Sunday, September 07, 2014

PasMa Dijangka Ganti PAS Dalam Pakatan, Kata Penganalisis

Ahli PasMa berkumpul dalam satu majlis pertemuan baru-baru ini. Gambar fail The Malaysian Insider.

Ahli PasMa berkumpul dalam satu majlis pertemuan baru-baru ini. Gambar fail The Malaysian Insider. Akhir-akhir ini, mula menjadi buah mulut dan perbualan di kalangan ahli dan pemimpin PAS sama ada PasMa, sebuah badan yang dibentuk bulan lepas di Kota Baru, akan menjadi alternatif menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Apakah PasMa akan menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat?" tulis seorang penganalisis politik PAS, Dr Kamarul Yusof dalam Facebooknya.

Ini berikutan sebahagian pimpinan PAS kini dilihat bakal mengambil jalan sendiri kerana tidak bersetuju pendekatan konfrontasi yang diambil pucuk pimpinan PAS dengan rakan mereka dalam PR.
Bahkan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga ditanya mengenai PasMa ketika sesi taklimatnya di kawasan pilihan rayanya pada Khamis iaitu di Rusila, Marang, Terengganu.

"Siapa nak tubuh parti, silakan. Itu hak mereka. Kalau ada nyamuk seekor, susah juga kita nak tidur," kata Hadi kepada soalan yang dikemukakan dalam majlis yang diadakan di sebuah dewan terbuka bersebelahan dengan Masjid Rusila.

Beliau dipercayai menyindir rakan dalam pimpinan PAS yang sering mengkritiknya. Dalam mesyuarat AJK PAS Pusat 25 Ogos lepas, Hadi dikritik hebat beberapa pimpinan PAS berhubung krisis yang berlaku di Selangor.

Semalam, media melaporkan Majlis Syura Ulama PAS memutuskan mengubah segala keputusan diambil Jawatankuasa PAS Pusat 17 Ogos lalu yang mencalonkan Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali sebagai calon pilihan parti untuk dihantar ke istana bagi dilantik menteri besar Selangor.

Menurut laporan itu, Hadi menandatangani satu surat kepada Sultan Selangor yang mencalonkan 2 Adun PKR dan seorang Adun PAS untuk dipilih baginda.

"Adun PKR itu bukan Dr Wan Azizah dan bukan juga Azmin," kata satu sumber PKR. Media difahamkan ketiga-tiga mereka adalah ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok Dr Idris Ahmad (PKR), Adun Kota Anggerik Dr Yaakub Sapari (PKR) dan Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad (PAS), yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Sejak disiarkan The Malaysian Insider beberapa hari lepas tentang penubuhan PasMa atau nama penuhnya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia, ia menjadi topik perbincangan hangat di kalangan ahli dan pemimpin PAS khasnya dalam laman sosial Facebook.

"PR adalah satu persefahaman politik yang terbaik setakat ini, dan persediaan perlu dibuat kalau-kalau ada pihak yang mahu merombak persefahaman ini," kata Che Ibrahim Mohamed, ahli jawatankuasa penaja PasMa dalam Facebook.

Kenyataan ini dibuat menjelang program pertama PasMa iaitu sebuah forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Isnin ini.
Bagi pihak lain dalam PAS, PasMa dilabelkan sebagai satu parti baharu yang bakal dibentuk hasil serpihan PAS selepas sebahagian pemimpin mereka tidak bersetuju dengan pendekatan pimpinan utama PAS dalam krisis di Selangor sekarang.

Mereka menyenaraikan semua pemimpin PAS yang dilihat tidak bersetuju dengan cara Abdul Hadi dalam badan itu dengan menamakan mereka memegang pelbagai jawatan.
Ahmad Awang, bekas ahli Majlis Syura Ulama dinamakan sebagai mursyidul am, manakala Datuk Husam Musa dinamakan presiden badan ini oleh pihak berkenaan.

"Ini satu perkembangan yang baik kerana pihak tertentu sedang perkenalkan kami," kata Setiausaha Agung PasMa Taib Ahmad seorang aktivis PAS dari Kedah kepada The Malaysian Insider.

Taib berkata, presiden PasMa sebenarnya Datuk Phahrolrazi Zawawi, iaitu timbalan pesuruhjaya PAS Kedah. Timbalan beliau Muhamad Husin (bekas ahli Parlimen Pasir Puteh), manakala naib pengerusinya Hisomudin Abu Bakar.

"Kita dalam proses melantik pesuruhjaya dan AJK PasMa bagi setiap negeri," kata Taib.

Che Ibrahim berkata, PasMa adalah sebuah badan bukan kerajaan yang bebas memanggil siapa saja untuk memberi sebarang penerangan atau taklimat mengenai apa yang berlaku sekarang.

"Kita tidak boleh membiarkan PR hanya didokong PKR dan DAP seperti yang hampir-hampir sedang terjadi di Selangor sekarang," katanya.

Beliau berkata, PR hanyalah satu persefahaman politik tanpa ikatan rasmi.

"Jika mana-mana parti yang ada gagal mencapai konsensus, atau enggan mengambil keputusan bersama, maka persefahaman tersebut boleh dianggap terbatal seperti dalam isu menteri besar Selangor di mana kita bergerak bukan lagi atas semangat PR," kata Che Ibrahim melahirkan kebimbangan dengan apa yang berlaku dalam PAS sekarang.

Pengkaji politik PAS Dr Kamarul Yusof berkata, penubuhan PasMa kelihatan seperti langkah awal penubuhan parti baharu sebagaimana penubuhan Parti Keadilan dan Kesejahteraan (AKP) pimpinan Tayyib Recep Erdorgan yang kini baru terpilih sebagai presiden Turki.

"Saya tidak ikuti sangat perkembangan di Turki, tetapi sepintas lalu kelihatan seperti yang dikatakan itulah," katanya melalui perbincangan dalam laman Facebook ketika menjawab soalan apakah PasMa akan menurut jejak langkah Erdorgan di Turki.

AKP ditubuhkan apabila kumpulan reformis dalam Virtue Party di Turki meninggalkan parti itu dan bergabung dengan pelbagai pihak membentuk AKP.

Pemimpin asal Virtue Party kini menubuhkan Saadet Party yang menjadi saingan AKP dalam politik Turki namun tidak mendapat tempat di hati rakyat.
AKP mula memerintah Turki selepas pertama kali menyertai pilihan raya sehinggalah sekarang di mana presiden dan perdana menteri Turki kini adalah daripada parti itu. – 6 September, 2014. (TMI)

3 comments:

Anonymous said...

Hj hadi kata wan azizah tak layak sebab tak pandai hujah.. tapi hujah hadi pertahankan tindakan flip flop dia tak juga menunjukkan dia pandai.. hujah budak sekolah..

Anonymous said...

Bab tak pandai hujah hj hadi ni.. pengikut dia tak kan perasan.. sebab mereka tak mengkaji.. takat guna sentimen aje.. tok guru pun bukan sentiasa betul..

apa pun imej hadi tercemar hebat.. jalan keluar ialah mengundur diri..

Anonymous said...

sedap kata org nyamuk
yg dia tu nak bergabung ngan UMPORNO nak panggil apa?
presiden apa mcm ni buat keputusan ikut kepala dia aje tak ikut langsung apa kata jemaah...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails