Friday, August 21, 2015

Abu Sayyaf Digempur, 2 Tebusan Terlepas.

GAMBAR yang dirakam pada 11 Ogos lalu menunjukkan dua anggota tentera berdiri di hadapan kenderaan yang membawa mayat Boligao di luar sebuah hospital di Jolo, Mindanao.

MANILA – Dua anggota pengawal pantai Filipina yang ditawan sebagai tebusan oleh kumpulan Abu Sayyaf berjaya melepaskan diri ketika tentera kerajaan menggempur tempat persembunyian militan berkenaan, kata pihak tentera semalam.
Gringo Villaruz dan Allan Pagaling meloloskan diri secara berasingan dari kem Abu Sayyaf malam kelmarin dan meredah hutan ketika kumpulan itu bertempur dengan pasukan elit tentera, kata jurucakap tentera, Kolonel Noel Detoyato.
“Dua anggota pengawal pantai itu melarikan diri ketika kemuncak pertempuran,” katanya kepada wartawan di Manila.
Jurucakap pasukan elit tentera, Kapten Antonio Bulao berkata, mereka diculik pada Mei lepas bersama seorang lagi tebusan yang kemudiannya dipenggal.
“Kedua-duanya berlindung di sebuah kampung yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi pertempuran,” ujar Bulao.
Ditemui selang sejam, Villaruz tidak mengetahui bahawa rakannya berjaya melarikan diri, begitu juga Pagaling, sehinggalah mereka bertemu di sebuah hospital tentera semalam, tambahnya. Jelas Bulao, kedua-duanya mengalami luka kecil.
Menurut jurucakap berkenaan, seorang pemimpin kanan kumpulan penculik itu, Yasser Igasan dipercayai meloloskan diri selepas pertempuran tamat.
Seramai 15 anggota bersenjata Abu Sayyaf terbunuh tetapi hanya lima mayat ditemui, manakala bakinya dibawa oleh rakan-rakan mereka, kata Bulao
“Beberapa anggota tentera cedera ringan dalam pertempuran itu.
Seramai 200 anggota Abu Sayaf terlibat dalam pertempuran sengit itu dengan pihak tentera menggunakan meriam bagi memaksa mereka berundur.
“Pertempuran itu panjang, selama 1 jam dan 35 minit,” kata Detoyato.
Pada minggu ini, tentera Filipina melancarkan percubaan menyelamat 11 tebusan termasuk Villaruz dan Pagaling disamping dua warga Malaysia, seorang rakyat Belanda dan seorang warga Korea Selatan selepas kumpulan Abu Sayyaf memenggal tebusan ke-12, Rodolfo Boligao. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails