Laporan KCNA itu disiarkan tidak lama selepas Duta Besar Korea Utara, Kang Chol berlepas pulang dari Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Duta Besar Malaysia ke Pyongyang itu terlebih dahulu sudah dipanggil pulang oleh Wisma Putra pada 20 Februari lalu untuk proses perundingan selepas kedua-dua negara saling melemparkan tuduhan berhubung siasatan kematian abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.
Mohamad Nizan selamat tiba di tanah air pada 22 Februari lalu.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin mengesahkan Moha­mad Nizan telah diisytiharkan persona non grata.
“Tindak balas ini merupakan perkara biasa dalam diplomasi.
“Perlu ambil perhatian bahawa Duta Besar Malaysia telah dipanggil pulang oleh kerajaan. Beliau kini berada di Malaysia,” katanya kepada Bernama semalam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails