Saturday, December 06, 2014

Polis Tahan 20,000 Kaki Judi Internet

 
Seramai 20,216 orang kaki judi dan penganjur pusat perjudian secara dalam talian ditahan polis antara Januari hingga November tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Negara bahawa daripada jumlah itu, seramai 7,181 orang telah dituduh di mahkamah.

"Daripada operasi khas yang dilaksanakan pada 2014 sahaja, polis melakukan 62,819 serbuan dan merampas 138,166 unit komputer  dianggarkan bernilai RM138.1 juta," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator S. Chandra Mohan yang bertanya mengenai  langkah-langkah bagi membanteras masalah perjudian dalam talian.

Wan Junaidi berkata Kementerian Dalam Negeri melalui pihak polis sentiasa memantau dan menjalankan operasi secara terancang dan berterusan dalam menangani kegiatan perjudian perseorangan atau sindiket.

"Bagi menentukan aktiviti perjudian dapat ditangani dengan lebih berkesan dan terancang, kementerian dan polis mengambil pelbagai pendekatan termasuk melancarkan operasi khas Ops Dadu, menubuhkan pasukan khas di peringkat Bukit Aman dengan kekuatan seramai 200 pegawai dan kakitangan awam," katanya.

Wan Junaidi berkata selain itu, kementerian menyediakan nota makluman dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri mengenai perlunya tindakan bersepadu antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis dan kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad dan pihak pembekal air dipertingkatkan untuk tindakan pemotongan bekalan eletrik dan air di premis judi degil.

Menurutnya pihak berkuasa berdepan kekangan ketika serbuan antaranya pusat perjudian ditutup dan dipindahkan ke tempat lain selepas waran geledah dikeluarkan mahkamah, server berada di luar negara dan sindiket menggunakan alat kawalan jauh untuk menutup dan menukar laman perjudian dalam laman web sosial.
 
"Kementerian yakin polis dapat membasmi kegiatan perjudian ini namun, usaha ini tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa ada penglibatan daripada orang ramai," katanya.
- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails