Tuesday, March 07, 2017

Ahli Politik Bergelar Datuk Ditahan.



SEBAHAGIAN daripada 29 ahli Geng 360 Devan yang dituduh menganggotai kumpulan jenayah terancang turun dari kenderaan polis di Mahkamah Sesyen Kajang semalam.


KAJANG – Seorang ahli politik bergelar Datuk adalah antara 29 lelaki ahli Geng 360 Devan yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang pada Februari lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang masing-masing berusia 25 hingga 61 tahun selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Noridah Adam.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli Geng 360 Devan di MV Empayer Sdn. Bhd., di No. 1, Jalan Perniagaan Masria 1, Pusat Perniagaan Masria, Batu 9, Cheras, di sini pada 11 Februari lalu.
Mereka terdiri daripada bekas Ketua Pemuda MIC Hulu Langat, Datuk M. Kalai Arasu (gambar kecil), 45; M. Mohan, 34; P. Subramaniam, 54; S. Ravindran, 37; P. Rajendran, 48; E. Shamuganathan, 45; A. Karpanah, 57; J. J Vignasevaran, 42; R. Premraj, 37; V. Arivalagan, 42; R. Suresh Kumar, 39; M. Thananbalan, 41; M. Kalimuthu, 28, dan M. Saravanan, 37.
Tertuduh yang lain ialah R. Sundran, 61; A. Erathai Pragash, 49; T. Ravendaran, 30; M. Danes, 25; S. Sivaneswaran, 25; V. Vigny Alfred Raj, 29; R. Subramaniam, 37; R. Kannan, 33; M. Saravanan, 37; M. Jayakumar, 36; P. Karthik, 31; I. Ravindran, 30; S. Krishna, 33; Mohd. Sarif Abdul Karim, 31, dan R. Yogendran, 30.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam tidak menawarkan jaminan atas alasan kes berkenaan akan dibicarakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Kesemua tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Kajang. (Kosmo!)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails