SHAH ALAM - Di sebalik spekulasi berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dikatakan akan meletak jawatan ekoran tekanan dalaman PKR, namun hakikatnya pelantikan jawatan itu adalah di bawah bidang kuasa Sultan Selangor.
 
Menurut pakar undang-undang di Selangor Datuk Salehuddin Saidin, pelantikan seorang menteri besar di Selangor terletak di bawah kuasa Sultan sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
 
Katanya menurut Perkara 53 (2) (a) undang-undang itu, baginda boleh melantik seorang Adun pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti Adun, selaku menteri besar.
 
Di bawah Perkara 55 (2) (a) pula, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang menteri besar, katanya.
 
Pada masa sama, seseorang menteri besar juga haruslah berbangsa Melayu dan beragama Islam sepertimana yang telah termaktub dalam  undang-undang berkenaan, katanya.

Salehuddin berkata, pemilihan seseorang individu untuk menjadi menteri besar adalah dibuat oleh sesebuah parti yang mendapat sokongan majoriti daripada rakyat dalam pilihan raya.
 
"Parti yang memenangi pilihan raya itu boleh mengemukakan calon-calon menteri besar untuk pertimbangan Sultan Selangor. Sultan Selangor akan  memilih seorang menteri besar yang difikirkan layak oleh baginda," katanya.
 
Semalam Abdul Khalid dilaporkan menafikan spekulasi  bahawa beliau akan meletakkan jawatannya dan memberikan laluan kepada Penasihat PKR, Datuk  Seri Anwar Ibrahim, yang dinamakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, sekiranya ada pertandingan, untuk mengambil alih tempatnya.
 
Penyandang Dun Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerusi itu semalam.
 
Abdul Khalid dilaporkan berkata, beliau akan berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar dengan syarat ia mendapat  persetujuan daripada semua komponen parti dalam Pakatan Rakyat selain mendapat perkenan daripada Sultan Selangor. - Bernama

Berkaitan..
E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?

E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?