Tuesday, September 09, 2014

PasMa Bukan Kelangsungan 'projek langgar Hadi' -Phahrolrazi Mohd Zawawi

 
Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) menolak tanggapan pihak tertentu bahawa kehadiran NGO yang ditubuhkan kira-kira sebulan itu, sebagai satu kelangsungan "projek" untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar.

Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menafikan andaian bahawa kehadiran NGO itu, walaupun ditubuhkan oleh ahli PAS itu, adalah untuk menentukan kepimpinan parti itu dalam pemilihan parti.

"Saya menafikan (dakwaan itu) bahawa kita mahu 'melanggar presiden', untuk menjatuhkan presiden. Itu bukan kerja kita. Kita kerja bukan nak pergi mengundi dalam muktamar PAS, kecuali orang itu jadi perwakilan.
"Jatuh bangun presiden dan (anggota) jawatankuasa adalah kerja perwakilan muktamar PAS. Bukan kerja NGO. Orang luar tidak boleh buat apa-apa, terpulang kepada perwakilan.
"Kami tidak bekerja untuk menentukan kepimpinan PAS, PKR dan DAP. Itu hak perwakilan," katanya dalam forum 'PAS campur Umno: Ke mana hala tuju?' di ibu negara malam tadi.

ADUN Pengkalan Kundor yang masih ahli PAS itu menjawab soalan hadirin berhubung sejauh mana kebenaran kehadiran NGO itu sebagai kelangsungan untuk mahu menjatuhkan Abdul Hadi sebagai presiden PAS dalam pemilihan parti.

Sebaliknya, Phahrolrazi menjelaskan NGO itu mahu memastikan PAS kekal dalam Pakatan Rakyat sekalipun ada kepimpinan PAS yang merasakan kehadiran mereka sebagai 'ancaman' kepada parti itu.

"Kita kena selesai pemikiran ini. Ada pemimpin yang tidak benar ahli PAS sertai PasMa, kemudian, tarik balik. Ini kekangan yang perlu diselesaikan," katanya.

'Politik mirip Fadzil Noor'

Menurut beliau, pihaknya juga akan membuat siri kempen jelajah di setiap negeri bagi memupuk kesedaran penyokong Pakatan Rakyat supaya memperkukuh lagi gabungan pembangkang itu.

"Kita mahu mengukuhkan (Pakatan) yang sedia ada. Lebih baik kita menyelesaikan kemelut yang sedia ada sekarang. Itu harapannya.
"Kita tidak mahu adanya perbezaan pendapat. Tapi apa yang berlaku sekarang kita beri peluang kepada musuh. Umno tak payah buat kerja.
"Sepatutnya kita memberi tumpuan untuk menghadapi BN/Umno. Kita turun padang, tetapi tindakan kita, nampaknya menjejaskan sokongan rakyat," katanya sambil mengulangi pendirian bahawa NGO itu tidak berniat untuk menjadi parti politik.
"Takkan saya nak keluar PAS dan bentuk parti politik lain," katanya yang juga (pernah menjadi) timbalan pesuruhjaya PAS Kedah.

Sebelum itu, Timbalan Presidennya (PasMa), Mohamad Hussain melancarkan penubuhan NGO itu secara rasmi dan mengumumkan kepimpinan tertinggi NGO itu termasuk melantik ketua perhubungan di setiap negeri.

Beliau yang juga bekas ahli parlimen Pasir Puteh berkata pendekatan NGO itu ada mirip kepada gaya politik bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor tanpa menghurai lanjut mengenainya.

"Selepas pelancaran ini, kita akan melancarkan satu lagi di negeri Pahang. Di Bandar Temerloh," katanya sambil diiringi kira-kira 500 hadirin di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur malam tadi. (MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails