Friday, November 28, 2014

PM Tunduk Kepada Ektrimis Umno Kekal Akta Hasutan?







KL: "Apakah Perdana Menteri telah tunduk kepada golongan ektrimis dalam Umno yang mahukan Akta Hasutan ini dikekalkan?" tanya Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Justeru, beliau melahirkan rasa kesal dengan ucapan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno hari ini, bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan untuk penambahbaikan.

Menurutnya, pada 11 Julai 2012 Perdana Menteri yang juga Presiden Umno telah berikrar untuk memansuhkan Akta Hasutan dengan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional atas alasan Akta Hasutan tidak lagi releven.

"Bagaimana pada tahun 2014 ia menjadi releven pula?" tanya Ahli Parlimen Parit Buntar itu dalam satu kenyataan.

Katanya, sehubungan itu apabila Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang dibentuk sendiri oleh Jabatan Perdana Menteri, MPKN melalui Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar telah diminta oleh pihak Jabatan Perdana Menteri untuk memberi input kepada undang-undang baru bagi menggantikan Akta Hasutan.

Tambahnya, pihak Jawatankuasa Undang-Undang dan dasar telah pun menyediakan input dan mengadakan siri rundingan awam supaya undang-undang baru yang dinamakan RUU Keharmonian Nasional dapat disediakan.

Bahkan, ujarnya yang juga Ahli Majlis Konsultansi Perpaduan Negara draf tersebut sudahpun diserahkan kepada majlis penuh MKPN dan pihak Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Mujahid lagi, dengan memperkukuhkan Akta Hasutan, Perdana Menteri dalam ucapannya telah mengirimkan isyarat yang salah bahawa undang-undang penjajah itu perlu dikekalkan sedangkan suasana hari ini menuntut undang-undang negara lebih releven dan menepati zaman.

Secara substantif, kata beliau Akta Hasutan mempunyai tahap pembuktian yang rendah dan terdedah kepada salahguna kepada maksud menghasut dan mengancam sedangkan akta baru yang dicadangkan mengetatkan tahap pembuktian dan bagi memelihara pada waktu yang sama kebebasan bersuara.

"PAS dalam muktamarnya yang lalu turut meluluskan usul sebulat suara supaya Akta Hasutan dihapuskan dan digantikan dengan yang lebih baik untuk memelihara kepentingan keharmonian nasional," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Ternyata, kata beliau dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu membuktikan beliau adalah seorang tidak mempunyai pendirian tetap dan telah mungkir janji untuk memansuhkan Akta Hasutan seperti yang telah diikrarkannya sebelum ini. - HARAKAHDAILY 27/11/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails