Thursday, January 30, 2014

4 Kerusi MB S'ngor Sebelum Ini Terkena Badi ...

Kedudukan MB S'ngor kini dalam teka-teki..

Ketika negara bersiap sedia untuk berdepan dengan satu lagi pilihan raya kecil, kali ini dicetuskan oleh satu langkah taktikal PKR, spekulasi sama ada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan kekal sebagai menteri besar (MB) Selangor semakin hangat diperkatakan.

Jika Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pilihan raya kecil DUN Kajang dan menggantikan Abdul Khalid sebagai MB, maka Abdul Khalid bukanlah MB Selangor yang pertama diminta memberi laluan atas sebab-sebab politik.

Terdapat sekurang-kurangnya empat MB sebelumnya yang terpaksa mengosongkan jawatan mereka berikutan kontroversi dan tekanan daripada parti politik mereka sendiri.

Datuk Harun Idris (1964-1976)

Setelah berkhidmat sebagai MB selama 12 tahun, Datuk Harun Idris terpaksa melepas jawatannya apabila beliau berdepan dengan tuduhan rasuah.

Peranan Harun dalam rusuhan kaum 13 Mei 1969 telah beberapa kali dipersoalkan, tetapi beliau terselamat daripada gelombang tekanan pesaingnya untuk kekal sebagai MB bagi penggal kedua.

Tetapi pada tahun 1976, beliau telah dipecat dari Umno dan kemudiannya didakwa atas tuduhan rasuah kerana didakwa menyalahgunakan wang negeri. Berikutan itu, beliau menjalani hukuman penjara enam tahun dan mendapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong tidak lama kemudian.

Beliau merupakan MB Selangor yang paling lama berkhidmat.

Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali (1982-1986)

Ipar kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,
Tan Sri Ahmad Razali, merupakan seorang tokoh yang tidak popular dalam Umno Selangor dan hanya bertahan satu penggal sahaja selepas dilantik sebagai menteri besar oleh Mahathir sendiri

Penggal pentadbirannya dicemari oeh satu insiden yang dilaporkan berlaku semasa satu mesyuarat Umno di Kampung Pandan di mana seorang perwakilan membaling kerusi ke arahnya. Pada tahun 1983, setahun selepas mengambil alih jawatan MB, pentas tempat beliau melancarkan perayaan Thaipusam di Batu Caves roboh, dan mencederakan 34 orang.

Beliau meletak jawatan pada 1986 selepas empat tahun menjadi MB untuk memberi laluan kepada Tan Sri Muhammad Muhammad Taib .

Tan Sri Muhammad Muhd Taib (1986-1997)

Seorang tokoh yang sangat popular dalam Umno Selangor, walaupun dibelenggu pelbagai kontroversi, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi MB selama 11 tahun sehinggalah beliau didakwa di Australia kerana tidak mengisytiharkan wang yang dibawanya berjumlah RM3.8 juta.


Muhd Taib meletak jawatan selepas beliau didakwa walaupun mahkamah kemudian mendapatinya tidak bersalah, berdasarkan hujah bahawa beliau "tidak faham bahasa Inggeris" dan dengan itu tidak tahu tentang undang-undang yang tidak membenarkan wang tunai dibawa masuk ke Australia.

Muhd Taib juga dilaporkan kahwin lari dengan anak perempuan Sultan Selangor ketika beliau menjadi MB dan mereka didakwa berkahwin di Thailand. Pasangan itu telah bercerai.

Menjelang pilihan raya umum ke-13, beliau menyertai PAS dan berkempen untuk parti pembangkang.

Datuk Abu Hasan Omar (1997-2000)

Datuk Abu Hasan Omar mungkin mempunyai cerita yang hampir sama dengan keadaan semasa di Selangor.

Seorang menteri persekutuan ketika itu, Abu Hasan bertukar tempat duduk dengan Jamaludin Adnan untuk bertanding kerusi DUN Permatang , dan dengan itu memaksa dua pilihan raya kecil diadakan - Permatang dan kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Anehnya, beliau juga ketika itu menggesa pembangkang  supaya "tidak bertanding " kerusi Permatang bagi mengelak pembaziran masa dan wang.

Bagaimanapun, beliau tidak lama menjadi menteri besar Selangor dan meletak jawatan pada 2000 selepas dikaitkan dengan dakwaan satu skandal seks. Mahathir mengakui ketika itu bahawa Abu Hasan terpaksa berundur bagi menghalang "fitnah dan pembohongan" terhadap MB parti itu .

Beliau telah digantikan oleh Dr Mohd Khir Toyo (2000-2008), yang kemudiannya didakwa atas tuduhan rasuah, walaupun selepas Selangor jatuh ke tangan  Pakatan Rakyat pada 2008.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (2008 - ?)

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - yang kini lapan bulan menjadi MB bagi penggal kedua - berdepan dengan saingan dan cabaran sengit dari dalam partinya sendiri sejak beliau menyandang jawatan tersebut lima tahun lalu. Bagaimanapun, serangan terhadapnya semakin kerap selepas pilihan raya umum tahun lepas .

Selepas satu spekulasi hangat, ADUN Kajang Lee Chin Cheh meletak jawatan secara tiba-tiba awal minggu ini, dan membuka laluan untuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil bagi mengisi kerusi tersebut - dipercayai dengan hasrat untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai MB.

Ironinya, Anwar telah meminta BN supaya tidak bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut. (MK)

Lihat ini..
E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?
E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails