Friday, August 21, 2015

Tv: Rancangan Da’i Millenia Cukup Baik, Tapi.. -Saranan Pemuda PAS

Lajnah Dakwah Pemuda Pas Pusat bergambar selepas menyerahkan memorandum kepada pihak penerbit rancangan TV Da’i Millenia di pejabat Media Prima Berhad, Sri Pentas. 

SHAH ALAM – Pemuda Pas menegaskan, sebarang usaha untuk menambah rating penonton oleh stesen televisyen tempatan khususnya penerbit rancangan seharusnya selari dengan syariat Islam dan insiden yang boleh mencemarkan imej Islam perlu dielakkan.‎
 
Lajnah Dakwahnya dalam satu kenyataan berkata, walaupun idea dan konsep rancangan Da’i Millenia cukup baik untuk melahirkan pendakwah kontemporari, namun pelaksanaannya perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
 
“Dari sudut pelaksanaannya, ia harus diperbetulkan dari semasa ke semasa dan dijauhkan program dakwah sebegini hanya bermotifkan keuntungan komersial semata-mata.
 
“Peserta Da’i Millenia disaran ditempatkan di kawasan pedalaman khususnya Sabah dan Sarawak dengan meletakkan sasaran pencapaian untuk mengislamkan orang bukan Islam. Harapannya agar para peserta dapat memahami dunia dakwah sebenar,” kata kenyataan itu.
 
Terdahulu, Lajnah Dakwah Pemuda Pas Pusat menyerahkan memorandum kepada pihak penerbit rancangan TV Da’i Millenia di pejabat Media Prima Berhad, Sri Pentas, di ibu negara, semalam.
 
Memorandum tersebut diserahkan oleh Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin bersama Pengerusi Lajnah Dakwahnya, Mohd Hafez Sabri kepada ketua pegawai perhubungan awam dan wakil penerbit Da’i Millenia.
 
Pemuda Pas juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada penerbit program itu yang menerima memorandum dengan harapan episod seterusnya mampu diperbaiki dengan lebih baik.
 
Usaha yang dilakukan itu adalah tanda sokongan Pemuda Pas atas usaha dakwah yang dijalankan dengan mengelakkan isu kontroversi yang sensitif terhadap agama dan dunia dakwah.  (SH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails