Wednesday, November 26, 2014

Najib Bentang Kertas Putih Tangani Militan IS Hari Ini

 
KUALA LUMPUR – Kertas Putih Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan IS diedarkan kepada anggota Parlimen di Dewan Rakyat dan dijadual dibentangkan hari ini.

Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul semalam menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mencadangkan bahawa pembentangan Kertas Putih itu perlu untuk memberi penjelasan mengenai ancaman kumpulan militan IS (kumpulan Negara Islam) terhadap keselamatan negara kepada semua lapisan rakyat Malaysia.

“Perdana Menteri akan mencadangkan bahawa Dewan ini menyedari akan perlunya bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu dalam semua usaha menangani ancaman kumpulan militan IS. 


Selain itu, ia juga menyebut bahawa Dewan Rakyat menyeru semua lapisan rakyat Malaysia mempergiatkan usaha dan komitmen mereka untuk bersama-sama menyokong kerajaan menangani ancaman berkenaan.

Sejak operasi khas ke atas kegiatan militan dilancarkan Bahagian Counter Terrorism pada 28 April lepas sehingga setakat ini bulan ini, kira-kira 30 individu telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktivit militan itu.

Mereka yang ditahan antaranya atas kesalahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengumpulan dana bagi menghantar rakyat Malaysia ke negara tersebut selain meninggalkan Malaysia untuk menyertai kumpulan IS dengan mengahwini anggota militan di sana. Sebahagian yang ditahan telah didakwa.

Kelmarin di Baghdad, IS melancarkan serangan baharu ke atas bandar Ramadi di utara Iraq. Serangan itu merupakan cubaan kali ketiga oleh kumpulan militan itu untuk menawan Ramadi. IS sebelum ini telah menawan sebahagian besar kawasan di barat dan utara Iraq serta Syria.


Ideologi IS ialah bagi membentuk sebuah kerajaan khalifah di Iraq dan Syria. (Kosmo)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails