Wednesday, November 26, 2014

Rusuhan Ketegangan Kaum Tercetus Seluruh AS.

Obama seru rakyat Ferguson bertenang
Penduduk Ferguson bertindak ganas susulan keputusan mahkamah untuk tidak mendakwa pegawai polis yang telah menembak mati remaja tidak bersenjata pada 9 Ogos lalu. - Foto AP/The Seattle Times/Mark Harrison

FERGUSON, Amerika Syarikat – Beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan raya di sini kelmarin bagi membantah keputusan jemaah juri membebaskan seorang anggota polis berkulit putih yang menembak mati seorang remaja kulit hitam dalam kejadian pada 9 Ogos lalu.

Jemaah juri membuat keputusan bahawa tiada sebab untuk mengenakan tuduhan jenayah terhadap seorang anggota polis, Darren Wilson yang menembak mati Michael Brown ketika remaja itu tidak bersenjata.

Pihak polis turut melaporkan beberapa das tembakan dari senjata automatik dilepaskan oleh kumpulan penunjuk perasaan dan pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan turut mengeluarkan larangan terbang sementara di bandar itu.

Reuters - SEORANG penunjuk perasaan berehat di hadapan sebuah premis perniagaan yang terbakar di Ferguson kelmarin. 

Tunjuk perasaan turut tercetus di New York, Chicago, Washington, Seattle dan Oakland bagi membantah kes berkenaan yang meningkatkan lagi ketegangan kaum di seluruh Amerika Syarikat (AS).

“Mereka (jemaah juri) mendapati tiada sebab kukuh untuk memfailkan tuduhan jenayah terhadap Wilson,” kata Pendakwa Raya Daerah St. Louis, Bob McCulloch.

Ujarnya, Wilson mungkin berdepan tuduhan termasuk membunuh tanpa niat atau tuduhan membunuh jika dia dikenakan dakwaan jenayah. Kumpulan penunjuk perasaan dilapor membakar beberapa ba­ngunan di bandar ini dan beberapa kenderaan termasuk kereta peronda polis.

AFP - SEKUMPULAN anggota polis berkawal selepas tunjuk perasaan tercetus di Ferguson di negeri Missouri. Amerika Syarikat  

Pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas beberapa das tembakan didengari dari kumpulan penunjuk perasaan. Presiden AS, Barack Obama menyeru kumpulan penunjuk pe­rasaan supaya mengekalkan keamanan dan mahu pihak berkuasa tidak menggunakan kekerasan dalam menyuraikan keadaan.

“Negara ini didirikan berasaskan undang-undang dan kita mesti menerima keputusan yang dibuat oleh jemaah juri ini,” katanya dalam satu siaran televi­syen. – Reuter

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails