Thursday, August 20, 2015

Hentikan Rokok Dengan E-Rokok? -Kajian Baru Di Britain.


PENGGUNA
LONDON – Pakar-pakar kesihatan awam Britain melalui satu kajian semalam mencadangkan rokok elektronik (e-rokok) wajar diperkenalkan kepada perokok untuk membantu mereka menghentikan tabiat buruk itu.


Kajian oleh pihak berkuasa Kesihatan Awam England (PHE) mendapati e-rokok yang dikenali sebagai vapor adalah 95 peratus kurang berbahaya berbanding rokok konvensional.
Penulis bersama kajian itu, Profesor Ann McNeill dari King’s College London berkata, peranti berkuasa bateri itu dapat mensimulasikan perasaan merokok tetapi tanpa kandungan nikotin yang membahayakan kesihatan perokok.
Tabiat merokok merupakan punca utama kematian boleh dicegah di England berjumlah lebih 80,000 setahun, menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan.
Populasi rakyat Britain yang me­rokok pula ialah satu dalam setiap lima penduduk.
“Merokok masih menjadi pembunuh nombor satu di England dan perkara terbaik yang boleh dilakukan perokok ialah berhenti terus,” kata Pengarah Kesihatan dan Ke­sejahteraan Hidup PHE, Profesor Kevin Fenton.
“E-rokok bukan bebas risiko sepenuhnya tetapi jika dibandingkan dengan rokok konvensional, bukti menunjukkan ia hanya membawa sebahagian kecil daripada kemudaratan rokok.”
Vapor kurang popular berbanding rokok konvensional, manakala dianggarkan hanya 2.6 juta rakyat Britain menggunakan e-rokok.
Ketika ini, tiada satu pun peranti e-rokok mempunyai lesen bagi tujuan perubatan di Britain. Ini bermakna doktor tidak boleh mencadangkan penggunaannya kepada pesakit.
Bagaimanapun, kajian mendapati bahawa bertentangan dengan persepsi awam, e-rokok tidak membahayakan kesihatan dalam cara yang sama seperti rokok konvensional.
“Kajian mendapati penggunaan e-rokok melupuskan hampir semua risiko kesihatan yang dikaitkan dengan rokok konvensional,” kata seorang lagi penulis bersama, Profesor Peter Hajek daripada Universiti Queen Mary.
Pakar-pakar juga mengatakan bahawa tiada bukti setakat ini yang menunjukkan e-rokok menjadi penyebab kepada tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak atau bukan perokok. – AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pelek, nak hentikan merokok dengan menambah e-rokok? Samakah dengan nak hentikan dadah dengan memberi dadah yang kurang sikit 'power'nya?

Tabiat merokok merupakan punca utama 'kematian boleh dicegah' di England berjumlah lebih 80,000 setahun. Bahkan, merokok masih menjadi pembunuh nombor satu di England. 

Dan perkara terbaik yang boleh dilakukan perokok ialah berhenti terus.  

Vape juga adik-beradik rokok, sama seperti rokok.  Di Malaysia, rokok, kerajaan kata haram. Tetapi hakikatnya, kerajaan yang mempromosikan, dengan tidak mengharamkan dalam perlaksanaan, kerana sanggup menagih cukainya yang besar ke atas pembunuhan rakyat tersebut. 

Ini juga yang sedang berlaku pada vape, perusahaan yang sedang dimajukan. Kerana kepentingan cukai sanggup kerajaan akan membunuh rakyat sendiri.. Pada hal dari sudut ekonomi pun, berapa banyak wang negara mengalir keluar, kerana rakyat berpenyakit. Berpenyakit hasil dari produk kerajaan sendiri (yang tidak mengharamkan rokok dan yang spesis dengannya).


Begitulah cara fikir pemimpin-pemimpin BN yang terikut-ikut cara barat sesat, (kerana wang sanggup membunuh rakyat sendiri) yang tidak takut kepada pembalasan Hari Akhirat seperti yang terdapat dalam politik Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails