Tuesday, May 26, 2015

Pemikiran Calon Presiden PAS (3): PAS Kalah Sekiranya...

Bila bulan tak terus mengambang
PAS diberi amaran kalah pada pilihan raya umum akan datang sekiranya masih mengekalkan kepimpinan sedia ada, kata calon presiden parti Islam itu Ahmad Awang.
Bekas naib presiden PAS itu berkata, perkara itu dijangka akan terjadi sekiranya kepimpinan sedia ada terpilih semula dan pihak yang kalah diketepikan pada pemilihan ke-61 awal bulan depan.

"Kalau mereka ini yang terpilih, (kalau) mengenepikan mereka yang kalah, saya percaya PAS tak boleh pergi ke depan. PAS kalau tidak ke belakang, hanya kekal di situ sahaja.
“Jadi banyak perkara tak boleh dilaksanakan menjelang pilihan raya umum ke-14.
"Kalau begitu keadaannya, saya tak nampak PAS boleh menang (pilihan raya), silap-silap Kelantan pun terbang," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Ahmad berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan PAS Jun depan di Kuala Selangor.

Hadi pertama kali dicabar sepanjang 13 tahun kepimpinannya.

Ini dipercayai susulan kenyataan dan tindakannya yang didakwa tidak menguntungkan Pakatan Rakyat.

Berikut sedutan temubual Ahmad bersama Malaysiakini.
Malaysiakini: Bagaimana ustaz lihat pencapaian Hadi sepanjang memimpin PAS berbanding allahyarham (presiden sebelumnya) Datuk Fadzil Noor?

Ahmad: Pencapaian Hadi berdasarkan pencapaian terdahulu. Kita tak boleh nak letak bersendirian. Masa ustaz Fadzil Noor, dia meluaskan ruang dan tidak hanya terhad kepada golongan ulama atau orang yang berlatar belakang agama sahaja tetapi golongan profesional turut menyertai PAS dan ia berjaya.

Pencapaian yang dicapai Fadzil disambung terus oleh Hadi selama lebih satu dekad. Semasa zaman almarhum, lahir Barisan Alternatif dan DAP tinggalkan Barisan Alternatif kerana menerima kekalahan besar pada 1999 kerana bersama PAS.

Tapi pada 2008, keputusan PRU12 membawa balik DAP bersama PKR dan PAS dan wujudnya Pakatan Rakyat di mana presiden ketiga-tiga parti adalah pimpinannya.

Pencapaian ini sambungan almarhum dan diperkuatkan pada zaman presiden sekarang. Cuma mutakhir ini ada masalah dalam konteks hubungan ketiga-tiga parti khasnya antara PAS dan DAP dan mungkin PKR juga.

Tetapi PAS tetap mendukung atau berpendirian untuk bersama Pakatan sebab kalaulah tak bersama Pakatan, seolah-olah PAS kebelakang dan menjadi parti yang berkisar bukan sahaja pada orang Melayu tetapi hanya kepada Pantai Timur sahaja.

Dengan slogan "PAS For All" (PAS untuk Semua), jadi kita tetap untuk meneruskan usaha ke arah menyiapkan PAS di peringkat nasional dan antarabangsa dan saya ada keyakinan itu. Semua (presiden) mempunyai kelebihan masing-masing di setiap zaman mereka.

Mungkin keadaan sekarang, anjakan oleh pihak dan sebahagian ahli untuk memperluaskan lagi usaha supaya (PAS) tidak balik ke belakang.

Andai kalah pada pemilihan kali ini, akan sertai parti lain? 

Kalau saya sendiri saya tak sedia menyertai parti lain dan saya tak mahu mereka (penyokong) ke parti lain.

Kalau mereka ini yang terpilih, mengenepikan mereka yang kalah, saya percaya PAS tidak akan boleh pergi ke depan. Kalau tak terbelakang akan kekal di situ. Jadi banyak perkara tak boleh dilaksanakan menjelang PRU14.

Kalau begitu keadaannya, saya tak nampak PAS boleh menang. Silap-silap Kelantan terbang. Maknanya, ahli akan menilai, (kalau) macam ini teruk (parti), mereka akan bangkit semula supaya tidak ambil pimpinan tadi kerana majoriti tidak bersedia dengan golongan yang mengasingkan kumpulan yang seolah-olah tak memihak pada mereka.

Sekiranya ustaz kalah, adakah akan tamat hubungan PAS dan Pakatan? 

Tak semestinya. Mungkin ada pemimpin lain yang kuat untuk bersama Pakatan. Mungkin boleh diteruskan usaha itu dan mungkin memakan masa untuk perbaiki keadaan itu. Kalau yang nombor satu tak dapat bersama dengan orang lain pun, payah juga.

Mungkin lepas muktmar, kalau betul saya kalah, mudah-mudahan tidak, tapi dapat 40 atau 45 peratus sahaja undi, ini juga satu mesej yang boleh menjadi peringatan kepada presiden yang menang.

Tentu dia akan baiki apakah sebab orang tidak boleh menerima kedudukan yang sedia ada. Maknanya, ini sebagai wake up call. Sebabnya sudah teruji berdasarkan peratusan itu dan ia juga satu kejayaan pada saya.

Ustaz bersedia untuk berdebat dengan Hadi? 
Oleh kerana Harakah Bazaar bawah organ parti dan saya pernah cakap sebelum ini bahawa organ parti tak boleh digunakan oleh mana-mana calon untuk nyatakan sikap dan pendirian mereka untuk berkempen.
Sekarang ini, bila dah digunakan oleh Harakah, sepatutnya saya pun diberi peluang juga. Tapi saya belum berhubung lagi dengan mereka. Saya akan cuba hubungi tapi kalau (mereka) tak bagi tak apalah. (MK)
Lihat sebelum ini..

1 comment:

Anonymous said...

LIHATLAH STATISTIK HUTANG NEGARA DAN BANDINGKAN DRP ERA PEMERINTAHAN TUN MAHATHIR KE ERA PEMERINTAHAN TUN ABDULLAH DAN SETERUSNYA KINI ERA DS NAJIB RAZAK.

TUN ABDULLAH DAN DS NAJIB TIDAK DAPAT MELAKUKAN APA-APA PEMBANGUNAN MAHUPON PEMODENAN (APAKAH NEGARA TIADA WANG?) TAPI HUTANG DARIPADA USD220.00 BILLION TERUS NAIK MENCECAH HAMPIR USD600 BILLION.

RAKYAT MALAYSIA BERHAK UNTUK TAHU, BAGAIMANA JUMLAH HUTANG DARIPADA USD220 BILLION PADA TAHUN 2000 BOLEH TERUS NAIK HAMPIR USD600 BILLION PADA 2015?

APAKAH BENAR TUN MAHATHIR MOHAMED, TUN DAIM ZAINUDDIN, TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP ADALAH TIGA JAHANAM YANG TELAH MEROMPAK, MENCURI, MELANUN?

KINI SEKELIAN RAKYAT MALAYSIA TERPAKSA MENAGGUNG SEGALA SALAH LAKU, KERAKUSAN, SALAHGUNA KUASA, PEROMPAKAN DAN KECURIAN YANG DILAKUKAN KETIGA-TIGA JAHANAM DAN KUNCU-KUNCUNYA.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails