Saturday, February 20, 2016

‘Selangor Green Silk’, Dekati Bangsa Tiong Hua. -Anjuran PAS S'gor.


SHAH ALAM, 19 FEB : Seiring slogan ‘PAS For All’, PAS Selangor menganjurkan program Selangor Green Silk, di Dewan Hokkien, Klang pada 23 Februari ini.
Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali, berkata program tersebut dilaksanakan sebagai alternatif mendekati masyarakat Tiong Hua di negeri itu.
Katanya, penganjurannya turut memberi penekanan terhadap usaha kepimpinan PAS  untuk lebih memahami dan mendalami realiti kehidupan masyarakat bukan Islam melalui prinsip Islam sejagat.
“Kita mahu mendekati seluruh rakyat dengan mendasari prinsip yang termaktub dalam Islam iaitu rahmat untuk semua.
“Program ini diharapkan mampu memberi gambaran yang baik tentang perjuangan kita mendekati rakyat secara realiti dan bukan retorik semata-mata,” katanya ketika sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Selangor, di sini hari ini.

Halimah juga yakin program tersebut mampu mencetuskan gelombang kebangkitan bangsa bukan melayu untuk bersama kepimpinan PAS.

Lebih istimewanya kata Halimah, program tersebut akan menyediakan slot tayangan kejayaan PAS Selangor bersama kepimpinan pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali.
“Sebanyak 20 Pusat Khidmat PAS Selangor akan menghantar wakil keanggotaan bagi setiap Dun untuk terlibat sama dalam program ini.
“Ia juga akan disertai 22 anggota Parlimen PAS Selangor,” katanya.

Program tersebut akan bermula seawal jam 7 malam dengan diselangi ucapan kepimpinan tertinggi PAS dan ucaptama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. (Sk)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails