Tuesday, January 31, 2017

Melayu/Islam PP Terbela? Ini Sikap PAS..



RESPONS TERHADAP KENYATAAN YB DATO’ ABDUL MALIK ABUL KASIM BERTAJUK MELAYU DAN ISLAM TERBELA DI PULAU PINANG BERTARIKH 27 JANUARI 2017

PAS P.Pinang berpendirian bahawa apa yang disebutkan oleh Presiden PAS YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika disoal wartawan mengenai pembelaan Islam dan Melayu di Pulau Pinang mempunyai asas dan hujah tersendiri. PAS P.Pinang mempertahankan pandangan YB Presiden PAS tersebut berdasarkan hujah dan fakta berikut:-

1. ISU PERKAMPUNGAN WARISAN MELAYU P.PINANG

1.1 Ketika PAS masih bersama Pakatan Rakyat, satu Manifesto Pakatan Rakyat untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dipersetujui bersama antara PAS dengan DAP dan PKR, telah memutuskan untuk mewujudkan ‘Persempadanan Perkampungan Warisan Melayu’ sebagai usaha memelihara kampung-kampung Melayu warisan yang telah sedia wujud seawal tahun 1700 masihi lagi. Antara contoh kampung Melayu warisan tersebut adalah seperti Kampung Batu Uban (1734) dan Tanjung Tokong (1786).

1.2 Namun, DAP dan PKR melalui kuasa di dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang didapati tidak melaksanakan manifesto untuk mewujudkan ‘Persempadanan Perkampungan Warisan Melayu’ ini. Berdasarkan maklumat yang direkodkan, terdapat 25 buah kampung warisan Melayu di P.Pinang yang terhapus sejak zaman pemerintahan BN hingga kini, akibat projek pembangunan. Jika DAP dan PKR bersungguh-sungguh mahu membela Melayu, sewajarnya dilaksanakan manifesto mengenai ‘Persempadanan Perkampungan Warisan Melayu’ bagi mengelakkan terhapusnya perkampungan warisan Melayu akibat projek pembangunan.

2. TINDAKAN DWI STANDARD TERHADAP PENJAJA MELAYU DAN PENJAJA BUKAN MELAYU

2.1 Didapati wujud tindakan yang berbeza terhadap penjaja yang melanggar peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada kalangan melayu dan bukan Melayu. Terdapat sebilangan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai mereka berbanding penjaja bukan Melayu yang tidak dikenakan tindakan perobohan.
2.2 Sebagai contoh, penjaja Melayu yang berniaga dikawasan luar bandar seperti Teluk Bahang dan Sungai Tiram dirobohkan gerai perniagaan mereka berbanding dengan penjaja bukan Melayu yang berniaga di Jalan Baru (berhadapan Hotel Sunway), sekitar KOMTAR, Jalan Chulia dan gerai sekitar Kompleks MBPP di Sungai Ara Bayan Lepas tidak diambil tindakan yang sama walaupun dilaporkan melakukan kesalahan yang sama seperti penjaja Melayu yang diambil tindakan perobohan gerai. Bahkan, difahamkan terdapat dikalangan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai tersebut adalah merupakan warga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang juga penerima pinjaman TEKUN.

2.3 Wakil PAS ketika masih berada di dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (sebelum dipecat pada bulan September 2014) pernah menyatakan bantahan terhadap tindakan dwi standard ini. Namun, bantahan tersebut disanggah oleh wakil DAP di dalam MBPP ketika itu dengan alasan bahawa penjaja Melayu yang dirobohkan gerai tersebut adalah kumpulan yang cenderung kepada UMNO dan tidak perlu dipertimbangkan rayuan mereka. Bahkan wakil PAS tersebut pula dituduh sebagai rasis dan pro-UMNO semata-semata kerana mempertahankan penjaja Melayu berkenaan.

3. PROJEK TAMBAK LAUT UNTUK MEWUJUDKAN 3 BUAH PULAU DI TELUK KUMBAR, IMPLIKASI TERHADAP PENDUDUK MELAYU ISLAM

3.1 Langkah DAP dan PKR melalui Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan 3 buah pulau di Teluk Kumbar bagi membiayai kos projek mega Penang Transportation Master Plan (PTMP) memberi implikasi negatif terhadap ribuan penduduk Melayu Islam yang sejak sekian lama menetap di kawasan berkenaan.

3.2 Projek ini akan memusnahkan ekologi pembiakan hidupan laut dan alam sekitar. Lebih kritikal, projek ini akan menghapuskan lubuk pembiakan ikan dan udang yang menjadi sumber rezeki kepada penduduk Melayu Islam setempat. Tawaran pampasan yang diberikan pula difahamkan tidak setimpal, ibarat “kenyang sekali tetapi melarat bertahun-tahun”.

4. CAMPUR TANGAN TERHADAP INSTITUSI FATWA NEGERI P.PINANG

4.1 Berdasarkan maklumat yang diterima, DAP dan PKR melalui Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan sengaja telah mencampuri urusan pemfatwaan apabila mengarahkan supaya semua fatwa yang diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang (JKFNPP) perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri P.Pinang terlebih dahulu, sebelum dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA).

4.2 Dalam isu ini PAS semasa di dalam Pakatan Rakyat telah menyatakan bantahan secara tertutup kepada YB Dato' Abdul Malik Abul Kasim (Ahli MMK Agama). Namun, sehingga kini, amalan campur tangan dalam proses penfatwaan masih berlaku. Fatwa-fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dimaklumkan kepada mesyuarat MMK yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada YDPA. Sedangkan menurut Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, fatwa tersebut hendaklah terus disyorkan kepada YDPA selaku Ketua Agama Islam di Negeri Pulau Pinang untuk diwartakan, tidak perlu melalui mesyuarat MMK.

4.3 Berdasarkan maklumat, terdapat fatwa yang telah 'dibekukan' oleh Kerajaan Negeri P.Pinang dan tidak dipersembahkan kepada YDPA, kerana tidak mengikut selera DAP dan PKR. Keadaan ini seolah-olah menjadikan MMK yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dalam hal ehwal hukum orang Islam, secara tidak langsung meletakkan fungsi Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan YDPA lebih rendah daripada sepatutnya mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004.

5. TIDAK BERSETUJU DENGAN CADANGAN PINDAAN AKTA 355

5.1 Berhubung usaha memartabatkan institusi kehakiman syariah di negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri secara terang-terangan telah menghalang hak umat Islam dalam memartabat dan memperkasa undang-undang syariah apabila tidak menyokong pindaan Akta 355. Tindakan Kerajaan Negeri memberikan tanah bagi membina Mahkamah Syariah hanya dilihat sekadar kosmetik sahaja sekiranya tidak memberi bidangkuasa yang sewajarnya kepada Mahkamah Syariah seperti mana yang terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah. Sekiranya kerajaan negeri menghormati dan memberikan hak kepada umat Islam bagi mengamalkan undang-undang syariah di negeri ini, kerajaan negeri harus bersedia menyokong bukan sahaja RUU Pindaan Akta 355, bahkan lebih dari itu kerajaan negeri mempunyai kuasa di dalam Dewan Undangan Negeri untuk mengubal suatu enakmen yang lebih lengkap sebagai mana yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan.

6. PROMOSI PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL MELALUI PENANG INSTITUTE

6.1 DAP dan PKR melalui Kerajaan Negeri P.Pinang juga gagal mengawal ancaman-ancaman terhadap Islam di negeri ini apabila dilihat sengaja membiarkan Penang Institute iaitu sebuah institut dibawah kelolaan kerajaan negeri mempromosikan pemikiran Islam Liberal yang jelas bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan telah difatwakan haram. Fahaman ini diberi ruang seluas-luasnya oleh Urusetia Penerangan di bawah Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dengan diberikan slot dan menyiarkannya di dalam Buletin Mutiara iaitu buletin rasmi kerajaan negeri dalam setiap keluaran.

6.2 Lebih buruk lagi, seorang penggerak Penang Institute yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, YB Zairil Khir Johari secara terang-terangan telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempromosikan pemikiran Islam Liberal. Beliau juga didapati memperkecilkan institusi Mufti dan Jawatan Kuasa Fatwa Negeri apabila tidak hadir memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Fatwa walaupun dipanggil beberapa kali oleh Mufti Kerajaan Negeri untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau.

6.3 Dalam isu ini, sekali lagi DAP dan PKR melalui Kerajaan Negeri telah gagal menjaga kesucian agama Islam dan sengaja membiarkan fahaman Islam Liberal dipromosikan melalui lidah rasmi kerajaan serta lidah pimpinan mereka sendiri. Senario ini sangat membimbangkan kerana Buletin Mutiara bukan sahaja dibaca oleh masyarakat dewasa tetapi juga disebarkan kepada anak-anak di sekolah-sekolah termasuk di sekolah agama. Situasi ini bercanggah dengan usaha membenteras dan mengawal fahaman ini yang dilakukan oleh Jawatankuasa Khariah Masjid dan Surau di seluruh negeri Pulau Pinang sekaligus menggambarkan bahawa pihak kerajaan negeri tidak mengendahkan suara anak-anak khariah Masjid dan Surau yang membantah fahaman ini.

Oleh yang demikian, PAS P.Pinang berpendirian bahawa DAP dan PKR melalui Kerajaan Negeri P.Pinang tidak serius membela Melayu dan Islam di Pulau Pinang. Bahkan, usaha-usaha yang dilakukan oleh DAP dan PKR untuk membela Melayu dan Islam di Pulau Pinang, didapati masih berada di dalam kerangka pembangunan konvensional yang hanya memfokuskan aspek material semata-mata dan mengabaikan aspek pembinaan insan, spiritual dan ruhiyah. Pembelaan Melayu dan Islam yang hanya difokuskan kepada aspek material ini sama seperti kaedah yang digunakan oleh BN, bersifat jangka pendek untuk menang pilihan raya dan kekal berkuasa, namun tidak akan dapat melahirkan rakyat dan negeri yang bertamadun.

Sekian, terima kasih.

MUHAMMAD FAUZI YUSSOFPesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang
2 Jamadil Awwal 1438 / 30 Januari 2017 - HARAKAHDAILY 30/1/2017

3 comments:

Anonymous said...

Parti Assobiyah Semalaysia.

Anonymous said...

Saya sokong pan dan ph adalah kerana faktor2 yg disebut diatas iaitu:

1. Persempadanan Perkampungan Warisan Melayu tdk dibuat krn ancaman bagi objektif mengurangkan melayu di ppinang

2. Konsep dwistandard yg meminggirkan peniaga melayu telah dilaksanakan secara berkesan.

3. Campurtangan dlm institusi fatwa oleh dap. Orang melayu wajib menyokong dan beri kemenangan kpd ph agar ianya boleh dilakukan disemua negeri.

4. Bangkangan yg berterusan terhadap undang2 syariah malaysia ruu355. Ruu ini tdk seiring dgn objektif dap kearah liberalisasi. Objektif bos ph wajib diutamakan

5. Islam liberal itu wajib disokong orang melayu sepertimana dilakukan oleh penang institute.

6. Kecenderungan dap menuju kearah negara republic (lks) adalah sangat baik. Jadi otomatiknya sultan sudah tidak ada power kpd institusi agama.

Jadi marilah menyokong ph!!! Moto yg sesuai adalah 'marilah menuju islam liberal'. Moto ini lebih bagus utk ph sbb sesuai dengan perkara yg telah berjaya dibuktikan dap.

Unknown said...

Boleh tak sapa2 tolong habaq bg clear sat awat raja2 melayu yg kata dok jaga agama Islam ni tak panggil orang2 kapiaq yg dok buat lecey kat Agama Islam mai mengadap?

Tak berapa nak paham.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails