Wednesday, August 19, 2015

Vape Belum Difatwakan Haram, Kata Pengerusi Majlis Fatwa


KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin hari ini menafikan yang Majlis Fatwa Kebangsaan telah menfatwakan rokok elektronik atau vape adalah haram.

Memetik laporan The Rakyat Post, sebenarnya kenyataan peribadi beliau mengenai vape telah disalah tafsir oleh sesetengah media.

“Saya bercakap atas kapasiti saya dari sudut pandangan peribadi bukan mewakili Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Dan saya juga menyatakan bahawa sekiranya pakar telah mengesahkan vape itu memudaratkan kesihatan, membawa kepada pembaziran serta merosakkan alam sekitar, maka ia boleh jatuh haram seperti rokok atau shisha.
“Kami masih menunggu laporan penuh dan penjelasan pakar Kementerian Kesihatan dan jika laporan itu mendapati vapor sah memudaratkan kesihatan, ia akan difatwakan sebagai haram. Sebelum ini kita hanya putuskan rokok atau shisha itu haram,” jelasnya kepada The Rakyat Post.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohamad Tamyes Abdul Wahid berkata, pengharaman penggunaan vape ini hanya boleh diwartakan haram jika telah mendapatkan pengesahan pakar tentang keburukannya.

Menurut beliau lagi, keputusan untuk menfatwakan sesuatu mestilah melalui mesyuarat yang perlu dihadiri oleh semua mufti.

“Kita perlu dapatkan pengesahan, semua mufti perlu hadir bermesyuarat untuk sahkan ia haram. Kalau dah kata haram memang ada sebabnya dan membawa kemudaratan kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Sebelum ini media tempatan ada melaporkan Majlis Fatwa Kebangsaan melalui Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin telah menfatwakan penggunaan vape adalah haram. (IH)


Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails